Isnin, 10 Januari 2022 | 10:30am

Jangan biar rakyat hilang keyakinan terhadap SPRM

Anggota pentadbiran kerajaan sama ada dalam kalangan pemimpin politik atau penjawat awam bukan hanya perlu bersih, malah perlu dilihat sebagai bersih. Imej bersih daripada sebarang bentuk rasuah amat penting bagi mewujudkan keyakinan awam terhadap integriti pemerintahan negara.

Imej ini perlu ada pada semua agensi kerajaan, lebih-lebih lagi yang diberi peranan untuk mencegah rasuah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM diberi tugas menghapuskan rasuah, maka dakwaan yang mengaitkan ketua pesuruhjayanya dengan rasuah perlu diberikan perhatian serius.

Jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah kedudukan penting dalam negara. Ia menjadi kunci utama dalam menentukan integriti pemerintahan kerajaan. Atas sebab itulah, Akta SPRM 2009 melalui Seksyen 5 menetapkan bahawa pelantikan ke jawatan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Sejak timbulnya isu berkaitan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki, wujud suara yang mempertikai kredibiliti badan itu dalam menangani rasuah dalam negara. Masyarakat pelbagai peringkat menyatakan keprihatinan terhadap badan yang diberi peranan untuk memastikan negara bersih daripada rasuah itu.

Keprihatinan ini timbul atas dasar untuk mengelak berlakunya salah laku oleh pentadbir nombor satu di badan penguat kuasa yang sepatutnya memerangi salah laku dan rasuah - ibarat 'harapkan pegar, pegar makan padi'.

Tahap kewibawaan SPRM dan pemimpinnya dalam soal integriti sepatutnya berada pada kedudukan paling tinggi berbanding agensi kerajaan lain. Oleh itu, semua pihak amat sukar menerima jika wujud salah laku dan penyelewengan dalam kalangan anggota SPRM, lebih-lebih lagi jika membabitkan teraju utamanya sendiri.

Krisis integriti berlaku ini tidak boleh dibiarkan lama tanpa ditangani dengan cepat, adil, telus dan menyeluruh. Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan Perdana Menteri sendiri perlu bertindak cekap, dengan mengambil kira semua faktor bagi menanganinya.

Kita tidak mahu agensi antirasuah negara menjadi bahan jenaka sehingga hilang kepercayaan rakyat. Bahkan, isu ini boleh merebak sehingga menjatuhkan maruah negara di mata dunia.

Perlu diingat bahawa Seksyen 5(3) Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa seseorang Ketua Pengarah SPRM memegang jawatan dalam tempoh ditetapkan 'selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri.'

Peruntukan ini memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk membuat tindakan perlu bagi menjaga nama baik negara dan kerajaan. Ini kerana, jawatan berkenaan amat berkaitan dengan tahap integriti dan ketelusan kerajaan secara keseluruhan.

Di pihak Azam selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM pula, desakan pelbagai pihak supaya beliau bercuti bagi memberi ruang proses siasatan perlu dipandang serius. Tidak salah bagi seseorang pemimpin mengambil langkah berjiwa besar bagi meredakan keresahan rakyat dan memberi peluang kepada pihak berkaitan membuat siasatan menyeluruh dan bebas.

Berundur bukan bermakna mengaku bersalah, tetapi ia satu langkah demi untuk mengelakkan nama baik agensi yang berasaskan integriti itu terus ditohmah dan dipermain-mainkan.

Keutamaan perlu diberikan kepada agenda besar kerajaan untuk membanteras rasuah, seperti mana dilaungkan menerusi beberapa dasar dan pelan termasuklah Pelan Antirasuah Nasional (NACP). Persoalan bersih, integriti dan antirasuah bukan sekadar persoalan undang-undang, tetapi ia juga persoalan moral.

Ia bukan sekadar diukur melalui nas akta dan peraturan - bagi menentukan sama ada salah atau tidak - tetapi ia juga berteraskan kejujuran, ketulusan dan nilai murni yang sebahagiannya tidak diperuntukkan dalam undang-undang.

Mereka yang diberi amanah bukan sekadar perlu bersih daripada sebarang kesalahan undang-undang, bahkan perlu kelihatan bersih dan meyakinkan.

Berbalik isu berlaku membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini, pendedahan sebenarnya dibuat sejak 26 Oktober 2021, melalui satu artikel bertajuk Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go? yang disiarkan dalam portal Independent News Service.

Persoalannya, kenapa penjelasan yang jitu dan meyakinkan tidak diberikan segera bagi mengelakkan ia berlarutan sehingga menimbulkan pertikaian ramai.

Selain itu, fakta bahawa pemilikan saham atas nama Azam pada 2015 benar-benar berlaku seperti mana dinyatakan sendiri oleh beliau melalui sidang akhbar pada 5 Januari lalu.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat berkenaan setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Walaupun beliau mendakwa akaun perdagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham berkenaan, ia bukan satu asas kukuh untuk menghilangkan keraguan terhadap integriti dirinya selaku peneraju badan pencegah rasuah.

Ringkasnya, isu yang timbul berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM bukan sekadar isu sama ada wujud pelanggaran undang-undang atau tidak, tetapi ia adalah soal moral seorang peneraju badan pencegah rasuah.

Keprihatinan rakyat pelbagai peringkat berkaitan isu ini tidak boleh dipandang ringan. Ia menggambarkan tahap kepercayaan terhadap kewibawaan sistem keadilan dan penguatkuasaan undang-undang negara.

Tidak dinafikan sistem keadilan menjunjung prinsip 'seseorang tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah', namun seseorang yang berada pada kedudukan strategik dalam aspek integriti perlu mempunyai tahap moral sangat tinggi bagi menjamin keyakinan masyarakat terhadap pemerintahan negara.

Kadangkala, sesuatu masalah boleh diselesaikan dengan satu pengunduran atau penggantian, tanpa perlu ada pendakwaan dan hukuman.

Profesor Madya di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X