Isnin, 16 Januari 2023 | 12:00pm
Ahli yang hadir menyanyikan lagu UMNO ketika hadir Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
Ahli yang hadir menyanyikan lagu UMNO ketika hadir Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

UMNO masih mencari cermin diri

Oleh Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin Ismail

bhrencana@bh.com.my

Apabila merenung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang selesai semalam, saya terkenang apa berlaku dalam PAU 2009 yang juga perhimpunan terakhir bagi Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. PAU 2009 itu diadakan selepas sahaja keputusan mengejut Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 yang menyaksikan UMNO kehilangan majoriti dua pertiga buat kali pertama.

Abdullah yang didesak mengambil tanggungjawab akhirnya bersetuju berbuat demikian pada April tahun itu. Dalam ucapan dasar terakhirnya sebagai Presiden, beliau menggunakan peluang itu untuk bermuhasabah, bukan untuk mempertahankan sejarah kepemimpinannya atau memulangkan paku buah keras kepada mereka terbabit dalam desakan pengunduran beliau.

Abdullah menggesa ahli UMNO memberi perhatian terhadap loceng berdering kuat untuk parti berkenaan melakukan perubahan. Lima elemen yang menurutnya membuatkan rakyat menjauhkan diri daripada UMNO ialah sikap UMNO tidak mendekati rakyat, tumpuan kurang seimbang kepada masyarakat luar bandar, menjauhi generasi muda, perbalahan berpanjangan dalam parti dan asakan faktor materialisme.

Sambil menegur UMNO yang seakan-akan terhenti daripada mengadaptasi perubahan, beliau menggesa orde lama dicirikan dengan sekatan terhadap kebebasan dan keterbukaan terhadap kritikan tidak harus dikembalikan ke dalam pendekatan UMNO.

Abdullah menyedari wujudnya gerakan reaksioneri apabila menganggap timbulnya nostalgia dalam kalangan yang lebih tertarik dengan cerita menyeronokkan daripada laluan lama.

Ia antara ucapan terbaik pernah datang daripada Presiden UMNO dalam konteks muhasabah diri. Malangnya, gesaan Abdullah tidak menampakkan penerimaan penuh minat daripada perwakilan kerana perubahan yang nampaknya ingin diterjemahkan perwakilan ialah ke dalam bentuk mengundur. Beberapa ucapan perwakilan menegaskan keperluan untuk mengembalikan pendekatan lama tidak dipraktikkan Abdullah.

Antaranya, cadangan agar UMNO kembali menggunakan pendekatan keras terhadap pembangkang; gesaan agar jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), universiti dan sektor awam diberikan kepada penyokong setia UMNO; penggunaan kawalan menyeluruh; penarikan biasiswa bagi pelajar menyokong pembangkang dan keperluan menggunakan kuasa semaksimum mungkin. Bermakna, Abdullah mengamanatkan agar UMNO 'beranjak ke hadapan', perwakilan memutuskan agar UMNO perlu 'berundur ke belakang' demi mengekalkan kuasa mereka. Selebihnya adalah sejarah.

Paradoks ini dapat disaksikan sekali lagi bagi mereka mengikuti PAU 2022. Ia PAU dinanti-nantikan selepas UMNO 'diconteng arang' dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Apakah UMNO sanggup menundukkan kepala mereka dengan penuh kesedaran? Apakah UMNO boleh menjadikan PAU sebagai medan bermuhasabah dengan sejujur-jujurnya? Apakah UMNO akan bergerak ke hadapan dengan membuka pertandingan dua jawatan tertinggi dalam parti?

Sekali lagi, UMNO tetap UMNO. Selepas 13 tahun Abdullah meninggalkan amanat beliau, ternyata tidak ada tanda menampakkan UMNO sanggup bergerak ke hadapan. Dalam PAU 2022, tidak ada pihak tidak dipersalahkan UMNO berikutan prestasi mereka dalam PRU15 daripada pihak pembangkang sehinggalah ke isu trivial seperti telur ayam. Malah, tidak ketinggalan, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan KGB juga dibawa masuk dalam skrip. Hanya yang tidak dituding dan diselak ialah koyak di kain sendiri.

 Ucapan lebih bersifat peribadi 

Ucapan kepemimpinan tertinggi umumnya dijadikan medan memulangkan paku buah keras dan lebih bersifat peribadi. Malah, ramai tidak menyangka ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih akrab dengan panggilan 'Tok Mat' semacam apologetik dengan perjuangan UMNO menentang DAP selama ini.

Malah, ia adalah UMNO Bahagian beliau mencadangkan usul agar dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan. Daripada individu sering disebut banyak pihak sebagai antara 'harapan terakhir' untuk memulihkan UMNO selepas PRU14, perkembangan selepas PRU15 seolah-olah melenyapkan cakap-cakap itu.

Dua cadangan UMNO dalam PAU 2022, iaitu penubuhan Majlis Ulama dan Institut UMNO lebih dilihat sebagai preskrispi kosmetik. Sejak kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad lagi, UMNO cuba membariskan beberapa 'kepimpinan ulama.' Namun, mereka ini akhirnya sering kali 'dicairkan' oleh rencah kepemimpinan perdana dan akhirnya dilihat tidak berfungsi sebagai penimbal.

Begitu juga penubuhan Institut UMNO lebih mengundang reaksi sinikal. Lebih mengejutkan, penyertaan ahli Majlis Profesor Negara (MPN) ke dalam institut seperti ini menebalkan lagi tanggapan mengenai kecondongan MPN diperkatakan sejak sekian lama. Komen banyak kedengaran ialah - "apakah kesegaran idea cuba dibawa Institut UMNO ini apabila ia diterajui generasi lama?"

Mujur ada beberapa perwakilan masih berpijak di bumi nyata. Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan terus membuktikan beliau ialah aset masa hadapan UMNO dengan melakukan renungan tuntas dan mendasar. Begitu juga ucapan Ketua Pemuda UMNO Raub, Fadzli Mohamad Kamal yang tidak berbasa-basi, sebaliknya terus menyentuh kegentingan dihadapi UMNO kini. Namun, kedua-dua ucapan mereka dibayangi ucapan majoriti perwakilan masih berbahas seperti era kegemilangan UMNO pada 1990-an.

PAU 2022 berlangsung ketika UMNO hanya tinggal 26 kerusi. Bilangan ini jauh lebih rendah berbanding 79 kerusi apabila Abdullah meninggalkan kepemimpinan parti pada 2009. Biarpun hanya dengan 26 kerusi, parti dianggap Shahril Hamdan sebagai 'parti hampir mati' ini nampaknya masih tercari-cari cermin yang mereka perlukan.

Penulis adalah Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X