Sabtu, 9 April 2022 | 11:00am
Undang-undang antilompat parti adalah satu langkah jalan pintas untuk atasi salah satu masalah yang timbul daripada sistem pilihan raya yang ada. - Foto hiasan/BERNAMA
Undang-undang antilompat parti adalah satu langkah jalan pintas untuk atasi salah satu masalah yang timbul daripada sistem pilihan raya yang ada. - Foto hiasan/BERNAMA

Pindaan Perlembagaan jamin Akta Anti Lompat Parti tak boleh dicabar

Pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) Isnin ini menjadi proses penting bagi membolehkan peraturan antilompat parti dapat dilaksanakan di negara ini.

Pindaan Perlembagaan menjadi langkah wajib bagi memastikan usaha untuk mengawal amalan lompat parti tidak terbantut akibat cabaran di mahkamah.

Pada 1992, Mahkamah Agung memutuskan undang-undang antilompat parti yang ada dalam Perlembagaan Negeri Kelantan sebagai tidak sah kerana bertentangan Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(1)(c) berkaitan kebebasan berpersatuan.

Dalam kes itu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan daripada Parti Melayu Semangat 46 melompat ke Barisan Nasional (BN). Pada 1991, perlembagaan negeri dipinda bagi memperuntukkan bahawa mana-mana ADUN yang menjadi ahli sesebuah parti politik yang keluar parti, dipecat atau tidak lagi menjadi ahli parti itu atas apa-apa alasan, adalah dianggap hilang keanggotaan dalam DUN dan kerusinya adalah kosong.

Kerusi kedua-dua ADUN berkenaan diisytiharkan kosong dan pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kedua-dua DUN berkenaan. Mereka bertanding atas tiket BN, tetapi kalah.

Seterusnya, mereka mencabar peruntukan Perlembagaan Negeri Kelantan yang menghalang lompat parti. Mereka memenangi kes berkenaan dan kembali diisytiharkan sebagai ADUN oleh Mahkamah Agung.

Kes unik ini menjadi batu penghalang besar kepada usaha untuk mengekang lompat parti yang boleh menimbulkan ketidaktentuan politik sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri.

Prinsip kebebasan berpersatuan ini diberikan tafsiran agak luas dengan meliputi soal hak wakil rakyat untuk keluar parti. Atas faktor inilah usaha memperkenalkan undang-undang antilompat parti sedang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan sekarang perlu dimulakan dengan pindaan Perlembagaan.

Pindaan ke atas Perkara 10 dirasakan perlu bagi menyatakan secara khusus bahawa undang-undang antilompat parti adalah satu pengecualian kepada hak kebebasan berpersatuan.

Selain isu berkaitan kebebasan berpersatuan, pindaan Perlembagaan juga diperlukan kerana kedudukan ahli Parlimen adalah berteraskan peruntukan Perlembagaan, iaitu undang-undang tertinggi negara.

Pemilihan, hak dan kelayakan ahli Parlimen diperuntukkan secara khusus oleh Perlembagaan melalui Perkara 44, 46, 47, 48 dan 113.

Oleh itu, adalah tidak wajar pemecatan atau kehilangan kerusi mereka sekadar diperuntukkan satu akta yang berada pada taraf lebih rendah berbanding Perlembagaan.

Langkah yang sesuai adalah dengan meminda Perkara 48 yang berkaitan 'Hilang Kelayakan Ahli Parlimen' dengan memasukkan tindakan lompat parti sebagai salah satu faktor hilang kelayakan.

Selain itu, sebagai alternatif boleh juga memasukkan peruntukan baharu, iaitu Perkara 48A yang secara khusus memperuntukkan peraturan berkaitan lompat parti seperti terdapat dalam perlembagaan beberapa negara pengamal demokrasi berparlimen lain seperti Bangladesh dan Singapura.

Perlu juga disebut masalah lompat parti berpunca daripada pertentangan antara sistem pilihan raya dan realiti hasrat pengundi. Sistem pilihan raya di negara ini berteraskan choice of candidates, iaitu setiap undi yang diberi bermaksud memilih calon, bukannya memilih parti.

Parti hanyalah simbol digunakan calon berkenaan. Oleh itu, dari segi undang-undang, wakil rakyat yang menang kekal di kerusinya dalam Dewan Rakyat, walaupun bertukar parti kerana yang dipilih ialah dirinya, bukan parti.

Sistem ini bertentangan dengan kecenderungan kebanyakan pengundi yang membuat pilihan berteraskan parti atau choice of political party. Masalah ini hanya dapat diatasi sepenuhnya apabila sistem pilihan raya dirombak sepenuhnya.

Langkah memperkenalkan undang-undang antilompat parti adalah satu langkah jalan pintas untuk mengatasi salah satu masalah yang timbul daripada sistem pilihan raya yang ada. Langkah ini dapat meredakan sedikit masalah, tetapi ia boleh menimbulkan beberapa masalah lain.

Namun, kita tidak ada banyak pilihan dan pergolakan politik yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 menuntut kerajaan bertindak segera bagi memastikan politik negara tidak goyang akibat tindakan segelintir wakil rakyat yang gemar melompat parti.

Terdapat laporan menyebut bahawa kelewatan pembentangan rang-undang-undang berkaitan undang-undang antilompat parti berlaku kerana pertikaian berkaitan definisi 'parti politik'.

Terdapat banyak persoalan berkaitan maksud parti politik. Misalnya, adakah ia termasuk gabungan parti atau hanya sekadar parti biasa? Bagaimana pula jika sebuah parti keluar daripada satu gabungan, adakah ia juga dianggap lompat parti atau tidak?

Demikian juga berkaitan kedudukan seorang wakil rakyat yang menang atas tiket Bebas. Adakah wajar dia dianggap lompat parti apabila menyertai sesebuah parti?

Bagaimana pula seseorang ahli parti A, tetapi bertanding menggunakan simbol parti B. Jika menang dan 'melompat' ke parti B, adakah juga perlu mengosongkan kerusi?

Begitu juga seorang yang tidak menjadi ahli parti C, kemudian bertanding atas simbol parti C. Jika dia menang dan kemudian menyertai parti C, adakah dia juga dianggap sebagai 'melompat parti'?

Persoalan ini memang rumit dan memerlukan penelitian tekun dengan melihat kepada pelbagai faktor. Kerumitan ini timbul kerana sistem pilihan raya kita berteraskan calon, bukan berteraskan parti. Bahkan sebenarnya kedudukan parti dalam sistem pilihan raya hanya wujud menerusi penggunaan simbol dalam pilihan raya.

Oleh itu, kekusutan ini boleh dirungkaikan dengan kembali merujuk sistem pilihan raya, iaitu dengan mengaitkan hubungan antara ahli Parlimen dengan sesebuah parti melalui simbol atau lambang yang digunakan dalam pilihan raya, bukannya melalui 'keahlian' parti diperuntukkan di bawah Akta Pertubuhan.

Berteraskan rujukan ini, seseorang ahli Dewan Rakyat dianggap keluar parti apabila tidak lagi menganggotai parti digunakan sebagai simbol sewaktu pilihan raya, sama ada parti itu adalah parti biasa atau entiti gabungan parti.

Pihak yang menentukan status ikatan beliau dengan parti adalah pihak sama yang memberikan keizinan kepadanya untuk menggunakan simbol parti sewaktu pilihan raya. Kebiasaannya pihak diberi kuasa berkenaan adalah jawatan kuasa tertinggi atau majlis tertinggi sesebuah parti.

Ringkasnya, usaha mengekang budaya lompat parti perlu dilaksanakan segera. Namun, dari perspektif undang-undang dan Perlembagaan, ia bukanlah satu perkara mudah. Terdapat implikasi dan faktor tertentu yang perlu diberikan perhatian mendalam.

Namun, langkah pertama yang 'wajib' adalah dengan meminda Perlembagaan bagi memastikan
peraturan diperkenalkan tidak diisytiharkan batal akibat bercanggah dengan undang-undang tertinggi itu.

Penulis adalah Profesor Madya di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X