Ahad, 22 Januari 2023 | 12:07pm
Perwakilan UMNO mendengar ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, 1 Januari. - Foto BERNAMA
Perwakilan UMNO mendengar ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, 1 Januari. - Foto BERNAMA

Kaedah pemilihan UMNO bekukan idea pembaharuan

UMPAMA rumah siap pahat berbunyi, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang selesai hujung minggu lalu rupa-rupanya belum beres sepenuhnya. Kontroversi masih menyelubungi parti, biarpun kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden kekal selamat selepas usul kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang disokong perwakilan secara majoriti.

Ironinya, keputusan itu membawa kepada permasalahan seterusnya. Kritikan terhadap keputusan itu semakin kuat, walaupun masih ramai ahli mempertahankannya. Terkini, beberapa ahli UMNO menghantar notis bantahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai tidak sah serta melanggar perlembagaan parti dan peraturan persidangan.

Hal ini semakin menarik apabila bekas Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyokong tindakan merujuk hal berkenaan kepada ROS selepas Khairy Jamaluddin memuji tindakan berkenaan. Sebagai bekas PM dan pemimpin kanan parti, kredibiliti kedua-duanya dalam mempersoalkan perkara itu tentu ada meritnya.

Walaupun kontroversi itu terkait pelanggaran perlembagaan dan peraturan persidangan parti ketika PAU berlangsung, isu sebenarnya melangkaui jauh daripada hal berkenaan. Sebagai parti politik terbesar dan paling lama memerintah, keterdesakan UMNO kembali sakti dan digemari memerlukan perubahan segera, pantas dan menyeluruh.

Umumnya, perubahan kepemimpinan dilihat sebagai 'jalan pintas' memulihkan UMNO. Beberapa alasan dilihat mengabsahkan hal itu. Pertama, UMNO memerlukan idea baharu dan segar selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disebabkan kepemimpinan lemah.

Kerangka pemikiran lama

Kedua, selepas apa berlaku sejak sekian lama, UMNO jelas terperangkap dan terkial-kial dengan kerangka pemikiran lama dan semakin jauh ditinggalkan lawan yang beranjak progresif dicetuskan menerusi kepemimpinan kreatif dan dinamik.

Justeru, agak mengejutkan apabila PAU dinanti-nantikan sebagai titik perubahan, selepas sekali lagi UMNO kalah – kali ini dengan lebih memalukan sehingga hilang banyak kerusi Melayu dan terpaksa bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan – membuat suatu perkara terbukti punca kelemahan UMNO dengan mengangkat tradisi tiada pertandingan.

Benar pertandingan jawatan itu mungkin tidak mengubah kedudukan semasa UMNO. Malah, kalau ada pertandingan pun, kem Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih mempunyai kelebihan berbanding lain, kalau diambil kira budaya UMNO dalam kerangka politik naungan subur dan berakar mendasarinya.

Namun, tujuan dan sasaran pemilihan UMNO itu harus diprojekkan jauh melangkaui ahli UMNO itu sendiri, terutama dalam mengembalikan kepercayaan dan persepsi positif umum selepas apa yang berlaku.

Menarik juga apabila faktor kestabilan, dalam konteks parti dan juga Kerajaan Perpaduan dijadikan alasan bagi menidakkan pertandingan berlaku. Kebenaran hal ini barangkali remeh dan sinikal.

Pertama, pemilihan UMNO seharusnya berlaku sebagai perubahan reaksionari selepas apa berlaku, bukannya mengambil kesempatan menyesuaikan parti dengan situasi semasa tidak membawa apa-apa yang signifikan dalam jangka panjang.

Kedua, kebersamaan UMNO dengan kerajaan campuran-perpaduan ketika ini belum memberikan pulangan apa-apa, lebih-lebih lagi ketika UMNO tidak mampu menyaingi PH pada pilihan raya seimbang dan pada masa sama semakin 'disailang' Perikatan Nasional (PN) di lubuknya sendiri.

Kerjasama bersifat sementara

Kalaupun kerjasama dengan PH memberikan keuntungan, ia bersifat sementara dan masih tidak menyelesaikan permasalahan UMNO yang sebenar secara tuntas dan struktural.

Apakah perpecahan dalam UMNO ini teruk sangat hingga boleh meruntuhkan parti sekelip mata sekiranya dua jawatan utama itu dipertandingkan? Adakah dengan tiada pertandingan, solidariti UMNO kembali gemilang dan kuat serta mampu menang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) di bawah kepemimpinan Presiden yang sama ketika mengemudi parti pada PRU15? Dan apakah fokus UMNO sebenarnya, mahu memulihkan parti atau bersolidariti? Mahu segera bermuhasabah diri atau masih kekal syok sendiri?

Benar hanya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan. Jawatan lain masih terbuka untuk persaingan. Cakap-cakap jawatan berkenaan masih penting dan menguasainya memberikan kelebihan kepada kem terpinggir untuk menekan Presiden dan Timbalan Presiden nampak memberikan harapan.

Namun, mekanisme parti masih memberi kelebihan kepada Presiden. Setakat ini tidak nampak bagaimana jawatan Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mampu mencabar atau mengimbal, apatah lagi ketika faktor kelebihan juga masih berpihak kepada penyandang dan bukannya pencabar. Melainkan ahli UMNO berani melakukan sesuatu bersifat revolusi, mungkin sukar untuk melihatnya berlaku.

Sayang, sebagai parti mempunyai 3.3 juta ahli, UMNO masih berterusan menjadi parti eksklusif dan pasif. Bagaimana dengan keahlian seramai itu, UMNO masih bercakap tradisi mempertahankan kepemimpinan selepas acap kali diperlihatkan bahawa UMNO menghadapi masalah berterusan disebabkan mekanisme memilih kepemimpinan mencairkan sokongan tetapi membekukan percambahan idea dan semangat perjuangan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X