Jumaat, 3 Jun 2022 | 11:00am
Gambar fail, antara pimpinan tertinggi parti komponen Barisan Nasional pada Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Gambar fail, antara pimpinan tertinggi parti komponen Barisan Nasional pada Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

'Banyak kerja' perlu dibereskan jika BN mahu menang PRU-15

Dalam Konvensyen 48 Tahun Barisan Nasional (BN), kelmarin, pelbagai idea dan cadangan dikemukakan pemimpin utama BN dalam ucapan mereka.

Isu utama dibangkitkan adalah mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) khasnya bagaimana hendak menghadapi dan memenanginya dengan majoriti lebih dua pertiga.

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak menggegar suasana dengan mahukan PRU-15 tidak ditangguhkan berdasarkan pengalaman beliau melewatkan PRU-14 hingga menyebabkan kekalahan BN. Baginya, BN mampu menang besar jika PRU-14 dilangsungkan selepas berakhirnya Sukan SEA.

Hujah utama Najib ialah hari ini pembangkang dalam keadaan caca marba. Inflasi pula tidak boleh dijadikan alasan melewatkan PRU-15 kerana ia dikatakan tidak mampu diselesaikan dalam tempoh dua tiga bulan.

Justeru, Najib menyeru supaya 'Top Five UMNO' membuat keputusan segera mengenai tarikh PRU-15, berserta ingatan supaya membuat keputusan tepat dan bijaksana, tidak memikirkan soal diri tetapi masa depan parti dan negara.

Seruan ini disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyebut demi memastikan mimpi buruk 22 bulan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan tidak berulang, BN katanya wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu untuk PRU-15 pada bila-bila masa mulai sekarang.

Ini ditambah dengan penegasan beliau, tidak akan melewatkan sesaat pun untuk membubarkan Parlimen. Kenyataan ini disambut gembira Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta perwakilan mahu PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat pada tahun ini supaya berdiri sebagai tanda menyokong.

Tindakan mereka berdiri digunakan Ahmad Zahid sebagai bukti BN sudah sedia menghadapi PRU-15, lantas Presiden UMNO itu turut menggesa Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO, melaksanakan PRU-15 secepat mungkin sambil berpesan supaya berusaha mencari dana pilihan raya.

Serentak itu, Ahmad Zahid mengarahkan Jawatankuasa Pilihan Raya BN pada setiap peringkat diaktifkan segera. Laporan berita pula memberi gambaran seolah-olah PRU-15 dijangka diadakan sebaik sahaja Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan PH berakhir pada 31 Julai ini.

Soalnya sekarang ialah benarkah BN, seperti dinyatakan Ahmad Zahid, sudah sedia untuk menghadapi PRU-15. Bolehkah tindakan perwakilan bangun digunakan sebagai bukti mereka mahu PRU-15 dibuat secepat mungkin.

Sebahagian perwakilan mendakwa seruan supaya perwakilan mahu PRU-15 diadakan pada waktu terdekat pada tahun ini dengan berdiri di hadapan Perdana Menteri adalah satu taktik ketinggalan zaman.

Dalam majlis itu, mereka pasti berdiri sebagai mematuhi adab Melayu. Mereka sebaliknya lebih yakin dengan ucapan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyebut BN tidak boleh leka dibuai nostalgia parti itu mampu memerintah semula hanya kerana BN sekarang menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Tegas beliau, apa yang berlaku dalam semua kemenangan pilihan raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan BN pasti menang dan menguasai kerajaan dengan mudah.

Ini kerana pasca 2018, BN menjadi sangat mengecil, bukan sahaja dari segi jumlah ahli Parlimen, tetapi jumlah parti komponen, negeri kuasai serta sokongan masyarakat.

Beliau bertegas, pengalaman memerintah tidak menjadi kelebihan mutlak kepada BN dan parti itu harus diperkenalkan semula kepada masyarakat dengan tawaran dan penampilan baharu.

Bagi Timbalan Presiden UMNO itu, BN mesti menggembleng segenap kudrat untuk menyingkirkan persepsi kuasa, korupsi dan kebejatan moral demi menghadapi PRU akan datang. BN mesti tampil dengan imej revolusional, desak Mohamad.

Semua perkara disebutkan Mohamad ini memerlukan masa untuk dilaksanakan dan menunjukkan BN belum bersedia untuk menghadapi PRU-15.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia), Datuk Seri Azalina Othman Said pula lebih lantang ketika menjadi ahli panel sesi wacana bertajuk 'Masa Depan BN'.

Ahli Parlimen Pengerang itu menjelaskan, jika BN 'masuk PRU-15' dengan 'apa yang BN ada', BN tidak akan memperoleh 148 kerusi Parlimen, iaitu diperlukan untuk memperoleh majoriti dua pertiga.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu turut membayangkan, BN sekadar memperoleh maksimum 90 hingga 100 kerusi Parlimen pada PRU-15 nanti, sekali gus sukar untuk BN membentuk kerajaan bersendirian.

Kerajaan campuran akan dibentuk BN itu tetap berdasarkan andaian semua parti lawan tidak mampu bergabung untuk membentuk kerajaan lain tidak disertai BN, justeru ia bukan kerajaan stabil.

Sebab itu, ramai perwakilan konvensyen itu bersetuju dengan Azalina, BN perlu membereskan semua agenda reformasi dahulu sebelum memasuki PRU-15.

Beberapa undang-undang yang Azalina tegaskan sebagai perlu dipinda atau diperkenalkan bagi memastikan BN boleh menang selesa dalam PRU-15 juga memerlukan masa dilaksanakan.

Fakta, data dan dana adalah senjata utama untuk memenangi PRU-15, bukan sentimen dan emosi. Perwakilan turut mengakui BN masih ketinggalan dari sudut fakta dan data apatah lagi dana.

Hal ini mempunyai kaitan dengan ucapan Perdana Menteri - walaupun pada penilaian BN rakyat sudah kembali kepada BN, BN tidak boleh berasa selesa kerana masih banyak perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat bagi menjamin kejayaan PRU-15.

Oleh itu, pemimpin BN perlu merenungi pepatah Melayu 'dengar cakap enggang, makan buah beluluk; dengar cakap orang, terjun masuk lubuk'.

Dalam hal ini, pengalaman Najib yang 'dengar cakap orang' sehingga beliau dan BN 'masuk lubuk' kekalahan dalam PRU-14 tidak berulang dan menimpa Ismail Sabri dan juga BN.

Penulis adalah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X