Khamis, 6 Oktober 2022 | 12:00pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pengusaha PMKS perlu rancang manfaatkan 'habuan' Bajet 2023

Komuniti peniaga dan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu memberi perhatian kepada Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok kerana kerajaan dijangka mengumumkan pakej peruntukan khas bagi membantu membina, memperkasa dan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Bagaimanapun, apa-apa sahaja pakej diumumkan, komuniti PMKS perlu serius dan bijak memanfaatkannya termasuk membuat perancangan dan penelitian untuk ke mana-mana cawangan bank, agensi atau institusi kewangan dikenal pasti menyediakan geran atau peruntukan diperlukan.

Perbincangan berkualiti antara pengusaha dengan bank dapat menjamin mereka membuat keputusan tepat dan terbaik. Sebarang input tidak tepat boleh mendorong nasihat salah termasuk komitmen kewangan atau liabiliti yang perlu dimaklumkan.

Oleh itu, pengusaha perlu bersedia dengan profil syarikat terperinci dan meyakinkan kerana ramai pemohon gagal mendapatkan geran atau pinjaman disebabkan lampiran dokumentasi tidak lengkap. Pengusaha juga perlu memahami prosedur kewangan bank atau institusi terbabit supaya tidak cepat kecewa, sebaliknya faham sekiranya ia tidak diluluskan.

Pada masa sama, komuniti PMKS perlu lebih berhati-hati kerana biasanya akan muncul individu atau scammer sejurus pembentangan bajet. Mereka cekap menghidu mangsa dan menawarkan 'khidmat' mendapatkan pinjaman atau geran secara mudah.

Oleh itu, pengusaha tidak boleh mudah terpedaya dengan pelbagai watak menerusi panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau tawaran menerusi WhatsApps, Facebook dan pelbagai aplikasi media baharu lain. Mereka menjanjikan proses permohonan sangat mudah dan meyakinkan serta tempoh kelulusan singkat.

Turut berlaku ialah kemunculan pihak konon ada 'kabel dengan orang dalam' bank, kementerian atau agensi berkenaan. Individu ini lazimnya 'diperkenalkan' orang di sekeliling kita kononnya boleh memberi jaminan permohonan diluluskan serta-merta.

Syarat mudah dikenakan - bayar sejumlah wang tunai ditetapkan dan permohonan dijanjikan 100 peratus lulus. Akhirnya, pinjaman atau geran entah ke mana dan 'duit kabel' pula lesap.

Oleh itu, peniaga dan usahawan dinasihatkan tidak membayar walau satu sen kepada sesiapa untuk mendapatkan geran atau pinjaman. Mana-mana bank dan institusi kewangan termasuk di bawah Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (AFDIM) tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menyalur atau meluluskan pinjaman.

 Jauhi perbuatan beri sogokan 

ADFIM juga tidak menyediakan 'kabel' atau membenarkan pegawai meminta habuan bawah meja sebagai syarat meluluskan permohonan. Oleh itu, pengusaha perlu menjauhi perbuatan memberikan sogokan kepada mana-mana pihak untuk tujuan serupa.

Bagi urusan pinjaman, komuniti PMKS perlu mengangkat nilai, maruah dan martabat mereka sebagai peminjam bertanggungjawab, sekali gus menjunjung integriti tanpa kompromi kepada suapan, sogokan atau terpedaya tawaran pihak ketiga.

Seterusnya, apabila geran atau pinjaman diluluskan, peminjam menghadapi pula ujian kejujuran sangat berat. Pastinya akan muncul dilema sama ada mereka benar-benar akan menggunakan wang berkenaan untuk kepentingan perniagaan - meneroka peluang baharu, penerapan pendigitalan dalam operasi, modal kerja bagi menjayakan pelan perniagaan ataupun sebaliknya sebagai 'bantuan mudah' bagi membiayai pelbagai belanja peribadi.

Pengusaha perlu ingat bahawa geran atau pinjaman bukan wang mudah serta bukan duit percuma atau 'duit terpijak' untuk dihabiskan dengan berfoya-foya. Pinjaman juga bukan untuk membiayai cita-cita peribadi termasuk membeli kereta, melancong dan menukar gaya hidup dengan ketrampilan berjenama.

Ada dalam kalangan pengusaha PMKS terkandas dan gulung tikar gara-gara peminjam menyalahgunakan pembiayaan diperoleh hingga akhirnya menanggung beban hutang bank serta mengalami tekanan hidup.

Penulis tertarik dengan artikel tulisan pakar pertanian, Don Hofstrand dan pakar perniagaan serta koperasi luar bandar dari Amerika Syarikat (AS), Jeffery D Jobe yang menggariskan 18 perkara mengenai cara menggunakan geran (dan boleh dikaitkan dengan pinjaman bank). Antaranya, mereka menimbulkan persoalan sangat penting - apakah anda benar-benar memerlukan geran (atau pinjaman bank)?

Oleh itu, penulis mahu mengaitkan artikel ini dengan geran atau peruntukan PMKS dalam Bajet 2023 merangkumi tuntutan supaya penerima antara lain perlu ada komitmen terhadap projek mereka. Maksudnya, perlu ada kejujuran, kesungguhan dan bekerja keras menjayakan projek berkenaan, selain perlu memahami terma dan kontrak serta keperluan mengurus geran dan pelaporan betul.

Pada masa sama, komitmen kerajaan membantu usahawan PMKS memulih dan membina semula perniagaan menerusi Bajet 2023 jangan disalah erti, diputar belit ataupun dipolitikkan. Jangan terlintas di fikiran inisiatif atau peruntukan itu ada motif lain.

Komuniti PMKS adalah komponen terbesar menggerakkan ekonomi negara. Oleh itu, tindakan pihak oportunis memesong atau mempolitikkan bajet membantu dan memperkukuhkan PMKS adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dengan niat mengganggu gugat kestabilan komuniti itu.

 Perlu pembiayaan jayakan promosi, pemasaran 

PMKS memerlukan pembiayaan antara lain untuk menjayakan promosi dan pemasaran. Tanpa melakukan pemasaran, amat sukar pengguna mengetahui kewujudan sesuatu produk di pasaran. Pekerja mahir atau profesional perlu dilantik untuk memasarkan produk syarikat daripada status pemasaran amatur kepada pemasaran digital lebih meluas dan tidak terbatas.

Contohnya, perniagaan tanpa laman web dan tidak mempraktikkan aplikasi digital kini dianggap janggal. Jika akses itu tidak diwujudkan, syarikat hampir pasti kehilangan pelanggan dan tidak bertahan lama di pasaran.

Tidak boleh dinafikan komuniti PMKS adalah nadi dan tulang belakang ekonomi negara. Mereka menyumbang 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dicatatkan lebih RM547 bilion.

Sebab itu menerusi Bajet 2023, komuniti PMKS perlu pengukuhan dan disokong dalam semua kos. Rujuk laporan Jabatan Perangkaan menerbitkan statistik PKS Malaysia bagi 2021. Laporan itu ada perincian sumbangan PKS kepada KDNK, eksport dan guna tenaga.

Pada masa sama, kita berpegang dengan pepatah 'orang berbudi, kita berbahasa; orang memberi, kita merasa'. Peruntukan besar untuk komuniti PMKS menerusi Bajet 2023 diberi dengan satu tanggungjawab perlu digalas, iaitu membina dan memperkasa PMKS masing-masing bagi memacu pertumbuhan serta perkembangan sosioekonomi negara pasca COVID-19.

Justeru, komuniti PMKS perlu jujur dan bertanggungjawab melunaskan peranan seperti disasarkan dalam Bajet 2023 nanti. Berniagalah dengan penuh beretika dan berintegriti sesuai tuntutan fardu kifayahnya. Berusahalah memajukan perniagaan atau perusahaan supaya peluang kerja dapat diwujudkan dan ini akan membantu orang lain bekerja sekali gus menjana pendapatan. Belanjakan wang pinjaman yang disalurkan untuk meningkatkan modal dan kapasiti pemasaran mahupun tenaga kerja.

Akhirnya, lunaskan bayaran balik pinjaman supaya fasiliti itu boleh dimanfaatkan usahawan lain pada masa akan datang. Seterusnya jadilah warga PMKS yang bertanggungjawab dengan membayar cukai dan menjadi umat Islam yang mensyukuri nikmat Allah SWT dengan melunaskan zakat supaya kemakmuran itu dapat dikongsi dengan warga lain yang memerlukan.

Penulis adalah Setiausaha Agung Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (AFDIM)

Berita Harian X