Jumaat, 27 November 2015 | 12:11am
MENYIMPAN keranda di bawah rumah menjadi satu tradisi bagi bagi etnik Murut Tangara di Kampung Inarad, Kinabatangan. - Foto Alzahrin Alias
KEBANYAKAN keranda kayu ini bukannya dibuat sendiri oleh tuan rumah tetapi diberikan sebagai hadiah atau hantaran perkahwinan. - Foto Alzahrin Alias
KAYU pokok belian ini tahan lama dan mampu bertahan hingga 30 tahun. - Foto Alzahrin Alias
ORANG kampung boleh meminjamkan keranda mereka jika ada individu yang mati tidak mempunyai keranda. - Foto Alzahrin Alias

Keranda balak hantaran perkahwinan di Kampung Inarad


MENYIMPAN keranda di bawah rumah bagi kebanyakan orang adalah sesuatu yang menakutkan, tetapi bagi etnik Murut Tangara di Kampung Inarad di hulu Sungai Kinabatangan ia satu tradisi.

Ini kerana etnik Murut Tangara menggunakan keranda kayu balak untuk menyimpan mayat dalam upacara pengebumian.

Adat ini berlawanan dengan adat majoriti masyarakat Murut yang menjalankan pengebumian jenis 'tajau' atau tempayan di mana mayat akan disimpan di dalam tempayan sebelum dikebumikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Inarad, Mandun Linupas, berkata menyimpan keranda kayu di bawah rumah menjadi satu kemestian kepada masyarakat di sini dan keranda kayu ini penting dalam sesebuah keluarga.

Mandun berkata, keranda kayu balak ini akan digunakan apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga dan kebiasaannya setiap rumah mempunyai sepasang keranda kayu balak.

MENYIMPAN keranda kayu di bawah rumah menjadi satu kemestian kepada masyarakat etnik Murut Tangara di Kampung Inarad. - Foto Alzahrin Alias

"Kalau rumah orang tua, pasti akan ada keranda kayu balak ini. Ramai orang yang datang melawat ke kampung kami takut melihat ada keranda di bawah rumah kerana mereka memikirkan terdapat mayat di dalam keranda itu.

"Tapi sebenarnya keranda itu kosong, hanya sebagai persiapan awal. Kadang kala boleh disimpan lebih lima tahun di bawah rumah tanpa digunakan," katanya.

Mandun berkata, tradisi menyimpan keranda kayu balak di Kampung Inarad juga agak unik kerana kebanyakan keranda kayu ini bukannya dibuat sendiri oleh tuan rumah tetapi diberikan sebagai hadiah atau hantaran perkahwinan.

Begitu pentingnya keranda kayu balak ini bagi masyarakat Murut Tangara di sini sehinggakan hantaran perkahwinan juga memerlukan pengantin lelaki memberikan sepasang keranda kayu balak selain barangan seperti tajau.

Katanya, jika ada majlis perkahwinan, keluarga pengantin perempuan akan meminta keranda kayu balak untuk kegunaan ibu bapa pengantin apabila meninggal dunia kelak atau untuk kegunaan ahli keluarga yang lain yang pergi terlebih dahulu.

"Hantaran perkahwinan di sini adalah keranda kayu balak dan tajau. Selalunya mesti diberikan sepasang untuk orang tua yang ada dalam keluarga atau rumah pengantin perempuan. Bila diminta, keluarga pengantin lelaki perlu mencari kayu balak jenis belian untuk dijadikan keranda.

KERANDA bahagian bawah dipanggil lumangan, ia akan ditutup dengan bahagian atas (tumutom) sebelum diletakkan damar (sejenis gam) untuk melekatkan kedua-dua bahagian keranda ini. - Foto Alzahrin Alias

"Kayu pokok belian ini tahan lama dan mampu bertahan hingga 30 tahun. Pembuatannya juga secara gotong royong sesama keluarga atau orang kampung. Pokok belian akan dipotong sebelum di ketam sehingga menyerupai sebuah sampan kecil.

"Tapi ada juga menerimanya sebagai hadiah dan tidak kurang juga yang berkemampuan terus membeli keranda kayu balak ini sebagai persiapan kematian mereka. Harga sebuah keranda kayu balak ini bernilai lebih RM1,500," katanya.

Mandun berkata, dalam adat dan budaya masyarakat Murut Tangara di sini, tidak semestinya jika keranda itu kepunyaan tuan rumah yang sudah berusia, ia tidak boleh digunakan sanak saudara lain.

Katanya, biarpun keranda kayu balak ini diberikan kepada ibu bapa pengantin perempuan tetapi ia boleh digunakan untuk pengebumian adik beradik pengantin perempuan jika ada yang meninggal dunia.

Malah, katanya, keluarga yang tidak mempunyai keranda juga boleh meminjam atau menggunakan kembali keranda yang sudah digunakan dengan mengorek kembali dan mengeluarkan tulang si mati sebelum diletakkan di dalam tajau.

"Orang kampung boleh meminjamkan keranda mereka jika ada individu yang mati tidak mempunyai keranda. Waris akan membayar atau mengganti semula kepada orang kampung. Malah mereka juga boleh menggunakan kembali keranda yang sudah digunakan.

MANDUN menunjukkan tajau yang menjadi tempat simpanan tulang dan tengkorak. - Foto Alzahrin Alias

"Tulang dan tengkorak akan dipindahkan ke dalam tajau sebelum ditutup dan diletakkan di tanah perkuburan. Keranda itu akan dibasuh dan digunakan untuk meletakkan mereka yang baru meninggal," katanya.

Timbul persoalan, kenapa perlu menggunakan keranda kayu balak bukannya kayu papan biasa yang lebih murah dan senang dibuat?

Mandun berkata, ini kerana tradisi masyarakat di sini setiap kali berlaku kematian adalah untuk menyimpan mayat di dalam rumah selama beberapa hari.

Katanya, ia bertujuan untuk memberikan penghormatan kepada sanak saudara yang tinggal berjauhan kerana pada masa dulu, akses perhubungan sangat sukar bagi mereka yang duduk sepanjang Sungai Kinabatangan.

Mandun memberitahu setelah mayat diletakkan di dalam keranda bahagian bawah dipanggil lumangan, ia akan ditutup dengan bahagian atas (tumutom) sebelum diletakkan damar (sejenis gam) untuk melekatkan kedua bahagian keranda ini sebelum diikat dawai di bahagian pandung keranda (kayu pacak di hujung atas dan bawah keranda).

ETNIK Murut Tangara menggunakan keranda kayu balak untuk menyimpan mayat dalam upacara pengebumian. - Foto Alzahrin Alias

BAHAGIAN pandung keranda.

Katanya, ia bagi mengelakkan mayat mengeluarkan bau setelah disimpan lama dan mengelakkan binatang menghurung mayat.

"Malah kayu belian juga dapat menyerap bau yang dikeluarkan oleh mayat. Sebab itu penting menjaga kualiti kayu yang digunakan dalam pembuatan keranda," katanya.

Mandun berkata, setelah disimpan atas rumah beberapa hari, keranda akan dibawa menaiki sampan diiringi orang kampung ke kawasan perkuburan.

Kata, berbanding masyarakat lain, keranda kaum Murut Tangara tidak ditanam terlalu dalam dan hanya 80 peratus bahagian keranda berada dalam tanah.

"Selebihnya berada di permukaan tanah. Ini bagi memudahkan sanak saudara datang melawat dan juga mudah untuk dikorek digunakan kembali. Ada juga yang mengukir bahagian atas keranda dengan beberapa ukiran yang melambangkan status atau pekerjaan dan keperibadian si mati," katanya.

Mandun berkata, tradisi keranda kayu balak ini masih diteruskan sehingga kini walaupun berdepan dengan banyak rintangan seperti kekurangan pokok balak jenis belian akibat pembalakan selain masyarakat muda yang ramai berhijrah ke bandar, sekali gus membuatkan ia semakin dilupakan.

Berita Harian X