Khamis, 24 November 2022 | 12:26pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kerajaan PN Perlis perlu buktikan mampu mentadbir lebih baik

Penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis selepas kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjadi pelengkap kepada koridor kuasa politik baharu di negara ini. Kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Syukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Ini bermakna Perlis menjadi sebahagian koridor dominasi politik PN di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta pembangkang yang kuat di Perak dengan 26 kerusi DUN mengatasi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Malah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang juga menyaksikan jumlah kerusi PN mengatasi PH dan BN.

Dalam konteks Perlis, barisan kepemimpinan baharu termasuk EXCO bakal dilantik perlu mengorak langkah segera menjalankan pentadbiran dan merealisasikan semua manifesto dilaungkan.

Bagaimanapun, Perlis tidak boleh sendirian, sebaliknya perlu bekerjasama dengan negeri lain dalam koridor kuasa baharu memandangkan semua negeri ini kecuali Perak adalah di bawah kerajaan PN dan PAS.

Masa meraikan kemenangan mungkin sudah tamat bagi PN/PAS Perlis apabila Mohd Syukri mengimbas cap jari pada perakam waktu di pintu masuk pejabatnya, jam 9 pagi semalam. Banyak cabaran besar perlu diberikan perhatian dan diambil tindakan segera oleh kepemimpinan baharu.

Keutamaan kerajaan negeri sekarang adalah mengembalikan pembangunan sosioekonomi mampan untuk memastikan taraf hidup rakyat lebih baik. Data Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020 menunjukkan kesan kelembapan ekonomi akibat COVID19 menyebabkan indeks kemiskinan mutlak di negeri itu meningkat daripada 3.9 peratus pada 2019 kepada 9.9 peratus (2020).

Apatah lagi Perlis ialah negeri kecil dan mempunyai sumber terhad. Kebanyakan perbelanjaan bajet tahunan negeri adalah daripada sumber bajet diperuntukkan kerajaan Persekutuan.

Perlu bijak guna sumber terhad 

Kerajaan baharu perlu bijak menggunakan sumber terhad bagi pembangunan sosioekonomi supaya mendapat hasil terbaik untuk dinikmati rakyat, selain harus melihat bagaimana sumber baharu boleh diguna bagi meningkatkan hasil negeri.

Projek pembangunan prasarana dan kawasan industri seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA) antara perlu dilihat dan dipastikan tidak menjadi projek gajah putih. Di sini kerajaan Perlis mungkin boleh mengambil pengalaman kerajaan Kedah menguruskan Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

CVIA dilihat mampu menjana RM2.5 bilion bagi Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan menarik nilai pelaburan sehingga RM4.5 bilion pada 2030, sekali gus mampu mewujudkan sekitar 12,000 peluang pekerjaan.

Ini perlu diberi keutamaan oleh kerajaan baharu bagi memastikan CVIA menjadi pemangkin ekonomi utama jangka panjang di Perlis menjelang 2030.

CVIA juga dilihat mampu menjadi satu tarikan ekonomi antara sempadan Malaysia-Thailand dan berpotensi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dengan Perlis menjadi jambatannya.

Selain CVIA, Pelan Digital Perlis 2021-2025 perlu dilihat sebagai antara agenda mampu melonjakkan sosioekonomi Perlis. Tujuh kluster tumpuan dalam Pelan Digital Perlis merangkumi kerajaan, keselamatan, infrastruktur, masyarakat, ekonomi, pelancongan dan pertanian.

Setanding negeri maju

Ia dilihat mampu meletakkan Perlis setanding negeri maju lain dari sudut capaian jalur lebar dan penggunaan internet dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi pentadbiran ataupun keselamatan.

Kesemua cabaran ini menjadi tanggungjawab kerajaan baharu di bawah kepemimpinan Mohd Syukri yang pasti akan dinilai rakyat termasuk dalam 100 hari pertama.

Setiap kejayaan dan kegagalan akan dinilai, sekali gus menjadi peluang kepada PN sebagai kerajaan baharu membuktikan kemampuan mereka untuk mentadbir.

Apa pun usaha dibuat Perlis, ia memerlukan bantuan kekuatan geostrategik dominasi kerajaan PN di koridor Utara dan Pantai Timur. Maka, kerjasama antara kerajaan negeri akan membantu pembangunan sosioekonomi dengan lebih mesra dan efisien. Peluang ini perlu digemblengkan kerajaan PN Perlis untuk memajukan negeri seterusnya memastikan pilihan rakyat, Sabtu lalu, adalah tepat dan tidak sia-sia.

Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Berita Harian X