Jumaat, 7 Oktober 2022 | 12:00pm

Tingkat proses agih peruntukan, elak ketirisan dana awam

Pembentangan bajet hari ini hadir dengan ura-ura sidang Dewan Rakyat kali ini menjadi sesi terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berlangsung.

Lantaran itu, ada beberapa pandangan menjangkakan pembentangan bajet nanti akan menjadi bajet populis sebagai gula-gula mendapatkan undi rakyat pada PRU-15 nanti.

Apa pun situasinya, pembentangan bajet pada tahun ini harus mendapat perhatian rakyat bagi memastikan kerajaan menyalurkan peruntukan 'ke tempat betul' supaya tidak menjadi bajet sia-sia.

Hakikatnya, negara hari ini masih bergelut untuk keluar daripada krisis berlarutan. Kita belum berjaya melepaskan diri daripada kesan pasca-COVID-19 serta beberapa krisis dunia seperti perang Ukraine-Russia, sekuriti makanan.

Maka, ketika negara sedang berhadapan krisis pelbagai bentuk ini, kerajaan harus sedar bajet akan digunakan pada tahun hadapan mesti diletakkan di tempat yang benar-benar diperlukan.

Setiap segmen masyarakat mengharapkan ada peruntukan untuk mereka, maka dengan sumber terhad ini, kerajaan harus memastikan bajet bakal dibentangkan benar-benar memenuhi kepentingan rakyat.

Paling utama, Bajet 2023 mesti sensitif kepada keutamaan dan keperluan rakyat. Jika masih ingat pada pembentangan Bajet 2021, Menteri Kewangan mengumumkan sejumlah RM85.5 juta diperuntukkan kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Pengumuman ini mendapat reaksi negatif daripada ramai pihak sama ada dari blok kerajaan, pembangkang atau masyarakat awam. Mereka mempertikaikan keperluan J-KOM diberikan peruntukan sebegitu besar berbanding keperluan lain dilihat lebih utama seperti peruntukan sekolah daif yang hanya menerima sebanyak RM58 juta.

 Dua perkara mesti ditangani 

Peruntukan besar kepada perkara tidak menjadi keutamaan rakyat hanya menjadikan bajet berkenaan sia-sia kerana ia tidak memberi kesan positif kepada rakyat.

Ada dua musuh utama mesti ditangani dengan segera dan bersungguh oleh kerajaan dalam pembentangan bajet kali ini kerana jika tidak, ia dikhuatiri tidak akan memberi kesan bermakna kepada rakyat dan negara.

Musuh pertama adalah gejala dan budaya rasuah. Kita perlu sedar gara-gara rasuah, negara tidak dapat membangun dengan optimum kerana kos pengurusan dan pentadbiran naik berganda hanya untuk memenuhi permintaan daripada 'tangan ghaib', bukan tangan memerlukan.

Peningkatan kos ini tidak menjadikan jentera penyampaian berjalan dengan lebih berkesan sebaliknya, hanya memenuhi kantung poket orang tertentu atas dasar 'membantu mendapatkan projek'.

Kita tidak boleh lupa bagaimana kes rasuah berprofil tinggi mencecah bilion ringgit yang sepatutnya menjadi hak kemudahan rakyat, dicuri mereka yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi.

Maka, kerja keras untuk menangani rasuah ini perlu segera menjadi agenda besar buat semua pihak terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kerajaan juga harus memastikan proses kelulusan bajet dilalukan melalui prosedur telus.

Masalah kedua pula adalah proses penyampaian dana kepada sasaran bajet yang tidak cekap dan tidak berkesan. Dalam isu ini, kelemahan proses penyampaian berlaku mungkin disebabkan kelemahan manusia tidak kompeten dan berintegriti atau masalah sistem tidak lengkap atau wujud kelompangan tertentu, sekali gus menyumbang kepada ketirisan dan pembaziran.

Kita boleh meneliti semula laporan dikeluarkan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang memeriksa dan meneliti bagaimana dana awam disalurkan itu diuruskan pihak agensi atau kementerian berkaitan.

 Kegagalan manusia, sistem urus dana 

Daripada laporan itu, sejumlah wang atau dana dibazirkan gara-gara kegagalan manusia dan sistem. Contoh paling dekat yang menjadi perbincangan awam adalah pendedahan PAC mengenai perolehan kapal tempur pesisir (LCS), baru-baru ini.

Sejumlah RM6.083 bilion dibelanjakan sejak 2013 tetapi sehingga kini tiada satu pun kapal disiapkan. Lebih malang, ada inventori sudah usang dan tidak dapat digunakan lagi.

Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan dana awam disia-siakan. Justeru, usaha untuk menambah baik kadar ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan perlu menjadi agenda besar kerajaan.

Dari satu sudut, kerajaan dan agensinya tidak boleh menunggu laporan daripada Ketua Audit Negara atau PAC dikeluarkan baru hendak bertindak kerana ketika itu sudah terlambat untuk menyelamatkan dana awam yang 'lesap'.

Sewajarnya, ketika perbelanjaan berkenaan sedang digunakan, kerajaan harus memastikan ia mematuhi piawaian ditetapkan dengan sikap penuh berintegriti dan bermaruah.

Menyorot kepada pengalaman lalu dalam aspek pengurusan dana awam, jelas sekali kita tidak harus cepat terpesona dengan jumlah peruntukan bakal diumumkan dalam pembentangan bajet nanti.

Sebaliknya, ia harus diperhatikan semula dengan beberapa pertanyaan - adakah bajet berkenaan benar-benar bermanfaat buat rakyat kebanyakan atau adakah diuruskan dengan cekap dan berkesan.

Persoalan ini termasuk mungkinkah ada bajet tidak perlu dalam perancangan kerajaan dan adakah berlaku ketirisan serta pembaziran dalam pengurusan bajet berkenaan

Pertanyaan ini mesti dizahirkan kerana akhirnya kesan kepada ketirisan dan kebocoran dana kerajaan menimbulkan kesan kepada generasi akan datang. Moga bajet dibentangkan benar-benar bermanfaat untuk rakyat.

Penulis adalah Ketua Penerangan dan Aktivis IKRAM Muda

Berita Harian X