Rabu, 9 March 2022 | 11:35am
Projek MRT3 melengkapkan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di Lembah Klang yang memberi manfaat kepada rakyat serta sektor berkaitan. - Foto hiasan
Projek MRT3 melengkapkan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di Lembah Klang yang memberi manfaat kepada rakyat serta sektor berkaitan. - Foto hiasan

Tambah baik pelaksanaan projek mega tidak jejas monetari negara

KEPUTUSAN Kabinet meluluskan tiga projek infrastruktur berimpak tinggi, iaitu Transit Aliran Massa 3 (MRT3), menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo dan projek tebatan banjir ini tepat pada masanya.

Hakikatnya, banyak kajian dalam bidang pembangunan ekonomi menunjukkan hubungan langsung di antara projek mega infrastruktur berimpak tinggi ini kepada peningkatan dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Projek MRT ini misalnya, satu bentuk perubahan besar dalam sejarah pembangunan ekonomi Malaysia.

Agak menghairankan projek MRT3 yang bertujuan melengkapkan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam di Lembah Klang ditangguhkan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah tatkala pelbagai bukti menunjukkan kebaikan projek ini kepada rakyat.

Jika penangguhan itu dibuat atas alasan negara menghadapi masalah kewangan atau cuba mengurangkan tahap hutang negara, hujah ini sangat lemah dan menggambarkan pemahaman serta pengetahuan ekonomi yang cetek.

Sebagai sebuah negara mempunyai 'kedaulatan monetari', mustahil untuk kerajaan kehabisan wang atau dana. Apa yang perlu diteliti bukan hanya tahap hutang itu semata-mata.

Maksudnya, kadar hutang yang rendah tidak semestinya baik dan kadar hutang tinggi tidak semestinya tidak baik dari segi pengurusan ekonomi.

Sebab itu banyak negara maju mempunyai tahap hutang tinggi dan kebanyakan negara mundur, berpendapatan rendah dan kurang membangun mempunyai tahap hutang kerajaan rendah.

Banyak faktor perlu dilihat dan salah satu daripada faktor itu adalah tujuan hutang berkenaan. Jika ia digunakan untuk pelaburan produktif, ekonomi, perniagaan dan kemakmuran rakyat, ia hutang yang baik.

Masalah utama pemahaman umum terhadap konsep hutang kerajaan ini adalah penggunaan metafora yang salah, iaitu menyamakan hutang kerajaan seperti hutang individu. Hakikatnya, hutang kerajaan bukan hutang individu.

Pertama sekali, kerajaan adalah entiti yang wujud selama-lamanya, bukan seperti individu yang akan mati.

Selain itu, kerajaan Persekutuan dipanggil sebagai pengeluar wang, manakala individu dan syarikat adalah pengguna wang. Justeru, bagaimana sebuah entiti pengeluar wang boleh muflis.

Walaupun ada beberapa negara pernah menjadi seperti Greece dan Argentina dengan Greece tidak ada lagi kedaulatan monetarinya sejak menyertai Kesatuan Eropah (EU), manakala Argentina pula mempunyai sumber hutang luaran sangat tinggi berbanding sumber hutang domestik.

Kedua-dua situasi ini tidak terpakai dalam konteks kerajaan Malaysia. Pendek kata, tidak tepat menggunakan hujah kerajaan tidak mempunyai wang atau kerajaan pada ketika ini perlu mengurangkan hutang awam sebagai alasan menangguhkan projek mega seperti MRT3.

Begitu juga dengan projek infrastruktur mega lain diluluskan kerajaan iaitu penambahbaikan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo dan tebatan banjir.

Analisis hutang kerajaan diukur dengan menggunakan nisbah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Maka, jika pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat pada beberapa tahun mendatang menerusi projek mega ini, nisbah hutang kerajaan juga berkurangan dari semasa ke semasa.

Sektor spesifik seperti pembinaan akan mendapat manfaat sangat diperlukan pada ketika ini. Sektor pembinaan belum pulih sepenuhnya akibat kesan COVID-19, menguncup pada kadar 12.2 peratus pada suku keempat tahun lalu dan menyusut pada kadar 5.2 peratus pada keseluruhan 2021.

Pemulihan sektor pembinaan akan memberi kesan positif kepada sektor lain melalui proses rantaian bekalan barang pengguna dan pengeluaran barang keperluan pengguna serta meningkatkan integrasi antara industri sama ada secara vertikal atau horizontal.

Jika tiada keadaan luar jangka berlaku pada tahun ini seperti kemunculan bentuk varian baharu COVID-19 yang memaksa kerajaan menutup sempadan atau krisis Russia-Ukraine bertukar menjadi lebih teruk, ekonomi Malaysia dijangka dapat mencapai sasaran pertumbuhan antara 5.5 hingga 6.5 peratus.

Apa yang perlu difahami dalam konteks meneruskan projek mega ini adalah ia bukan saja perlu dilihat dalam perspektif pemulihan ekonomi semata-mata.

Ia satu isyarat jelas kepada komitmen kerajaan menterjemahkan konsep Keluarga Malaysia menjadi realiti supaya kesejahteraan negara dapat dikongsi bersama tanpa ada sesiapa yang ketinggalan.

Ia juga dilihat sebagai pelengkap kepada bantuan pakej rangsangan ekonomi berbentuk jangka pendek untuk membantu peniaga dan golongan B40.

Namun, apa yang lebih penting adalah usaha kerajaan melakukan transformasi ekonomi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi seperti disasarkan mengikut Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan memacu ekonomi lebih baik pasca pandemik.

Apa yang jelas, pada jangka masa pendek dan sederhana, melalui pelaksanaan projek infrastruktur ini, peluang perniagaan serta pekerjaan dapat dicipta, keutamaan diberikan kepada kontraktor tempatan, khasnya Bumiputera.

Ia bagi memastikan aspirasi dalam Inisiatif Jamin Kerja dan Inisiatif Semarak Niaga dapat direalisasikan segera, terutama mengambil kira fenomena banjir semakin kerap berlaku ketika ini.

Kerajaan juga perlu memastikan infrastruktur digital berbentuk kelestarian dan mampan dirancang serta diterjemahkan kepada program serta projek lebih konkrit untuk manfaat Keluarga Malaysia secara keseluruhannya.

Penulis adalah Pensyarah Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X