SABAN tahun kita dihidangkan dengan pelbagai berita dan hebahan dilaporkan media massa mengenai kes kemalangan jalan raya. Sudah tentu ia bukan satu berita enak untuk dibaca, apatah lagi untuk dihadam. Banyak nyawa menjadi mangsa korban di sebalik kes kemalangan dilaporkan ini.
Ada yang terkorban mungkin kenalan kita. Keluarga terkor- ban pula terpaksa mengharungi hari pilu selepas kehilangan orang tersayang. Situasi sebegini sudah tentu bukan dipinta dan tidak sama sekali diharapkan akan berlaku ke atas kita.
Kes kemalangan dilaporkan setiap hari terkait terhadap banyak faktor dan penyebabnya. Jika mengikut statistik kemalangan di lebuh raya pada 2022, sebanyak 19,011 kes kemalangan direkodkan, dengan 80 peratus kes berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu.
Sementara 15 peratus lagi disebabkan masalah mekanikal kenderaan dan selebihnya faktor persekitaran, mungkin berkait dengan soal infrastruktur jalan raya.
Faktor penyebab utama kepada kes kemalangan ini pastinya menggusarkan semua. Apatah lagi ketika ini, kes nahas jalan raya dilaporkan mula menunjukkan trend cukup membimbangkan.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), antara Januari hingga September 2022 saja, terdapat 402,626 nahas jalan raya dengan 4,379 kematian direkodkan dalam tempoh itu.
Rekod itu menyaksikan trend meningkat berbanding 255,532 nahas jalan raya serta 3,324 kematian direkodkan dalam tempoh sama pada 2021.
Secara perbandingan, ia menunjukkan peningkatan kes sebanyak 147,094 kes atau 36 peratus, sementara angka kematian meningkat iaitu 1,055 orang bagi tempoh dua tahun itu.
Pada peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR), sudah tentu kami tidak berpeluk tubuh, apatah lagi mengambil sikap tidak peduli terhadap kes kemalangan dilaporkan hampir setiap hari.
Banyak usaha dilakukan bagi mengelak situasi ini daripada terus berpanjangan. Kita juga mengambil tanggungjawab bersama dengan agensi seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam memastikan isu keselamatan jalan raya sentiasa diberi keutamaan, tidak sama sekali dikompromi untuk dibiarkan berpanjangan.
Kerjasama dibentuk ini sudah pasti untuk memenuhi matlamat utama iaitu mengurangkan kes kemalangan jalan raya di samping mendidik pemandu di negara ini mengenai cara pemanduan berhemah di jalan raya. Tidak dinafikan infrastruktur dan keadaan jalan juga menjadi aspek penting dalam usaha KKR menjamin keselamatan pengguna di jalan raya.
Jika jalan direka mempunyai masalah teknikal seperti delineation (persempadanan semula), super elevation (ketinggian sisi jalan), skid resistance (rintangan gelincir) atau sub-standard curve (lengkung tidak capai standard), tahap keselesaan pemandu akan terjejas dan situasi ini boleh mengganggu tumpuan serta fokus kepada pemanduan.
Program audit keselamatan jalan raya
Justeru, pelbagai langkah segera dan tindakan susulan dilaksana KKR terutama dalam memastikan aspek infrastruktur jalan ini sentiasa dipantau rapi supaya tidak menjejaskan mood pemanduan di jalan raya.
Contohnya, menerusi pelaksanaan program audit keselamatan jalan raya di kawasan kerap berlaku kemalangan, Jabatan Kerja Raya (JKR) menubuhkan unit keselamatan jalan raya dengan pegawai ditugaskan memikul amanah itu dilatih pakar dunia seperti Edward Button dan lain-lain.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga sentiasa memastikan semua pengendali lebuh raya melaksanakan penyelenggaraan secara rutin dan berkala dengan pemantauan dan audit ketat LLM sendiri. Setiap kerosakan jalan akan dibaik pulih dengan segera berdasarkan response time (masa bertindak) ditetapkan.
Selain itu, kerja pemasangan dan penyelenggaraan penunjuk jalan raya seperti papan tanda, lampu jalan, bonggol jalan, kamera AES, pepaku jalan dan tiang delinator (sempadan) turut dilaksanakan, selain penggunaan petunjuk jalan raya dilengkapi teknologi moden seperti lampu diod pemancar cahaya (LED), Reflective Strips (jalur pemantul cahaya) dan Intelligent Transport System (ITS) atau Sistem Pengangkutan Pintar yang menjadi inisiatif terbaik mengurangkan kes kemalangan jalan raya.
Di sebalik usaha berterusan kami untuk menjamin keselesaan pemanduan di jalan raya, KKR juga berdepan cabaran antaranya faktor luar jangka seperti kejadian bencana alam.
Insiden sebegini biasanya mengakibatkan kerosakan kepada infrastruktur jalan, dengan kerja baik pulih ada kala mengambil masa begitu lama dan mencabar.
Contoh terdekat kes tanah runtuh menggemparkan negara di Batang Kali, Selangor bulan lalu sehingga mengakibatkan ramai nyawa terkorban.
Tragedi itu menyebabkan berlaku runtuhan struktur jalan khususnya di kawasan utama runtuhan sehingga memaksa JKR mengambil keputusan menutup sepenuhnya sepanjang laluan Batang Kali - Gohtong Jaya untuk tempoh tertentu.
Tindakan dibuat ini sudah tentu tidak memberi keselesaan kepada pemandu, terutama mereka setiap hari perlu menggunakan laluan itu berulang alik ke tempat kerja.
Penilaian terhadap kualiti jalan raya juga memainkan peranan penting dalam pengurusan infrastruktur dan ia sudah tentu memerlukan peruntukan mencukupi terutama bagi operasi penyelenggaraan jalan.
Pelaburan ke atas teknologi mengesan permasalahan atau kecacatan jalan raya termasuk sistem navigasi jalan raya berbahaya amat diperlukan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.
Selain itu, berdasarkan statistik nilai kehidupan (VOSL) 2018 dibangunkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), setiap kehilangan nyawa akibat kemalangan jalan raya dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sehingga RM3.12 juta seorang.
Kos ini merangkumi aspek kehilangan keberkesanan dan kos baik pulih infrastruktur serta perubatan, tidak termasuk isu sosial perlu ditanggung keluarga mangsa.
Hal ini bermakna, kerajaan kehilangan RM56.15 juta sehari atau RM21 bilion setahun berdasarkan jumlah kematian direkodkan.
Kerjasama dari sudut pembiayaan juga perlu diperhebat bagi membiayai pelaksanaan aktiviti keselamatan jalan raya.
Pembiayaan tidak seharusnya datang daripada kerajaan semata-mata, bahkan inisiatif daripada swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) amat dialu-alukan untuk mendukung inisiatif dan program keselamatan jalan raya.
Justeru, usaha bagi meningkatkan keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Usaha ini tidak hanya tergalas di bahu KKR semata-mata, sebaliknya komitmen semua pihak termasuk pemandu dan pengguna jalan raya amat diperlukan.
Penulis adalah Menteri Kerja Raya