Rabu, 2 March 2022 | 10:30am

Vaksinasi kanak-kanak cegah komplikasi akibat COVID-19

KETIKA ini Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids). Vaksin yang diiktiraf selamat untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke atas di seluruh dunia pada waktu ini ialah formulasi vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech).

Kanak-kanak diberi dua dos dengan jarak lapan minggu di antara kedua-duanya. Setiap dos bersamaan dengan 10mcg vaksin mRNA (0.2mls).

Kajian klinikal ke atas 2,268 kanak-kanak penerima vaksin Prozer-BioNTech mendapati vaksin ini selamat dan menghasilkan pertahanan badan efektif terhadap virus COVID-19, iaitu sehingga 90.7 peratus.

Setakat ini lebih 8 juta kanak-kanak di serata dunia divaksinasi setakat ini, sekali gus meyakinkan kita vaksin ini selamat untuk golongan itu.

Vaksin Pfizer-BioNTech tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak mempunyai sejarah alahan teruk (immediate) kepada vaksin itu atau kandungannya.

Kanak-kanak mengalami alahan tidak serius dalam tempoh 72 jam selepas menerima vaksin dos pertama juga tidak boleh diberikan dos kedua.

Kumpulan kanak-kanak berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 serius, kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) atau kematian adalah mereka yang mempunyai sejarah masalah kesihatan seperti masalah jantung, sistem pernafasan kronik, hipertensi, diabetis, buah pinggang, sistem pertahanan badan lemah, masalah saraf, autisme dan obesiti.

Oleh itu, kanak-kanak mempunyai penyakit ini perlu diberikan vaksin secepat mungkin. Antara kesan sampingan vaksin yang biasa dialami kanak-kanak ialah kesakitan pada tempat suntikan, kemerahan dan bengkak.

Mereka juga mungkin mengalami gejala seperti rasa letih, sakit kepala, sakit otot dan demam. Jika mereka mempunyai gejala seperti ini, mereka perlu diberi ubat demam atau penahan sakit seperti paracetamol serta digalakkan berehat sehingga kembali pulih.

Kesan sampingan serius sering dikaitkan dengan vaksin Pfizer-BioNTech ialah jangkitan pada otot jantung (myocarditis) dan selaput jantung (pericarditis).

Keadaan ini lazimnya berlaku dalam masa beberapa hari sehingga seminggu daripada tarikh suntikan.

Tanda-tanda myocarditis atau pericarditis ialah sesak nafas, sakit dada, pitam, pengsan atau rasa denyut nadi laju atau tidak sekata.

Jika dilihat kepada kajian pada Disember lalu, daripada 8,674,378 dos vaksin diberikan, cuma 12 kes myocarditis dilaporkan. Semua kes ini mengalami gejala ringan dan sembuh sepenuhnya.

Kajian ini juga mendapati kes myocarditis sebenarnya lebih tinggi dalam kalangan remaja berusia 12 tahun ke atas yang diberikan vaksin Pfizer-BioNTech.

Secara keseluruhannya, risiko myocarditis jauh lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak lima tahun ke atas jika dibandingkan dengan golongan remaja.

Selepas atau sebelum menerima vaksin COVID-19, kanak-kanak boleh menerima apa-apa vaksin lain dengan syarat mereka sembuh sepenuhnya. Jarak dua minggu adalah digalakkan antara vaksin COVID-19 dengan vaksin lain.

Kanak-kanak tidak digalakkan mengambil ubat sebelum atau ketika divaksin seperti paracetamol dan ibuprofen tetapi boleh melakukan demikian sebaik saja mengalami gejala seperti demam, sakit kepala, sakit otot atau sakit lengan.

Program imunisasi COVID-19 untuk kanak-kanak lima tahun ke atas sebenarnya berperanan mencegah komplikasi Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem pada Kanak-Kanak (MIS-C).

MIS-C boleh berlaku antara dua hingga enam minggu selepas dijangkiti virus COVID-19 dan 60 hingga 70 peratus kanak-kanak yang mengalami keadaan ini perlu dimasukkan ke ICU. Lebih menyedihkan, MIS-C ini mempunyai satu hingga dua peratus risiko kematian.

Oleh itu, ibu bapa perlu membuat keputusan bijak bagi melindungi anak daripada jangkitan COVID-19 yang serius serta komplikasinya.

Aktivis I-Medik Johor Bahru

Berita Harian X