Sabtu, 23 April 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Letak noktah penamat isu integriti, rasuah khidmat awam

PROSES transformasi dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai agensi pusat bertanggungjawab mengawal selia keseluruhan perkhidmatan awam dilihat mampu memperkukuhkan sumbangan dan peranan signifikan penjawat awam terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sebagai tulang belakang perkhidmatan awam, apa saja dilakukan JPA pantas menarik perhatian umum seperti penekanan sedang diberikan JPA terhadap tiga teras sebagai usaha pembaharuan, iaitu pendigitalan perkhidmatan, integriti serta penerapan pemikiran kolaboratif antara kementerian dengan swasta.

Jelas sekali JPA komited memastikan perkhidmatan awam kekal relevan, di samping mengangkat citra sumbangan penjawat awam dalam membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.

Apa yang penting sekarang, sejauh mana penjawat awam mampu menghayati dan menerima, sekali gus melaksanakan segala usaha pembaharuan diketengahkan? Harus diingat, sebagai penggerak utama dalam ekosistem perkhidmatan awam, hanya penjawat awam boleh menentukan misi pembaharuan berjaya atau tidak.

Dalam hal ini, penjawat awam diharap dapat berlapang dada menerima pembaharuan sebahagian tuntutan keperluan semasa, terutama dalam melestarikan kesinambungan perkhidmatan awam pada peringkat fasa peralihan ke endemik dan fasa endemik sepenuhnya kelak.

Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama itu, penjawat awam perlu memiliki sikap keterbukaan, sedia untuk berubah dari segi pemikiran dan cara kerja, sanggup belajar kemahiran baharu di samping terus memperkasa nilai integriti. Hakikatnya hanya mereka yang cekal, kuat jati diri dan berdaya tahan mampu mengharungi cabaran baharu dalam perkhidmatan awam era pasca pandemik.

Pemerkasaan elemen pendigitalan khususnya penggunaan teknologi dalam pelbagai perkhidmatan dalam tempoh pandemik sepanjang dua tahun lalu membuktikan kita berada pada era sangat kompleks, sekali gus perlu lebih cepat beradaptasi dengan perkembangan teknologi.

Malah, perkembangan teknologi terlalu pesat juga menuntut kita segera tingkat kemahiran agar tidak ketinggalan, sekali gus boleh memberikan khidmat lebih lancar dan efisien kepada rakyat.

Dalam hal ini, penjawat awam tidak boleh pasif atau katakan tidak kepada inisiatif mendigitalkan perkhidmatan awam, sebaliknya perlu menjadi jentera dan komponen penting menggerakkan usaha pembaharuan ini.

Justeru, usaha pendigitalan perkhidmatan awam menerusi inisiatif pelan MyDigital perlu disokong dan dijayakan sepenuhnya.

Di samping itu, integriti perlu terus diangkat sebagai amalan dan budaya kerja perkhidmatan awam memberi keyakinan penuh kepada anggota masyarakat.

Walaupun rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berlaku di semua sektor serta semua lapisan masyarakat, rasuah dalam kalangan penjawat awam tetap mencuri tumpuan khalayak. Ini kerana membabitkan wang rakyat serta kepentingan awam yang boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat serta proses pembangunan negara.

Sudah tiba masa kita meletakkan noktah kepada isu integriti yang sekian lama mencengkam dan menjejaskan nama baik serta reputasi perkhidmatan awam. Sekali lagi hanya penjawat awam boleh mengubah situasi ini serta memperbetulkan persepsi negatif anggota masyarakat.

Diharap penyediaan lebih banyak perkhidmatan secara pendigitalan akan mengurangkan perjumpaan secara bersemuka mampu melenyapkan apa jua ruang mahupun peluang untuk penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.

Namun usaha pencegahan rasuah tidak boleh diletakkan di bahu penjawat awam semata-mata, sebaliknya perlu komitmen seluruh masyarakat. Ringkasnya, jangan memberi atau menawarkan sebarang bentuk sogokan kepada penjawat awam demi melunaskan kepentingan peribadi kerana ia akan menghancurkan keseluruhan sistem nilai serta integriti dalam sesuatu agensi.

Transformasi dan usaha pembaharuan sedang giat dilaksana meletakkan JPA pada landasan betul untuk memperkukuh peranan penjawat awam serta terus memacu kecemerlangan perkhidmatan awam berpaksikan nilai integriti tinggi.

Kini terpulang kepada penjawat awam untuk menyahut usaha ini, sekali gus membuktikan komitmen dan kemampuan kepada pemegang taruh.

Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X