Jumaat, 17 March 2023 | 9:30am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Naib Presiden, Ahli MKT dipilih penentu kejayaan pulih UMNO

Esok bakal menjadi satu lagi hari bersejarah bagi UMNO apabila pemilihan parti mencapai kemuncaknya menentukan siapakah pemimpin bakal menduduki jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang ditentukan 191 bahagian UMNO.

Kehangatan kian terasa apatah
lagi sesi pemilihan untuk sayap parti baru saja selesai pada 11 Mac lalu. Tumpuan kini diberikan kepada pemilihan jawatan Naib Presiden yang memperlihatkan persaingan di antara muka lama dan baharu.

Lapan calon sah merebut jawatan Naib Presiden iaitu penyandang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid berdepan cabaran Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut bertanding ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; bekas Menteri Besar Johor, merangkap Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Hasni Mohammad dan calon kurang dikenali, Mohd Yusof Musa.

Umum mengetahui UMNO berdepan tekanan dan cabaran getir bermula saat kejatuhan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan lebih teruk pada PRU15 lalu menunjukkan penolakan terhadap UMNO daripada pengundi Melayu-Islam dengan transisi undi berpindah kepada Perikatan Nasional (PN).

Namun, kelangsungan UMNO tetap menjadi keutamaan dan itu menatijahkan 'kerjasama' UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Pemilihan kali ini juga agak kontroversi apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak
dipertandingkan, lantas tumpuan terarah kepada pemilihan Ahli MKT yang menonjolkan
beberapa muka lama dan baharu, boleh dianggap sebagai pelapis serta pendukung utama menjayakan peremajaan UMNO pasca PRU15.

Pastinya akan ada prasyarat bagi akar umbi memilih calon berwibawa, khususnya selepas UMNO terpalit dengan isu integriti dalam kepemimpinan lama.

Isu integriti dan ketelusan juga menyebabkan sedikit sebanyak mempengaruhi sokongan pengundi Melayu-Islam terhadap UMNO.

Justeru, prasyarat utama harus ditekankan dalam pemilihan MKT kali ini adalah perlu mengutamakan calon memiliki kesetiaan tinggi terhadap parti, beriltizam menjayakan matlamat asal UMNO dan memiliki sifat keterbukaan dalam membawa UMNO kembali meraih kepercayaan dan sokongan majoriti masyarakat Melayu-Islam.

Faktor paling utama adalah pemimpin bakal dipilih itu memiliki imej bersih dan berintegriti tinggi. Pastinya bukan sesuatu yang mudah dalam pemilihan kali ini kerana calon bertanding memiliki pengalaman politik substantif.

Gembleng usaha perkuat semula UMNO

Di atas kertas mungkin ramai melihat calon lebih berpengalaman pada peringkat nasional, tetapi harus dilihat juga potensi muka baharu untuk diberikan ruang. Ada beberapa sebab mengapa harus diberikan ruang kepada muka baharu.

Pertama, UMNO perlu membina lapisan kepemimpinan setia bagi memastikan mereka mampu menggembleng tenaga untuk memulihkan UMNO.

Kedua, kepelbagaian lapisan kepemimpinan peringkat negeri dan nasional dalam jawatan Naib Presiden ini sesuatu yang baik bagi menghubungkan secara selari matlamat dan agenda UMNO
pada peringkat nasional dan negeri, khasnya bagi menjayakan konsensus pada peringkat nasional.

Berasaskan dua sebab ini, dalam kebanyakan calon bertanding, ada calon boleh dikatakan sebagai underdog, tetapi berpotensi dilantik sebagai salah seorang daripada ahli MKT yakni Wan Rosdy.

Calon lain terutama yang berpengalaman pada peringkat nasional sudah teruji dan mempamerkan rekod atau prestasi yang dapat dinilai akar umbi khasnya perwakilan bahagian nanti.

Namun, kemunculan calon negeri yang sebelum ini kurang ditonjolkan atau diangkat ke peringkat nasional, mampu memberi tawaran baharu kepada perwakilan dan UMNO itu sendiri.

Bukan bermakna calon lain tidak berpotensi, namun ia bersandarkan kepada trek rekod Wan Rosdy sebagai Menteri Besar Pahang, khususnya dilantik ketika UMNO berdepan dengan tekanan dan kegetiran politik pasca PRU14.

Kemampuan Wan Rosdy memimpin Pahang sudah dibuktikan dengan kesetiaan, kesungguhan dan prestasi beliau dalam menguruskan negeri serta membawa kepada kestabilan politik serta program pembangunan komprehensif berjaya dilaksanakan.

Walaupun memimpin Pahang dalam keadaan mencabar, beliau berjaya menguruskan agenda negeri dengan baik. Ini menjadikan beliau berpotensi diangkat sebagai figura kepimpinan nasional parti.

Dalam hal ini, Wan Rosdy mencerminkan sisi kematangan dalam politik menjadi satu prasyarat utama menonjolkan beliau sebagai aktor penting dalam usaha memulihkan imej UMNO dan mengembalikan sokongan.

Mungkin ada mengatakan beliau tidak memiliki karisma, namun karisma sahaja tidak mencukupi untuk membentuk satu kepemimpinan baik.

Faktor kesetiaan, kemampuan menguruskan pasukan dan sifat keterbukaan ini menjadi tunjang utama untuk UMNO diremajakan kembali. Berdasarkan senarai calon bertanding, tidak syak lagi majoriti pemimpin terbabit boleh disifatkan sebagai ahli UMNO yang setia, tidak memeningkan kepada Presiden dan 'boleh diharap buat kerja'.

Demikian, akar umbi harus bijak membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang bersifat sederhana dan dari peringkat negeri untuk menggerakkan jentera pada peringkat nasional dan negeri. Ini sesuatu yang amat diperlukan bagi UMNO memastikan mereka terus relevan dalam latar politik Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Raub dan Felo Penyelidik Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF)

Berita Harian X