Rabu, 12 Januari 2022 | 10:00am
Nilai empati dan keprihatinan terhadap masyarakat yang ditimpa bencana perlu dipupuk serta dilestarikan dalam kalangan mahasiswa.
Nilai empati dan keprihatinan terhadap masyarakat yang ditimpa bencana perlu dipupuk serta dilestarikan dalam kalangan mahasiswa.

Lahirkan graduan sebagai sosok warganegara unggul

Gerakan dan aktivisme mahasiswa yang terkenal pada era 60-an menyerlahkan sosok kemanusiaan dalam kalangan mahasiswa di universiti. Mahasiswa ketika itu dianggap sebagai 'jurucakap rakyat' kerana sentiasa cakna dan prihatin terhadap isu kemasyarakatan.

Dalam buku Mahasiswa Menggugat, tulisan oleh Mohamad Abu Bakar menjelaskan bagaimana isu kemiskinan yang melanda masyarakat ketika itu menjadi faktor utama mahasiswa terpanggil untuk 'keluar' dari pagar kampus.

Dalam melaksanakan amanah ini, mereka sanggup meninggalkan kehidupan di kampus buat sementara waktu dan turun padang untuk berbakti dan membantu rakyat sebagai satu simbol semangat perpaduan, empati dan kekitaan tinggi pada ketika itu.

Musibah banjir yang berlaku baru-baru ini mendambakan perhatian dan sumbangan semua pihak. Antara kumpulan yang bersama-sama membantu misi bantuan banjir ialah sukarelawan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi (IPT). Mereka datang ke kawasan terkesan banjir melalui pelbagai nama universiti, tetapi bersatu hati di bawah panji kemanusiaan.

Peranan dan sumbangan sukarelawan mahasiswa dalam hal ini memerlukan dukungan ekosistem yang baik. Justeru, majoriti universiti awam memberi penangguhan kuliah kepada mahasiswa supaya mereka boleh menumpukan perhatian dan tenaga membantu mangsa banjir, selain mengurus pasca banjir bagi mereka sendiri yang terkesan sebagai mangsa.

Meskipun bukan semua mahasiswa terbabit, tempoh bertenang ini membolehkan mereka peka dengan isu semasa yang meliputi kesejahteraan rakyat. Pada masa sama, mereka juga boleh menghulurkan tangan membantu mangsa banjir dengan pelbagai cara dalam kesempatan masa yang ada.

Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai contoh, seperti IPT lain sentiasa cakna melestarikan program kesukarelawanan dalam kalangan kakitangan dan pelajar di bawah panji Putra Bakti.

Ketika musibah banjir melanda beberapa negeri pada Disember lalu, lebih 60 misi bantuan banjir diatur gerak pelbagai Pusat Tanggung Jawab (PTJ) universiti membabitkan hampir 2,000 sukarelawan staf dan pelajar.

Perkembangan ini mengingatkan kita dengan banjir besar pada 2014 yang mengorbankan nyawa dan menjejaskan kehidupan rakyat. Musibah luar biasa melanda beberapa negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak serta sesetengah tempat di Johor, Sabah dan Sarawak mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dengan anggaran menghampiri RM2.9 bilion.

Dalam menjayakan misi sukarelawan banjir baru-baru ini, IPT berganding bahu dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sendiri turut menyingsing lengan bersama mahasiswa membantu mangsa banjir. Bak kata pepatah, 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'.

Kita sangat berbesar hati apabila sukarelawan mahasiswa bersemangat bersama menyantuni dan memakmurkan masyarakat yang terkesan akibat banjir khususnya di Selangor dan Pahang. Inilah nilai empati dan keprihatinan yang ingin dipupuk dan dilestarikan dalam kalangan mahasiswa seiring dengan moto UPM iaitu 'Berilmu, Berbakti'.

Nilai murni ini juga diharap dapat dipupuk dan dihayati dalam kalangan graduan sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-44 yang bermula sejak Sabtu lalu. Graduan yang memperoleh kejayaan akademik akan lebih unggul dengan mempunyai sahsiah, budi pekerti, integriti dan perwatakan yang terpuji.

Usaha universiti menjana insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi perlu disokong dengan pembinaan nilai keinsanan tinggi. Nilai ini boleh dipupuk melalui pengalaman pembelajaran yang diperoleh di luar bilik kuliah sebagai persediaan menghadapi kehidupan sebenar.

Pembabitan mahasiswa dalam membantu mangsa banjir baru-baru ini adalah bukti nyata bagaimana pengalaman pembelajaran di luar kuliah boleh membentuk nilai murni dalam kalangan mereka. Kita percaya, mahasiswa yang kaya ilmu dan pengalaman akan bersedia memberi lebih banyak manfaat dan sumbangan kepada negara.

Sejak dulu, peranan universiti diharap bukan sekadar menjana insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi tetapi warganegara yang baik. Aspek ini sangat penting kerana hanya dengan menjadi seorang warganegara yang baik, seseorang graduan itu dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara bersama nilai patriotisme dan jati diri yang tinggi.

Justeru, penghasilan seseorang graduan tidak boleh hanya dinilai dalam sudut nilai ekonomi semata-mata, sebaliknya bagaimana mereka mampu mempertahankan kelangsungan, kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan nilai perpaduan dan patriotisme yang jitu.

Dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025, penghasilan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang menjadi satu daripada matlamat utama. Lebih-lebih lagi, cabaran masa depan dibelenggu faktor VUCA merujuk volatility (ketidakstabilan), uncertainty (ketidakpastian), complexity (rumit) dan ambiguity (kabur).

Graduan dilahirkan mesti mampu beradaptasi dengan kehidupan sebenar dengan mengaplikasikan ilmu, nilai dan kemahiran diperoleh sepanjang pengajian di kampus. Tiga komponen ini menyatu sekali gus membentuk sosok mereka yang unggul.

Suatu masa nanti, ada dalam kalangan mereka yang bakal menjadi pemimpin negara, sekurang-kurangnya menjadi pemimpin keluarga dan diri sendiri. Kita mesti mempertahankan sistem nilai dalam masyarakat kita dengan memastikan mahasiswa dan graduan di IPT berintegriti dan memiliki keperibadian serta sahsiah yang unggul.

Tahniah kepada semua graduan UPM dan menjunjung kasih tidak terhingga ke bawah duli Tuanku Canselor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas perkenan berangkat ke Majlis Konvokesyen UPM Ke-44 ini.

Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X