Rabu, 5 Oktober 2022 | 12:20pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bajet 2023 perlu tumpu geran sijil halal bantu usahawan asnaf

Malaysia mengungguli tempat teratas mengatasi 81 negara lain dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global seperti dilaporkan State of Global Islamic Economy 2022, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan industri halal di samping usaha menjadi hab halal dunia terbesar.

Di sebalik rekod mencatatkan lebih 8,000 syarikat di negara ini diiktiraf halal dengan 20 peratus daripadanya syarikat pengeksport, malangnya majoriti usahawan asnaf belum mempunyai atau masih gagal mendapatkan status halal.

Oleh itu, isu ini boleh dilihat sebagai peluang besar untuk diteroka pusat zakat dalam melahirkan usahawan asnaf mampan dan mampu bersaing bersama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain di pasaran melalui pensijilan halal dalam kalangan usahawan asnaf.

Kerajaan boleh menyediakan geran pensijilan halal untuk membantu usahawan PKS terutama daripada golongan asnaf.

Geran pensijilan halal perlu menjadi antara agenda dalam Bajet 2023 melalui Dasar Halal Negara yang akan dibentangkan.

Ini berupaya membantu usahawan asnaf melangkah ke liga besar dan pasaran halal antarabangsa dalam memperkasa ekonomi halal, selain membantu usahawan asnaf pulih daripada impak pandemik COVID-19.

Geran pensijilan halal boleh dimasukkan ke dalam Dasar Halal Negara sebagai antara agenda penting dalam mencapai misi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030. Usahawan asnaf perlu dilihat sebagai komponen penting dalam ekosistem industri halal tanah air dalam menggalakkan penyertaan usahawan asnaf lebih berdaya saing dalam industri halal lebih inklusif.

Pensijilan halal akan membantu dalam menaik taraf pembuatan produk, sekali gus mampu memberi nilai tambah barangan dan produk keluaran usahawan asnaf.

Bantu kembang perniagaan 

Ini dapat menggalakkan usahawan asnaf menghasilkan produk menepati kualiti dan kebersihan, seterusnya meningkatkan keyakinan serta mampu mengelakkan was-was dalam kalangan masyarakat awam. Industri halal dilihat mampu membantu usahawan asnaf mengembangkan perniagaan dan menambah kebolehpercayaan masyarakat dalam menyokong mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Langkah ini diyakini dapat memastikan setiap pusat zakat merealisasikan aspirasi untuk menjadikan asnaf penerima zakat kepada golongan muzakki atau pengeluar zakat.

Beberapa inisiatif melalui geran padanan pensijilan halal boleh dilakukan secara berperingkat bagi melahirkan usahawan asnaf mempunyai status halal diiktiraf.

Kursus kesedaran halal menjadi langkah awal bagi memberikan kesedaran secara langsung dan tidak langsung kepada usahawan asnaf.

Ini dapat menangkis segala salah faham terdapat dalam usaha mendapatkan sijil halal dan kepentingan sijil halal dalam mempromosikan produk ke peringkat lebih meluas.

Platform ini juga menjadi langkah awal sebagai persiapan dan persediaan asnaf sebelum langkah seterusnya ke arah pensijilan halal Malaysia.

Pusat zakat boleh mengenal pasti usahawan memerlukan dan berpotensi mendapatkan sijil status halal. Pelaksanaan ini boleh dilaksanakan bersama Bahagian Pengurusan Halal (BHP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana kerjasama strategik mampu membantu usahawan asnaf mendapatkan sijil halal.

JAKIM melalui BPH bertanggungjawab sebagai agensi utama menguruskan pensijilan dan penguatkuasaan status halal boleh berperanan sebagai penyokong dan pembantu usahawan asnaf mendapatkan sijil halal diiktiraf serta wadah penyampai berkaitan halal melalui bantuan geran pensijilan halal kerajaan.

 Sokong menerusi dana khas, latihan Syarat pensijilan halal tidak perlu dilonggarkan untuk memudahkan usahawan asnaf memperoleh pengiktirafan berkenaan. tetapi mereka perlu disokong melalui dana khas termasuk latihan dan teknikal seterusnya mendapat sijil halal diiktiraf.

Program Wakaf Halal PKS dilancarkan baru-baru ini oleh Yayasan Wakaf Malaysia dengan kerjasama Halal Development Corporation berhad (HDC) dapat membantu usahawan asnaf mendapatkan pensijilan halal JAKIM menerusi bimbingan HDC.

Kerjasama strategik melalui Quadruple Helix Model, iaitu membabitkan pelbagai agensi termasuk kerajaan, industri, JAKIM, HDC dan pusat zakat amat diperlukan untuk meningkatkan jumlah asnaf mempunyai pensijilan halal, seterusnya meningkatkan nilai pasaran produk lebih komersial dalam kalangan usahawan asnaf dan berupaya menembusi sektor pasaran antarabangsa dan memperkukuh ekosistem halal tanah air.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X