MENYOROT kembali sejarah bilakah agenda MADANI mula bergema di negara ini, buku Gelombang Kebangkitan Asia adalah antara wahana terawal diungkapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan konsep berkenaan.
MADANI dikaitkan dengan pembinaan negara dan rakyat berasal daripada perkataan Arab membawa maksud peradaban, maju daripada sudut pemikiran, kerohanian dan kebendaan, serta dirujuk sebagai 'civil society' dalam bahasa Inggeris.
Justeru, untuk membangun Malaysia MADANI, beberapa cabaran utama perlu diberi perhatian serius, antaranya kestabilan politik, perpaduan kaum, tadbir urus baik, pertumbuhan ekonomi dan pendidikan membina.
Hari ini, Malaysia sedang bergerak dalam landasan politik menyaksikan perubahan daripada sistem satu parti dominan kepada sistem blok parti saling berkompromi antara sekutu untuk membentuk kerajaan.
Situasi ini meletakkan negara dan rakyat berada di persimpangan dilema. Walaupun parti dominan yang memerintah mampu mewujudkan kestabilan untuk tempoh sekurang-kurangnya 60 tahun, pada masa sama, ia melahirkan pemimpin terhakis nilai insani sehingga berhadapan pendakwaan di mahkamah. Berada dalam tampuk kuasa untuk tempoh panjang menyebabkan mereka berada dalam zon selesa.
Dari satu sudut lain, berganjak kepada sistem blok parti seperti sekarang mewujudkan Kerajaan Perpaduan, setiap parti perlu dilayan secara saksama dan setiap kerusi amat bermakna bagi mencukupkan majoriti untuk membentuk kerajaan.
Situasi Parlimen tergantung atau tiada satu blok parti memiliki majoriti mudah berpotensi menjerumuskan negara dan rakyat kepada ketidakstabilan politik.
Walaupun Akta Anti Lompat Parti diwartakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), masih terdapat usaha untuk memujuk atau membeli wakil rakyat bagi mencukupkan bilangan kerusi untuk membentuk kerajaan, walaupun membelakangi keputusan parti.
Apa yang penting, demokrasi harus disuburkan dan diraikan dalam ruang lingkup diizinkan Perlembagaan. Negara memerlukan semua nilai baik politik iaitu blok parti jelas mengangkat agenda negara dan rakyat, pemimpin politik jiwa besar, bijaksana, ihsan serta memiliki majoriti jelas memimpin negara dan rakyat selain menjamin kestabilan.
Demografi Malaysia bersifat majmuk adalah realiti perlu diterima bukan sahaja pada perkataan, tetapi pada tindakan dan perbuatan. Kecelaruan dan bibit ketidakharmonian kaum di Malaysia disumbangkan kenyataan kurang cermat dikeluarkan pemimpin politik.
Mereka memilih retorik sesuai dan lunak mengikut selera kumpulan masing-masing sehingga ada kalanya terpaksa bermuka-muka ketika tampil di khalayak berbeza. Tambah membarah sentimen agama dan bangsa dibakar bagi meraih sokongan serta melupakan realiti serta demografi masyarakat majmuk Malaysia.
Hakikatnya masyarakat bukan sahaja perlu diberi kesedaran dan kefahaman berhubung kepelbagaian dan perbezaan, tetapi juga menghormati kepelbagaian dan perbezaan ini.
Melangkah ke arah mengangkat agenda MADANI, isu ketirisan, salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan pendakwaan terpilih adalah terma memberi petunjuk wujudnya pelanggaran kepada amalan tadbir urus baik, beramanah dan berintegriti.
Dua perkara utama dalam memastikan terlaksananya tadbir urus baik ialah sistem iaitu meliputi undang-undang, peraturan, garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan baik. Kedua, kejujuran dan keikhlasan pegawai pelaksana.
Kita percaya sistem dilaksanakan sentiasa ditambah baik untuk menutup ruang pencabulan terhadap amalan tadbir urus baik, namun tumpuan dan perhatian perlu diberikan kepada integriti serta amanah pegawai pelaksana.
Setiap tahun, Laporan Ketua Audit Negara menyenaraikan kes ketirisan dan kelemahan pengurusan seolah-olah tiada tanda noktah. Dalam hubungan ini agensi penguat kuasa perlu diberi kebebasan melaksanakan tindakan tanpa rasa gentar dan pilih kasih akibat campur tangan pihak tertentu.
Penstrukturan semula ekonomi negara
Sementara itu, pandemik COVID-19 melanda negara menyebabkan kira-kira 20 peratus kumpulan M40 tergelincir ke dalam kumpulan B40 susulan kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan menurut Jabatan Perangkaan.
Ketidakupayaan industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bertahan ketika tempoh pendemik menjejaskan kemampanan ekonomi.
Lebih terkesan apabila 97 peratus daripada industri menjana pertumbuhan ekonomi negara terdiri daripada PKS dan menggaji kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara.
Justeru, bagi memulihkan semula kedudukan dan pertumbuhan ekonomi selari dengan agenda MADANI, proses penstrukturan semula ekonomi negara perlu dilakukan.
Tumpuan harus diberikan kepada projek memberi impak tinggi kepada rakyat berbanding mengejar projek mega. PKS perlu diberi peranan dan tanggungjawab untuk mengendalikan tender/projek kerajaan bersesuaian supaya dapat memperbaiki kedudukan dan seterusnya menyumbang kepada peluang pekerjaan rakyat dan pertumbuhan ekonomi negara.
Projek pembangunan berimpak tinggi juga tidak harus hanya tertumpu di bandar atau wilayah tertentu. Ia perlu disusun di antara bandar dan luar bandar, Semenanjung dan Sabah serta Sarawak termasuk antara masyarakat majoriti dengan minoriti bagi merapatkan kesenjangan ekonomi rakyat.
Yang turut perlu diberi perhatian adalah penyediaan sistem pendidikan membina iaitu membina kreativiti, daya cipta dan pemikiran kritis pelajar. Walaupun banyak usaha dan dasar dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperbaiki kualiti pendidikan negara, masyarakat tidak boleh terlalu cepat menarik nafas lega dan cepat berpuas hati.
Perubahan perlu diurus dan dilaksana dengan baik, selain mencapai matlamat membina kreativiti, daya cipta dan pemikiran kritis pelajar. Negara tidak boleh lagi melahirkan generasi pengguna dan pengikut menerima bulat-bulat segala maklumat disajikan tanpa soal bicara. Mereka perlu dilatih berhujah, berbahas dan menyoal dalam nada tertib disulami dengan akhlak dan budaya tinggi.
Kita percaya hasrat ini boleh dicapai dengan dukungan tidak berbelah bahagi kepada sistem pendidikan negara. Rungutan terhadap beban guru perlu ditangani segera supaya pendidik memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) interaktif dan segar.
Infrastruktur dan kemudahan institusi pendidikan juga harus diberi keutamaan atau dipertingkatkan. Persekitaran institusi pendidikan selamat dan kondusif disokong dengan capaian internet untuk proses pendigitalan antara faktor penyumbang terbesar ke arah kemenjadian generasi muda negara yang kreatif, punya daya cipta dan berfikiran kritikal.
Membangun Malaysia MADANI dengan berpandukan enam teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan menuntut komitmen tidak berbelah bahagi seluruh warga Malaysia tanpa mengira ideologi dan pegangan. Menjadi tanggungjawab bersama rakyat untuk mengembalikan semula kegemilangan Malaysia.
Penulis adalah Pensyarah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH