X
Rabu, 6 Julai 2022 | 12:30pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Galak pelajar IPT isi kekosongan kerja industri pelancongan

Industri pelancongan semakin pulih selepas pembukaan semula ekonomi dan sempadan negara serta peningkatan kadar vaksinasi. Menurut Jabatan Perangkaan hasil sektor perkhidmatan pada suku pertama tahun ini mengukuh kepada 10.4 peratus dengan nilai RM473 bilion.

Pertumbuhan ini didorong peningkatan subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta kesenian, hiburan dan rekreasi.

Selaras perkembangan memberangsangkan ini, Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) menyemak semula dan mensasarkan ketibaan pelancong sebanyak 4.5 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM11.1 bilion bagi tahun ini.

Pada masa sama, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini, khususnya isu bekalan dan kenaikan harga bahan makanan akibat konflik Russia-Ukraine.

Kerajaan juga memperkenalkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 sebagai kesinambungan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0). Ia antara inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan membabitkan penyaluran insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Pemberian insentif itu bermula 29 April lalu, membabitkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan.

Inisiatif ini bakal diperluaskan berperingkat membabitkan Kluster Pengangkutan Udara dan Kluster Penginapan, selain Kluster Pelancongan Minat Khas merangkumi segmen selam skuba, inap desa, beli-belah serta taman tema.

MOTAC turut mempergiatkan lagi usaha pemulihan industri pelancongan dengan pelaksanaan Tourism Recovery Framework (TRF 2.0) memfokuskan meningkatkan pendapatan negara, menggalakkan kerjasama pintar antarabangsa dan nasional, memperkasakan masyarakat setempat.

Bagaimanapun, ketika sektor pelancongan semakin meriah dengan kunjungan pelancong domestik dan antarabangsa, kita berhadapan pula krisis perkhidmatan pelancongan. Isu perkhidmatan pelancongan dan isu mengembalikan keyakinan pelancong ke negara ini adalah isu kritikal ketika ini.

Mana tidaknya, selepas pintu sempadan dibuka kepada pelancong, kebanyakan premis pelancongan dalam sektor perhotelan, pengangkutan dan produk pelancongan menghadapi masalah kekurangan tenaga pekerja.

Difahamkan di Langkawi sahaja, lebih 10,000 tenaga kerja diperlukan bagi mengisi kekosongan dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan sokongan pelancongan.

Apabila mutu perkhidmatan kita terjejas, ia secara tidak langsung memberikan imej negatif kepada industri pelancongan.

Oleh itu, kita perlu merancang strategi pemulihan pada peringkat awal ini, terutama membangunkan modal insan yang akan menjadi penggerak utama sektor pelancongan negara. Pengambilan pekerja asing berkemahiran perlu disegerakan bagi memastikan sektor ini tidak terus lumpuh.

Pembabitan sektor sokongan seperti pelajar jurusan pelancongan atau pelajar antarabangsa barangkali boleh digerakkan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam bidang perkhidmatan pelancongan buat sementara waktu.

Bagi tujuan itu, kerajaan mungkin boleh memberikan permit kerja sementara atau kebenaran khas buat pelajar antarabangsa yang ingin bekerja secara separuh masa dalam sektor pelancongan bagi memenuhi keperluan ini.

Selain itu, program promosi dan pemasaran juga perlu disusun semula lebih awal bagi mengembalikan keyakinan masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk melancong semula.

Kita perlu memaklumkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah destinasi selamat dan sentiasa mengutamakan faktor kebersihan serta keselamatan dengan protokol norma baharu meyakinkan.

Pengendali agensi pelancongan pula perlu lebih kreatif dengan mereka bentuk jadual perjalanan mengelakkan bentuk pengangkutan awam dan kawasan pelancongan sesak kerana pelanggan mereka akan mengharapkan pendekatan lebih sesuai dengan faktor keselamatan menjamin kesihatan.

Ini mungkin dalam bentuk jadual perjalanan memfokuskan lokasi lebih terpencil atau pakej pelancongan niche seperti destinasi ekoalam semula jadi dan berbasikal yang pengembara kurang untuk berhubung dengan orang lain.

Dalam menghadapi situasi masa kini, kita perlu bersiap sedia dengan norma baharu ini demi memastikan kelangsungan industri pelancongan dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Ini pastinya perlu mendapat sokongan padu dan kerjasama penuh semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat industri.

Profesor Adjung Fakulti Pelancongan, Hospitaliti dan Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Berita Harian X