Selasa, 4 Oktober 2022 | 12:20pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tugas semua pihak hentikan kes bunuh diri, elak jadi epidemik

Perbuatan membunuh diri kini dianggap sebagai satu gejala kesihatan di seluruh dunia. Ia berpotensi menjadi epidemik secara senyap dan tersembunyi.

Setiap kejadian bunuh diri pasti menjejaskan kestabilan hidup ahli keluarga, keharmonian masyarakat dan kekuatan ekonomi kerana kehilangan sumber modal insan.

Perbincangan berkaitan gejala membunuh diri selama ini dianggap amat sensitif, namun perlu dilakukan dengan lebih terbuka dan fokus.

Tumpuannya adalah mendidik masyarakat bahawa gejala bunuh diri boleh dicegah pada peringkat awal sebelum menjadi wabak tidak terkawal pada kemudian hari.

Satu kempen kesedaran mencegah perbuatan membunuh diri diwujudkan sejak 2003 di Stockholm, Sweden. Kempen khusus mempromosi kesedaran pencegahan bunuh diri pada peringkat global pula diadakan setiap tahun menjelang 10 September.

Kempen kesedaran peringkat global berkaitan perkara ini amat perlu dan bersifat umum tanpa mengira agama dan bangsa kerana perbuatan terbabit boleh berlaku kepada setiap ahli keluarga.

Namun, sumbangan pendekatan agama dan kepercayaan spiritual individu terhadap larangan membunuh diri sebenarnya sudah lama terjalin.

Kepercayaan spiritual lebih dekat dengan individu dalam menangani sebarang kesulitan berkaitan urusan kehidupan mereka. Lantaran itu, keutuhan pegangan agama dalam pencegahan bunuh diri wajar diteruskan antara generasi kepada generasi.

Islam larang bunuh diri

Bagi umat Islam khususnya, perbuatan bunuh diri dilarang dalam agama dan secara tidak langsung menyumbang kepada aspek pencegahan bunuh diri dalam kalangan mereka.

Terdapat ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW melarang umat Islam membunuh diri, khasnya dalam Surah an-Nisa, ayat 29, Allah berfirman bermaksud: "Dan jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang kepada kamu".

Tegahan membunuh diri turut dijelaskan Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Bukhari: "Sesiapa membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia disiksa dengan cara itu pula".

Ajaran Islam menuntut umatnya untuk bukan sahaja menjauhkan diri daripada perbuatan membunuh atau membinasakan diri sendiri, malah menuntut umat memperbaiki status kesihatan serta kesejahteraan diri pada setiap masa.

Berhubung pencegahan bunuh diri, ia menjadi tanggungjawab dan kewajipan setiap umat Islam untuk mencegahnya. Pencegahan boleh dilaksanakan pada peringkat individu, keluarga dan masyarakat tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.

Trend perbuatan bunuh diri kini menunjukkan peningkatan kes semakin membimbangkan dengan pelbagai puncanya.

Bunuh diri menjadi satu antara 10 penyebab utama kematian di seluruh dunia, selain penyakit jantung dan kemalangan jalan raya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat lebih 703,000 kematian berlaku di seluruh dunia setiap tahun akibat bunuh diri.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 1,142 kes bunuh diri pada 2021 berbanding 631 kes pada 2020. Lebih membimbangkan perbuatan bunuh diri dalam kalangan generasi muda berusia antara 10 hingga 24 tahun.

Walaupun punca bunuh diri itu disebabkan pelbagai faktor, penggunaan media sosial secara bebas dan terlampau masa kini berpotensi meningkatkan cabaran remaja menguruskan emosi mereka secara lebih berkesan apabila berdepan tekanan. Ia juga mampu meningkatkan kecenderungan remaja melakukan tindakan bunuh diri.

Apatah lagi terdapat data menunjukkan gangguan emosi antara punca utama kepada kes bunuh diri, berbanding gangguan lain dalam kategori gangguan penyakit psikiatri atau jiwa.

Kesimpulannya, perbuatan bunuh diri mempunyai pelbagai jenis punca dan penyakit mental bukan menjadi satu-satunya penyebab kes bunuh diri.

Yang utama, ia boleh dicegah pada peringkat awal dan pemantauan ahli keluarga serta masyarakat boleh menghalang kejadian bunuh diri, sekali gus mampu menyelamatkan nyawa.

Felow, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X