Isnin, 26 September 2022 | 12:00pm
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap menyampaikan Kenyataan Negara dalam Bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, New York pada Jumaat. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap menyampaikan Kenyataan Negara dalam Bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, New York pada Jumaat. - Foto BERNAMA

Keluarga Malaysia wajar bersama PM martabat bahasa Melayu

Tarikh 23 September 2022 menjadi tanggal keramat dalam lembaran bersejarah Malaysia apabila buat kali pertama selepas 65 tahun negara merdeka, bahasa Melayu bergema dengan megah pada Persidangan Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 di New York, Amerika Syarikat (AS).

Detik bersejarah itu terakam pada jam 5 petang waktu tempatan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu pada sesi Debat Umum hari keempat UNGA.

Ismail Sabri mencipta sejarah menjadi pemimpin tertinggi Malaysia pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.

Perdana Menteri merakam sejarah baharu bahasa Melayu di pentas berprestij dunia dengan tinta emas, menggambarkan ketegasannya mengangkat martabat bahasa Melayu di persada dunia.

Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri daripada Pengerusi bersama Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta seluruh warga kerja yang memegang amanah menjaga maruah untuk martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Semua pejuang bahasa dan warganegara Malaysia turut memberikan penghargaan sama. Media kerajaan seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) serta media lain di negara ini patut menyiarkan ucapan Perdana Menteri di PBB itu seluas-luasnya tanda penghormatan serta penghargaan kepada langkah mulia dan terpuji beliau.

Institusi pendidikan sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) dan jabatan kerajaan perlu mengambil langkah sama supaya semangat patriotisme ditampilkan Perdana Menteri dihayati serta diteladani semua warganegara.

 Sedia ruangan khas ucapkan tahniah 

Tidak keterlaluan juga, semua media patut menyediakan ruangan khas untuk membolehkan seluruh lapisan rakyat menyampaikan pernyataan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri sebagai adiwira negara.

Semua pemimpin di negara ini pada peringkat Persekutuan, negeri dan badan berkuasa awam wajib menyusuli langkah mulia Perdana Menteri dengan berucap dalam bahasa negara pada semua majlis atau forum, sama ada di dalam negara dan peringkat antarabangsa.

Jangan ada bersikap dingin dan tidak menyertai Perdana Menteri, apatah lagi bercanggah pendirian dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Penjawat awam, pemimpin institusi pengajian ilmu, pemimpin korporat dan semua pihak lain mesti menyokong pendirian serta langkah terpuji Perdana Menteri.

Tidak ada alasan sesiapa pun di negara ini untuk meremehkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bidang lain. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan untuk menjadi asas jati diri dan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Penggunaan dan pengajaran bahasa lain di negara ini tidak dilarang dalam urusan tidak rasmi. Justeru sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu ditetapkan menjadi penggerak komunikasi pentadbiran negara.

Berdasarkan Perkara 152(6) Perlembagaan, tiga lapis pentadbiran negara wajib menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menjadi asas kecekapan dan keberkesanan jentera pentadbiran negara. Sukar untuk membayangkan kecelaruan yang berlaku jika lebih daripada satu bahasa digunakan dalam urusan pentadbiran negara.

Maka, sudah sampai waktu semua penjawat awam berusaha menggunakan bahasa Melayu dengan maksimum dalam semua urusan pentadbiran negara. Tidak wajar lagi mesyuarat berlangsung dalam bahasa asing atau bahasa bercampur-baur.

Dalam bidang pendidikan, penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa utama pengajian menjadi asas pendemokrasian pendidikan melalui penggunaan bahasa penghantar sama.

Tidak berlaku keadaan dua darjat dalam pemerolehan ilmu dan peluang kerjaya bagi anak didik. Hakikatnya, bahasa selain bahasa Melayu masih ada ruang penggunaannya sebagai nilai tambah tetapi bukan pengganti bahasa negara.

Pengalaman negara lain yang berjaya di dunia menunjukkan bahasa negara menjadi asas keyakinan diri yang tinggi dan kemajuan dalam acuan sendiri.

Sementara itu, dalam bidang lain seperti undang-undang, ekonomi dan di tempat awam, penggunaan bahasa Melayu mempunyai erti penting. Undang-undang yang diungkap dan dilaksanakan dalam bahasa Melayu mewakili pandangan sarwa dan budaya negara.

Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi memberikan nilai tinggi kerana ekonomi menjadi asas kehidupan mana-mana bangsa. Dalam hal Ini, wujud ratusan warkah dan perjanjian perdagangan dalam bahasa Melayu bertulisan jawi pada zaman Kesultanan Melayu pada abad 15 hingga 19 Masihi membuktikan bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan sedunia.

 Perkasakan taraf bahasa perdagangan 

Pengembalian semula taraf bahasa Melayu sebagai bahasa perdagangan sedunia mesti diperkasakan. Penggunaan bahasa Melayu di tempat awam pula menzahirkan citra atau imej kenegaraan dan pembebasan negara daripada citra asing.

Pada peringkat antarabangsa, usaha DBP sejak 1980-an berjaya meningkatkan martabat bahasa dan pengajian Melayu di dunia. Terdapat lebih 100 institusi pengajian ilmu di Amerika Utara, Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan Oceania serta beberapa wilayah lain mempunyai pusat pengajian Melayu.

Perkembangan pesat bahasa Melayu di negara China, misalnya membuktikan penerimaan negara luar kepada bahasa Melayu.

Kini 13 universiti di negara itu menawarkan program ijazah bahasa Melayu untuk tempoh empat tahun, selain beberapa universiti menawarkan kursus untuk bidang perniagaan dan kolej menyediakan program diploma bahasa Melayu selama tiga tahun.

Dengan adanya Program Diplomasi Budaya yang menjadi antara bahagian penting Kerangka Dasar Luar Negara dilancarkan Perdana Menteri pada Disember 2021, usaha mengangkat bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa kini terbuka luas.

Namun, ia menuntut perancangan dan pelaksanaan tekal serta berterusan semua pihak, termasuk Kementerian Luar, khasnya Perwakilan Diplomatik Malaysia sedunia dengan dukungan DBP, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan kementerian serta agensi berkaitan dengan hubungan antarabangsa.

Penulis adalah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Berita Harian X