Sabtu, 18 March 2023 | 9:30am
DARI kiri; Datuk Wan Saiful Wan Jan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Adam Radlan Adam Muhammad.
DARI kiri; Datuk Wan Saiful Wan Jan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Adam Radlan Adam Muhammad.

Reformasi tata kelola pentadbiran dibayangi persepsi dendam politik

Melepasi 100 hari Kerajaan Perpaduan berdiri, antara isu melatari pentadbiran negara adalah kononnya pemerintah melancarkan 'serangan' terhadap Perikatan Nasional (PN) atas nama 'pembersihan negara' daripada elemen rasuah dan penyelewengan.

Ia dikatakan bermula apabila bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta, tahun lalu.

Pada selang masa tidak berbeza, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berhubung projek Jana Wibawa atas pertuduhan meminta rasuah.

Pada minggu kedua bulan ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berdepan enam pertuduhan; empat tuduhan kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Lantas, timbul pandangan umum kononnya kes pendakwaan terhadap pemimpin BERSATU adalah sebagai cara melemahkan PN sebagai pembangkang, di samping menekan parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta bakal mengharungi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Persoalan yang timbul, sejauh mana kebenaran dakwaan ini dan apa alasan digunakan untuk menuduh kerajaan memerintah hari ini cuba 'membalas dendam' terhadap PN.

Hakikat dapat dilihat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih susulan penahanan dan pertuduhan terhadap Muhyiddin serta pemimpin utama BERSATU.

Menilai perkembangan terbaru ini, Kerajaan Perpaduan dilihat mahu melaksanakan reformasi atau pembaharuan komprehensif, tetapi pada masa sama tidak mahu ia dilihat sebagai pendakwaan terpilih dan dituju kepada sesuatu kumpulan tertentu.

Dalam hal ini, sebagai kerajaan baru terbentuk, proses menegakkan tadbir urus baik dan mahu memastikan duit rakyat atau cukai tidak disalahgunakan, banyak kes salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dana perlu disiasat.

Secara kebetulan, individu sedang disiasat serta didakwa di mahkamah kali ini khasnya pasca-PRU15 adalah ahli politik dan membabitkan Pengerusi PN serta 'orang kuatnya'.

Perlu disedari, peningkatan siasatan dan pendakwaan kes rasuah pelbagai atau salah guna kuasa, pecah amanah atau pengubahan wang haram bermula sejak 2018, bersamaan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun, apakah peningkatan ini kerana pertukaran kerajaan? Persoalan ini tidak relevan kerana sesuatu pertuduhan itu dianggap sebagai 'satu kesalahan' apabila kes itu disiasat dan didakwa ke mahkamah tetapi masih belum diputuskan.

'Bersih' selagi belum disabit kesalahan

Apapun siasatan dan pendakwaan bukan keputusan dan hukum, ia proses awal pendakwaan dan pihak terpalit sebenarnya masih 'bersih' selagi belum disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

Seperkara perlu difahami umum, kes berprofil tinggi rasuah di negara ini bukan baharu kerana ramai pemimpin politik pernah diheret ke mahkamah disebabkan pendakwaan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Misalnya, dua bekas Menteri Besar Selangor didapati bersalah kerana rasuah dan dihukum penjara. Datuk Seri Harun Idris dan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo masing-masing dijatuhkan hukuman penjara pada 1977 dan 2015 kerana rasuah.

Harun diberi pengampunan penuh sementara Mohd Khir menjalani hukuman enam bulan hukuman penjara sebelum dibebaskan dengan parol bersyarat.

Di Sabah, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, disabitkan rasuah dan dihukum denda RM1,800. Disebabkan beliau adalah Ketua Menteri ketika itu, beliau kekal menduduki jawatan itu kerana dikenakan denda kurang RM2,000 dan tiada hukuman penjara lebih satu tahun.

Kes mengejutkan adalah apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022 apabila rayuan terakhir ditolak Mahkamah Persekutuan, walaupun peguamnya dilaporkan merayu supaya hukuman penjara ditangguhkan kerana mereka akan memfailkan rayuan pengampunan diraja.

Sementara itu, beberapa tokoh politik negara dari UMNO juga masih terpalit dengan kes di mahkamah termasuk Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa ketika PH menjadi kerajaan dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, semua pemimpin politik didakwa di mahkamah ini belum bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah. Itu prinsip undang-undang diamalkan mengikut lunas Perlembagaan.

Bagaimanapun, kerajaan atau pemerintah pasti sukar untuk memperbetulkan pandangan umum mengenai pendakwaan rasuah terhadap pemimpin disebutkan yang berbelah bahagi mengenai ketelusan dan tidak berat sebelah dalam menyiasat dan mendakwa sesiapa disyaki rasuah.

Dalam hal ini, ia mungkin disebabkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sebahagian jentera kerajaan walaupun namanya 'suruhanjaya'.

SPRM bertanggungjawab menyiasat kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Apabila selesai, pendakwaan ditentukan Pejabat Peguam Negara, yang orang awam bimbang ia dipengaruhi politik kerana bernaung di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan pegawai utamanya adalah peguam kerajaan.

Demi pembaharuan atau reformasi, satu daripada jentera kerajaan perlu dikaji dan diperbaiki supaya ia dapat menjalankan fungsinya dengan adil, telus, tidak berat sebelah dan tidak dipengaruhi mana-mana puak.

Dalam hal ini, Anwar tidak boleh dipersalahkan kerana beliau juga berpengalaman berdepan proses kehakiman, perundangan dan pengadilan tetapi mampu bertahan dan kini menjadi Perdana Menteri.

Bahkan, beliau turut diberi pengampunan penuh tanpa sebarang syarat yang bermakna, apa sahaya berlaku sebelum pengampunan itu semuanya terpadam dari segi undang-undang.

Justeru, mereka yang sedang dan akan didakwa 'masih bersih' ibarat kain putih, tetapi mengharapkan proses perundangan adil, bebas dan telus tanpa pilih kasih.

Semua ini mengajar bahawa power corrupts, absolute power corrupt absolutely. Oleh itu, bijak pandai dari zaman silam mengatakan perlu ada keseimbangan bagi menegak dan mengelakkan salah guna kedudukan serta kuasa.

Penulis adalah Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia merangkap Felo Akademi Sains Malaysia

Berita Harian X