Selasa, 12 April 2022 | 10:30am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Penempatan pelajar dalam industri kurang dapat pendedahan

GRADUAN perlu mempersiapkan diri bukan sahaja dengan daya pemikiran kritis, bahkan sifat kepemimpinan tinggi serta sifat proaktif dan inovatif. Apatah lagi kita menyaksikan jumlah yang menganggur semakin meningkat dengan pandemik COVID-19 memburukkan lagi keadaan ekonomi, sekali gus memberi kesan kepada kebolehpasaran graduan.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan pelbagai inisiatif dan platform sokongan seperti Program Peningkatan Kerjaya (KPT-CAP) untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan dengan melahirkan graduan kompetitif dan bersedia bersaing dalam pasaran kerja global.

Bagaimanapun, dari perspektif graduan, kita mendengar keluhan graduan apabila kebanyakan industri menangguhkan pengambilan pekerja dan bersifat selektif.

Malah, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) menyedari ketidakpadanan dalam penawaran dan permintaan graduan dengan majikan menyatakan golongan itu tidak mempunyai kepakaran, kemahiran dan sikap diperlukan.

Sebagai langkah proaktif, institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan kerjasama industri bagi memastikan kurikulumnya relevan dengan keperluan industri, iaitu menerusi Kurikulum Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL).

Konsep itu mampu mengintegrasikan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri dan mewujudkan pengalaman bersepadu (teori dan praktikal). Malah, industri berpeluang membawa semangat dan idea baharu kepada organisasi, selain mempunyai cara baik mengenal pasti bakal rekrut yang akan membawa penyelesaian kos efektif pengambilan pekerja dan mengurangkan kos pengambilan/latihan masa hadapan.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) umpamanya, menawarkan lebih kurang 15 program pada peringkat Sarjana Muda yang mana pelajar akan menghabiskan tiga tahun di universiti dengan memberi tumpuan kepada aspek teori dan setahun dalam industri untuk membina pengetahuan dan pengalaman pembelajaran dalam industri (3u1i).

Bagaimanapun, industri kurang didedahkan dengan konsep ini hingga menyukarkan universiti mendapatkan penempatan pelajar. Memandangkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlaku di tempat kerja, industri harus menyediakan sokongan diperlukan kepada pelajar, yang tidak terhad persekitaran kerja, jurulatih bertauliah dan perkhidmatan sokongan lain.

Kualiti jurulatih daripada industri penting untuk menyampaikan latihan mencapai tahap industri di tempat kerja. Ia memerlukan pemantauan rapi agar dapat menghasilkan pelajar kompeten. Oleh itu, komitmen KPT dan pihak berkaitan perlu diperkukuhkan dengan menyediakan platform sebagai pemudah cara antara industri dengan IPT.

Realitinya, kemajuan teknologi digital menjadikan kemahiran konvensional tidak lagi relevan. Individu dengan kemahiran digital terhad akan terkesan kerana automasi teknologi. Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2020 menganggarkan lebih kurang 75 juta pekerjaan akan digantikan teknologi digital pada 2025.

Menerusi dasar mengenai Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) pada peringkat kebangsaan, terdapat lima teknologi asas, iaitu kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT), blok rantai, komputer awan, analisis data raya serta bahan dan teknologi termaju, sekali gus dijangka akan mewujudkan impak tinggi dari segi penciptaan pekerjaan baharu.

Berdasarkan laporan Smart City Handbook: Malaysia oleh Arup and Think City, konsep bandar pintar (2018-2025) akan menyelesaikan isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan persekitaran mampan dan selamat serta menggalakkan pengurusan bandar cekap.

Selaras perkembangan itu, apakah nilai tambah perlu diambil IPT dalam memastikan graduan mampu bersaing dalam pasaran kerja? Bidang kewangan digabungkan dengan kemahiran analisis data raya untuk memberikan maklumat berguna bagi membuat keputusan berkaitan pengurusan kewangan dan tabiat pengguna.

Teknologi kewangan memperbaiki dan mengautomasi penyampaian serta penggunaan perkhidmatan kewangan untuk membantu syarikat, pemilik perniagaan dan pengguna mengurus operasi, proses dan kewangan dengan lebih baik dengan menggunakan perisian dan algoritma khusus digunakan pada komputer dan telefon pintar.

Amat penting untuk meningkatkan kesediaan tenaga kerja sedia ada berkembang maju dalam persekitaran kerja cepat berubah selaras perubahan teknologi. Tenaga kerja sedia ada dan akan datang perlu dilengkapi pengetahuan dan kemahiran diperlukan industri untuk berkembang maju dalam persekitaran IR4.0 serta meningkatkan produktiviti dan daya saing.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri (FPI) Universiti Malaysia Pahang

Berita Harian X