Sabtu, 5 March 2022 | 10:15am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bantuan terus dana bencana dapat elak guna KWSP

PENULARAN COVID-19 dalam tempoh dua tahun lalu ternyata memberi kesan amat ketara kepada ekonomi negara. Pandemik ini juga menyebabkan kehidupan rakyat terkesan. Ramai yang kehilangan pekerjaan, sekali gus menyebabkan pendapatan dan kehidupan mereka terjejas.

Menyedari situasi itu, kerajaan membuat keputusan membenarkan rakyat mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) bagi menampung kos kehidupan.

KWSP menawarkan pengeluaran caruman menerusi skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang secara keseluruhan membabitkan pengeluaran berjumlah RM101 bilion oleh 7.4 juta ahli.

Menurut KWSP, kebenaran mengeluarkan caruman itu menyebabkan 6.1 juta ahli mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka ketika ini dan sejumlah 79 peratus lagi mempunyai kurang RM1,000 baki di dalam akaun.

Ini bukan satu fenomena baharu kerana sebelum pandemik melanda, 28 peratus ahli KWSP memiliki paras simpanan sangat rendah. Ini boleh dihuraikan sebagai 'kemelut simpanan' atau savings glut, frasa dicipta Ben Bernanke pada 2005.

Ia bermaksud penyimpan di dalam kumpulan berpendapatan tinggi dengan dana lebihan tidak membelanjakan wang tetapi sebaliknya melabur dalam jumlah besar.

Jumlah simpanan itu melebihi jumlah dana diperlukan untuk merangsang aktiviti ekonomi dan akhirnya mewujudkan kemelut simpanan.

Dijangkakan di dalam era pasca-pandemik, jurang ini akan lebih melebar disebabkan ketidaksamaan pendapatan.

Situasi ini mendedahkan kekurangan perlindungan sosial di dalam menangani kejutan di dalam ekonomi, terutama mereka yang bekerja sendiri atau bekerja dalam sektor tidak formal.

Justeru, langkah pemberian bantuan berjangka pendek seperti penyaluran terus dari dana bantuan bencana sepatutnya menjadi pendekatan lebih baik berbanding mengeluarkan simpanan persaraan bagi membantu rakyat yang terkesan.

Ini disebabkan unjuran semasa menunjukkan Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2030 dan kekurangan simpanan semasa usia emas hanya akan membawa kepada beban fiskal lebih besar dari segi kos penjagaan kesihatan dan jaminan pendapatan di masa hadapan.

Pendekatan jangka panjang seharusnya tertumpu kepada usaha menyelesaikan atau sekurang-kurangnya mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan kerana garisan kemiskinan di Malaysia disusun semula kepada RM2,208 bagi setiap isi rumah, menjadikan lebih 600,000 isi rumah berada di garisan kemiskinan pada akhir tahun 2020.

Dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menyediakan jaminan sosial bagi mereka yang di dalam kumpulan ini dan mereka yang bersara. Yang paling ideal ialah ia bukan pencen berbentuk caruman.

Isu jangka panjang dan menekan ialah memberi peluang kepada mereka yang berpendapatan rendah untuk menutup jurang persaraan dan pencen.

Terdapat pengajaran yang boleh dipelajari daripada Pemenang Hadiah Nobel, Abhijit Banerjee yang menyatakan rangsangan ekonomi menerusi modal besar bersama dengan sokongan penggunaan dalam satu tempoh masa, membolehkan lebih banyak mobiliti sosial dan menghasilkan peningkatan produktiviti.

Ia juga akan memberi lebih banyak peluang untuk generasi akan datang yang menerima rangsangan ini kerana ia membolehkan akses kepada pendidikan lebih baik dan akhirnya pekerjaan berkualiti.

Rangsangan itu bagaimanapun satu bentuk dorongan besar dan disusuli dengan sokongan pengurusan kewangan dan menyediakan pelbagai kemahiran.

Ketua Penyelidikan Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang, Universiti Taylor's

Berita Harian X