X
Isnin, 19 September 2022 | 12:20pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

3 ciri kepemimpinan diri jayakan langkah kurangkan jam bekerja

Polemik pengurangan jam bekerja perlu ditanggap secara ilmiah termasuk mengkaji perbandingan pelaksanaannya di negara lain, sekali gus tidak boleh berdasarkan pengalaman dan persepsi umum semata-mata.

Iceland antara kayu pengukur kejayaan kepada pengurangan waktu bekerja hingga dijadikan asas kajian di banyak negara di Barat demi mengembalikan produktiviti dan keseimbangan kerja-kehidupan pekerja.

Dalam uji kaji itu, Iceland mengurangkan waktu bekerja dari purata 40 jam kepada 35 jam setiap minggu, tetapi ia tidak menjejaskan sedikitpun produktiviti sama ada dalam konteks persekolahan, bahagian penyelenggaraan bandar, balai polis, rumah penjagaan dan pejabat Datuk Bandar.

Pekerja dikatakan lebih sihat dan produktif serta boleh mengurus kehidupan dengan baik selepas mencerna faedah keseimbangan kerja dan kehidupan. Susulan kejayaan uji kaji itu, warga Iceland bekerja dengan beberapa hari atau jam dalam seminggu dan berhak memilih mod waktu bekerja berdasarkan pilihan masing-masing.

 Kajian pelaksanaan negara luar jadi rujukan 

Justeru, kajian pelaksanaan di negara luar perlu dijadikan rujukan dalam mengkaji sejauh mana pengurangan waktu bekerja dapat memberikan manfaat dalam konteks tempatan.

Kita akui banyak perkara perlu diperhalusi oleh pasukan ditubuhkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengkaji sistem bekerja empat hari seminggu di negara ini.

Bagaimanapun, komen netizen kononnya jabatan kerajaan tidak efisien dan kakitangan dituduh culas dalam pekerjaan hingga bersifat skeptikal terhadap pengurangan waktu bekerja itu seharusnya diberikan perhatian supaya sebarang pelaksanaan tidak menjejaskan produktiviti.

Kajian kepuasan pelanggan terhadap sektor kerajaan mendapati majoriti sektor itu dapat menyelesaikan aduan dengan pantas dan tuntas, manakala sikap pegawai didapati hanya berada di tahap memuaskan bagi sifat mesra pelanggan, sopan dan berbudi bahasa seperti dikongsikan Kementerian Sumber Manusia bagi 2021.

Oleh itu, kecekapan perkhidmatan boleh ditingkatkan dengan warga kerja kompeten yang berkemahiran dalam memenuhi kehendak dan jangkaan masyarakat.

 Amalkan kepemimpinan kendiri 

Secara umumnya, pelaksanaan bekerja 45 jam seminggu boleh berjaya sekiranya setiap warga kerja mengamalkan kepemimpinan kendiri, iaitu kebolehan mempengaruhi diri sendiri bertindak lebih baik dengan memperoleh matlamat jelas untuk mencapai kejayaan.

Konsep kepemimpinan kendiri bermula pada 1983 apabila Prof Charles Manz melakukan kajian skala besar untuk melihat produktiviti warga kerja di kilang pembuatan di Amerika Syarikat (AS).

Penemuan itu membuka mata kebanyakan majikan kerana pekerja tidak perlu diberikan tekanan melampau, dikerah seperti robot atau dikawal seperti patung. Apabila pekerja bahagia terhadap pekerjaannya, mereka akan bekerja dengan tekun, dedikasi serta kompeten.

Walaupun pelaksanaan pengurangan itu masih pada peringkat kajian, strategi kepemimpinan kendiri dalam melaksanakan pekerjaan 45 jam seminggu di sektor awam dan swasta mempunyai potensi untuk dijayakan sekiranya pekerja memenuhi tiga kriteria.

l Pertama, pekerja perlu meletakkan matlamat jelas untuk dicapai secara harian, sekali gus menjadikan tugasannya lebih berfokus, seterusnya dapat mendisiplinkan mereka untuk berusaha.

Minda pekerja dilatih untuk mengurus dan mentadbir tugasan dengan menggunakan masa dengan baik agar tiada isu kerja bertangguh atau tidak selesai hingga menjadikannya produktif dalam pelaksanaan kerja 45 jam seminggu.

l Kedua, peringatan kendiri, iaitu antara kaedah berkesan untuk sentiasa mengetahui kemajuan kerja. Peringatan ini diisyaratkan dengan kawalan kognitif individu kepada dirinya sendiri.

Pekerja mempunyai kepemimpinan kendiri boleh merasa tahap produktivitinya pada masa atau hari tertentu. Contohnya, pekerja berasa tidak produktif pada sesuatu hari dan memberikan peringatan kepada diri sendiri. Mekanisme ini mengurangkan sikap tidak acuh dalam bekerja kerana kesedaran sebagai pekerja mempunyai tanggungjawab untuk dipenuhi.

l Ketiga, ganjaran semula jadi, iaitu pekerja perlu berasa bahagia apabila melakukan sesuatu tugasan dengan mencari aspek kebahagiaan berkenaan. Kemungkinan keseluruhan tugasan letih dan membebankan, tetapi aspek bahagia dan teruja boleh diperolehnya.

Contohnya, kerja membabitkan kemasukan data sering dianggap kerja leceh dan memenatkan kerana memerlukan penelitian. Namun, pekerja mendapat keseronokan dan keterujaan apabila boleh melakukan analisis terhadap data berkenaan. Ini bermakna, dalam satu proses kerja panjang, bahagian analisis data adalah aspek kebahagiaan boleh diperoleh secara semula jadi.

Ketiga-tiga strategi kepemimpinan kendiri itu, boleh menjadikan pekerja produktif dalam melaksanakan tugas. Bekerja 45 jam seminggu tidak akan merencatkan prestasi dan produktiviti sekiranya setiap pekerja mengungguli autonomi diberi dengan disiplin serta bertanggungjawab.

Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Berita Harian X