Isnin, 9 Mei 2022 | 11:30am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Lindungi integriti badan kehakiman elak diperguna 'tangan ghaib'

PENGASINGAN kuasa dibentuk pada abad ke-18 oleh Montesquieu, sarjana Perancis bagi tujuan membahagikan kuasa pemerintahan kepada tiga badan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Matlamat mengasingkan kuasa ketiga-tiga badan ini supaya kuasa badan terbabit terhad bagi tujuan menjalankan fungsi ditetapkan, iaitu pentadbiran bagi eksekutif, menggubal undang-undang untuk legislatif dan bagi kehakiman pula kuasa memutuskan pertikaian.

Secara idealnya, tidak boleh ada campur tangan atau pencerobohan dalam menjalankan fungsi di antara ketiga badan ini.

Namun, dari sudut praktikal badan ini tidak secara totok berfungsi berasingan, malah terdapat semak dan imbang di antara ketiganya untuk membolehkan pemeriksaan dibuat terhadap cara kuasa diguna dan kuasa diimbangkan supaya tidak mengganggu perjalanan pentadbiran negara.

Perjalanan kuasa semak dan imbang ini, ada ketika berlaku secara tidak setara, menimbulkan gambaran terdapat badan mendominasi badan lain, terutama jika eksekutif menguasai Parlimen.

Oleh itu, proses semak dan imbang perlu berlaku secara tuntas dan dijalankan secara bijaksana serta berhemat oleh tiga badan ini untuk mengelak penguasaan tidak wajar antara satu sama lain.

Badan kehakiman kebiasaannya tidak memberikan reaksi terbuka kepada kritikan terhadap hakim atau penghakimannya.

Oleh itu, jika kenyataan dibuat, ia bermaksud berlaku gangguan kepada perjalanan tugas kehakiman, sekali gus boleh menggugat kebebasannya dan keyakinan awam kepada institusi berkenaan.

Ini bukan bermaksud badan kehakiman tidak boleh ditegur, namun perlu dibuat melalui lunas yang betul, selari dengan prinsip pengasingan kuasa tanpa menggugat kebebasan kehakiman dan keyakinan ramai kepada institusi berkenaan.

Oleh kerana itu, mustahak untuk memastikan mahkamah dilindungi daripada perbuatan yang boleh menggugat kebebasan kehakiman dan keyakinan orang awam terhadapnya.

Namun, mahkamah juga boleh menggugat kedudukan eksekutif dan legislatif melalui keputusannya, terutama membabitkan pelanggaran oleh eksekutif atau legislatif kepada peruntukan Perlembagaan antaranya berkaitan kebebasan asasi dan agihan kuasa Persekutuan-negeri.

Eksekutif dan legislatif juga boleh menggugat kedudukan badan kehakiman melalui pengurangan peruntukan pengurusan, membuat undang-undang membataskan kuasa mahkamah atau meminda undang-undang menjadikan keputusan mahkamah sia-sia.

Pindaan undang-undang membataskan kuasa mahkamah pernah dibuat pada 1988 iaitu dengan memadamkan perkataan 'kuasa kehakiman' dalam Perkara 121(1) sehingga untuk beberapa ketika dianggap mahkamah tiada kuasa kehakiman dan kuasanya bergantung kepada apa yang diperuntukkan undang-undang.

Hari ini, tekanan ke atas badan kehakiman bukan datang secara langsung daripada eksekutif, tetapi daripada 'litigant' atau individu mempunyai kepentingan disabitkan kes di mahkamah sama ada bersifat politik, kewangan atau ideologi.

Ini tergambar melalui tekanan daripada kumpulan politik, aktivis sosial dan masyarakat dalam kes berprofil tinggi mempertikai keputusan mahkamah.

Kumpulan ini menggunakan pelbagai cara di luar lunas prosedur ditetapkan dalam memberikan tekanan sehingga mampu menggugat tanggapan masyarakat Malaysia dan antarabangsa mengenai kebebasan kehakiman.

Pada era media sosial menguasai dunia, penulisan dalam sosial media adalah cara pantas dan mudah untuk membangkitkan keraguan mengenai kebebasan individu hakim atau institusi kehakiman.

Misalnya, apabila Raja Petra Kamarudin menyiarkan makalah 'Shocking revelation: Najib's trial judge Nazlan's conflict-of-interest exposed', keraguan mengenai kebebasan hakim berkenaan ketika membicarakan dan memutuskan kes penyelewengan dana SRC International (SRC) ditimbulkan.

Lanjutan itu, pelbagai spekulasi muncul sehinggalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk membuat siasatan.

Pada masa sama, rayuan kes SRC yang kini sedang didengar di Mahkamah Rayuan, peguam bela melalui lunas prosedur perbicaraan mengemukakan hujahan mempersoal kewibawaan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam pada itu, kebebasan kehakiman juga dilihat sebagai ancaman kerana kehakiman sering dilihat sebagai institusi tidak demokratik disebabkan pemilihan ke jawatan tidak melalui proses pengundian menjadikannya tidak bertanggungjawab kepada sesiapa sehingga ditanggapi boleh bertindak sewenang-wenangnya.

Namun, sebagai institusi tidak berpihak sifatnya, pemilihan hakim secara undian, bukan pilihan terbaik untuk mengelak tanggapan hakim cenderung kepada pihak mengundinya.

Oleh itu, proses pemilihan hakim di kebanyakan negara membabitkan keahlian dalam jawatankuasa terdiri daripada pihak eksekutif, ahli profesion perundangan dan wakil akademik.

Jawatan ini juga boleh dimohon oleh mereka berkelayakan atau dicalonkan. Pertimbangan dibuat Jawatankuasa Pelantikan selepas melalui saringan ketat dan pencalonan kepada ketua eksekutif (Perdana Menteri) sehingga seterusnya dipersetujui dan dilantik Ketua Negara (Yang di-Pertuan Agong).

Proses ini memberikan keabsahan pelantikan yang digambarkan dalam inti pati sumpah jawatan, diikat dengan Kod Etika Hakim 2007.

Pematuhan kepada sumpah dan Kod Etika Hakim ini meliputi perjalanan tugas kehakiman dan kehidupan sehari-hari. Oleh itu, sahsiah hakim perlu bebas cacat cela.

Terdapat dua cara disediakan untuk mula proses tindakan terhadap hakim, sama ada dibicara oleh tribunal ditubuhkan menurut Perkara 125(3) atau didengar di bawah Kod Etika Hakim 2007 yang digubal menurut Perkara 125(3A).

Walaupun terdapat undang-undang membenarkan tindakan diambil terhadap hakim, bagi menjamin kebebasan institusi kehakiman, Kod Etika Hakim atau penubuhan tribunal membicarakan hakim perlu didahulukan sebelum tindakan undang-undang diambil.

Ini bertujuan mengelak spekulasi tindakan dibuat pihak berkuasa mempunyai tujuan tersirat atau niat buruk dan institusi kehakiman secara kolektif terseret dalam kontroversi tidak berpenghujung.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan kelakuan hakim tidak boleh dibincangkan dalam Parlimen, melainkan terdapat usul khas dibawa oleh lebih satu perempat daripada jumlah ahli dewan dan tidak boleh dibincangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun tiada undang-undang bertulis menghalang eksekutif membincangkan kelakuan hakim, menjadi amalan antarabangsa bahawa eksekutif perlu mengekang membuat komen atau mengenakan tekanan tidak wajar terhadap badan kehakiman.

Oleh itu, walaupun pihak penguatkuasa undang-undang boleh mengambil tindakan menjalankan siasatan, langkah wajar perlu dibuat adalah berbincang dengan Ketua Hakim Negara supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam mengumpulkan maklumat serta menjalankan siasatan dalaman oleh Jawatankuasa Etika.

Dalam mengatur hubungan eksekutif-legislatif-kehakiman, sikap saling hormat-menghormati perlu diambil berat supaya tidak menjejaskan kebebasan kehakiman.

Konflik ketiga badan ini boleh dielak jika tiga badan ini saling menghormati kedudukan dan tugas antara satu sama lain serta menahan diri daripada 'menerjah' halaman pihak lain secara terburu-buru atau menayangkan kuasa.

Penulis adalah Bekas Profesor Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini Penasihat Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM)

Berita Harian X