Isnin, 17 Januari 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Integriti penjawat awam tingkatkan keyakinan terhadap kerajaan

Perkhidmatan awam Malaysia sering menjadi rujukan negara sedang membangun kerana tahap efisien dan integriti tinggi, namun kebanggaan rakyat sedikit luntur akibat kes rasuah serta salah laku yang sering dilaporkan di media massa.

Diakui pelbagai usaha sudah dilaksanakan untuk mengukuhkan nilai integriti kakitangan awam termasuk penubuhan Institusi Integriti Malaysia (IIM), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), selain kewujudan unit integriti dan governan di semua jabatan serta syarikat berkepentingan kerajaan. Malah, usaha itu turut membabitkan transformasi Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri.

Walaupun usaha ini mengurangkan kes rasuah dan isu integriti dalam perkhidmatan awam, sejak akhir-akhir ini berlaku peningkatan kes membabitkan salah laku kakitangan awam terutama rasuah.

Menurut SPRM, lebih separuh penangkapan dibuat agensi itu setiap tahun membabitkan kakitangan awam. Punca utama berlaku rasuah adalah pekerja tidak mempunyai integriti apabila terdedah dengan peluang dan kuasa.

Walaupun kakitangan awam terbabit dengan amalan rasuah dan salah laku diambil tindakan pihak berkuasa, masih banyak kes rasuah berlaku tetapi tidak dilaporkan.

Perbuatan tidak melaporkan tawaran, pemberian, permintaan atau penerimaan rasuah tetap satu kesalahan menurut Seksyen 25(2) dan Seksyen 25(4) Akta SPRM 2009 dan boleh dipenjara atau didenda sekiranya didapati bersalah.

Justeru, komitmen mengurangkan rasuah bukan hanya terletak pada SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya semua pihak bertanggungjawab untuk melaporkan jenayah itu.

Kerajaan sendiri menyediakan ganjaran kewangan kepada mana-mana penjawat awam melaporkan rasuah di tempat kerja dengan sejumlah RM803,816 diberikan setakat ini kepada individu berbuat demikian.

Ini tentunya antara lain disebabkan tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan menjadi elemen penting dalam memastikan sesuatu dasar dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan. Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah kepercayaan rakyat berkait rapat keyakinan terhadap perkhidmatan awam.

Kepercayaan dan keyakinan rakyat akan bertambah jika sekiranya perkhidmatan awam mempunyai imej berintegriti, berdaya saing serta efektif.

Jika imej perkhidmatan awam tercalar akibat pelbagai salah laku dan rasuah, kepercayaan dan keyakinan terhadap kerajaan juga akan menurun.

Justeru, pembasmian rasuah hingga akar umbi mestilah dijadikan agenda utama dalam kerajaan. Ini selaras saranan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib semalam, agar setiap pihak berusaha keras menangani gejala rasuah supaya tidak berleluasa hingga mencemar imej perkhidmatan awam.

Bagaimanapun dalam konteks semasa, cabaran terkini dihadapi kerajaan dalam membendung jenayah rasuah ialah penggunaan teknologi secara licik untuk melepaskan diri daripada dikenakan sebarang tindakan.

Dahulu, cara mengesan seseorang terbabit dalam aktiviti rasuah adalah dengan melihat gaya hidupnya. Namun hari ini, walaupun gaya hidup seseorang cukup untuk dijadikan asas untuk mengesyakinya terbabit dengan jenayah rasuah, pihak berkuasa perlu mempunyai bukti cukup kuat untuk mendakwanya di mahkamah.

Walaupun jelas seseorang dilihat mempunyai kehidupan mewah kerana terbabit dengan elemen salah guna kuasa atau rasuah, mereka masih tidak dapat didakwa di mahkamah kerana kesukaran membuktikan kesalahan.

Pada masa sama, kurang kerjasama daripada mereka yang bersedia menjadi saksi dalam aktiviti rasuah juga menjadi halangan besar kepada SPRM dalam mendakwa pihak terbabit ke mahkamah.

Berdasarkan realiti inilah, banyak pihak mahu kerajaan mengkaji semula hukuman kepada pesalah rasuah. Hukuman sedia ada seolah-oleh tidak menjadi penghalang kepada mana-mana individu termasuk penjawat awam daripada melakukan amalan rasuah dan salah laku.

Malah, ada pihak mencadangkan hukuman mati dikenakan terhadap pesalah rasuah seperti di China. Walaupun cadangan itu dianggap ekstrem, ia timbul akibat kekecewaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam yang masih lagi dibelenggu rasuah.

Pada masa sama, Akta 694 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 menetapkan hukuman penjara kepada pesalah rasuah tidak melebihi 20 tahun, tetapi ia tidak mengandungi hukuman minimum.

Kadangkala individu terbabit dalam rasuah mengambil peguam hebat yang pintar dalam selok-belok undang-undang hingga hukuman dikenakan sangat minimum berbanding rakyat biasa tidak mampu mengupah peguam hingga akhirnya menerima hukuman agak berat.

Sebenarnya, senario sebeginilah yang sering menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan kerana seolah-olah wujudnya perbezaan antara dua darjat. Jika sekiranya ada hukuman penjara minimum seperti 5 hingga 10 tahun terhadap pesalah rasuah, ia pasti akan menimbulkan ketakutan kepada bakal pelaku rasuah.

Hakikatnya, integriti kakitangan awam penting dalam memastikan kerajaan mendapat kepercayaan penuh masyarakat. Setiap penjawat awam perlu menjauhkan diri daripada terbabit dalam sebarang rasuah dan salah laku.

Penjawat awam bukan sahaja perlu bebas daripada rasuah, bahkan perlu dilihat bersih daripada elemen salah laku itu.

Penjawat awam berintegriti akan membantu meningkatkan imej perkhidmatan awam dan imej perkhidmatan awam baik akan membantu meningkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap kerajaan.

Penulis adalah Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Pengajian Kerajaan Kolej Undang-undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM

Berita Harian X