Ahad, 9 Januari 2022 | 10:30am

Gilap segala potensi bina masa depan Malaysia lebih baik

Malaysia melalui tahun penuh catatan peristiwa menarik. Tahun bermula harapan dan penuh optimistik, berakhir dengan cabaran dan kesukaran berganda.

Kita mengharapkan penemuan vaksin yang boleh melawan COVID-19, malangnya virus bermutasi dan masih menjadi ancaman paling besar kepada umat manusia seluruh dunia.

Ribuan rakyat mati dan ramai hilang punca pendapatan. Kita menyaksikan sendiri pelbagai industri terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan berpanjangan dan sekatan di pintu sempadan. Memburukkan lagi keadaan, muncul pula virus Omicron. Kita semua tertanya-tertanya, bilakah semua ini akan berakhir dan apakah kita mampu kembali menjalani hidup seperti sedia kala?

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah kedukaan kita bertambah lara apabila beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir sangat dahsyat. Ada menyatakan alam semesta sedang bertarung mengembalikan keseimbangannya. Yang nyata, ia peringatan buat semua supaya kita kembali mengekalkan ekosistem, memelihara khazanah alam sekitar dan paling penting melakukan apa sahaja demi memerangi perubahan iklim yang semakin serius.

Lalu apa boleh dilakukan sekarang? Ubat paling mujarab untuk menyembuhkan segala rasa berputus asa ini ialah sentiasa bersikap optimistik. Selepas melihat bagaimana rakyat Malaysia bersatu menghadapi pelbagai dugaan melanda, kita mampu mengorak langkah lebih jauh.

Sifat belas kasihan serta empati aset utama kita dan dengan meletakkan mereka yang benar dan jujur untuk melaksanakan tanggungjawab yang amat penting, kita akan mempunyai masa hadapan yang cerah.

Sesuatu krisis akan memperlihatkan kelemahan yang wujud dalam sesebuah sistem. Maka, kita perlu menjadi lebih berani berubah dalam memperbetulkan segala kesilapan dan membinanya kembali supaya menjadi lebih baik.

Membina negara yang menawarkan banyak peluang untuk rakyatnya - negara yang mempunyai mobiliti sosial dan rasa kekitaan sangat tinggi. Kita perlu mengulanginya sekali lagi dan perlu lebih ke hadapan dalam segala lapangan diceburi.

Kita perlu kembali bangga menjadi rakyat Malaysia. Amat kritikal untuk menunjukkan keupayaan kita yang sebenar dan tidak akan ada penghalang yang boleh menahan daripada mencapai segala objektif yang kita letakkan.

Sejak merdeka lagi, kita menempuh jalan panjang untuk mengubah ekonomi kecil negara kepada sebuah ekonomi yang pesat lagi kompetitif. Kita melakukan banyak perkara baik seperti membina pelbagai institusi, melabur dalam pembangunan insan, membina bandar dan mendirikan infrastruktur bertaraf dunia.

Tanpa diduga, semua kejayaan itu juga yang akhirnya menjadi musuh kita yang terburuk. Dengan tidak lagi menumpukan kepada usaha menjadikan Malaysia negara maju, kita mula meragui, mengusik malah menafikan pula legitimasi institusi yang kita sendiri bina selama ini.

Kepercayaan satu sifat yang dahulunya sangat mulia di sisi masyarakat, namun kini mula luntur dan menjadikan usaha untuk melaksanakan dasar yang bagus menjadi sangat rumit. Ketidakpercayaan menyebabkan ketidakberkesanan dan ketirisan yang akibatnya, sebesar mana pun peruntukan pasti tidak pernah mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Mengapa kita tidak boleh melabur untuk memperkukuhkan kepercayaan sedangkan ia komoditi sangat bernilai? Secara peribadi, bukan sahaja kita patut menghukum mereka terbabit rasuah, salah guna kuasa dan penipuan, sebaliknya kita patut memberikan ganjaran kepada mereka yang mempunyai integriti cemerlang.

Nilai positif dan tingkah laku efektif perlu sentiasa digalak dan disuburkan dengan pemberian ganjaran sewajarnya. Bukankah ini kita mahukan - mempunyai pemimpin jujur dan boleh dipercayai?

Jadi ayuh kita buktikan ini bukan hanya cakap kosong dan teruskan memberi ganjaran serta pengiktirafan sewajarnya kepada mereka yang layak, bukan sekadar memperketatkan undang-undang dan mengenakan hukuman lebih tegas.

Kedua, mari kita menjuarai kebebasan ekonomi kerana ekonomi bersandarkan hubungan semata-mata hanya memutarbelitkan pasaran dan memberikan hasil yang suboptimum. Penindasan ekonomi pula akan terus menghalang keupayaan kita untuk bersaing dalam kalangan terbaik.

Dunia yang kini bergerak sangat pantas menyebabkan penciptaan nilai menjadi sangat sukar. Ditambah pula kekurangan pelaburan negara dalam bidang sains dan teknologi, pasaran kita akhirnya bergerak amat perlahan.

Apple Inc dijangka menjadi syarikat pertama dunia yang akan mempunyai nilai pasaran sebesar AS$3 trilion dan dua kali ganda nilai pasaran seluruh syarikat di Malaysia.

Bukan mahu mengesyorkan dasar intervensi, tetapi perlunya kita mempunyai mekanisme lebih positif untuk memperkasakan sebuah ekosistem lebih rasional. Kita pasti bersetuju bahawa masyarakat makmur dan diperkasakan akan membawa kebaikan kepada semua.

Ketiga, kita perlu mengakui negara sedang menghadapi kesukaran bergerak seiring perkembangan pesat teknologi yang sangat diperlukan demi masa depan, terutama pasca COVID-19. Kita perlu meningkatkan penguasaan dalam pelbagai bidang, termasuk perkomputeran kuantum, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, cetakan tiga dimensi (3D), penjujukan genom dan banyak lagi.

Kita akan menjadi pemerhati jalanan yang hanya memerhatikan kemajuan orang lain di seluruh dunia, jika tidak menggilap segala potensi dimiliki. Kita perlu terbabit lebih mendalam dan serius dalam sesuatu aktiviti pilihan yang memerlukan kita melakukan pelaburan besar untuk penyelidikan dan tenaga kerja.

Benar ia akan mengambil masa panjang dan kita amat memerlukan idea bernas serta berfikir lebih besar. Dengan semua ini, cukup optimis sekali bahawa kita akan bersama mengembalikan negara dan muncul mendahului rakan serantau.

Marilah kita berganding bahu membina sebuah ekosistem menggalakkan rakyat Malaysia untuk membuat keputusan lebih tepat dan bijak. Kita bertanggungjawab memastikan masyarakat celik soal kewangan, mengambil tahu berkenaan alam sekitar dan arif mengenai ekonomi digital.

Pada peringkat kerajaan pula, kita perlu bersedia menghadapi semua isu berat dan berfikir semula mengenai strategi ekonomi lebih mampan. Sebagai contoh, penanaman semula hutan perlu lebih digalakkan sebagai sumber hasil baharu untuk negara melalui dagangan karbon.

Terdapat keperluan mendesak juga untuk menukar dasar kurang berkesan dan melambatkan proses pembinaan negara.

Apa yang digariskan di sini sekadar beberapa pilihan yang kita ada. Ia bukan cadangan tuntas, tetapi kita perlu mengorak langkah agar generasi akan datang dapat diyakinkan bahawa kita boleh berusaha untuk menjadi lebih baik berbanding apa yang kita ada hari ini.

Untuk berubah, kita perlu mewujudkan sebuah sistem sama sebagaimana kita menerima sistem kapitalisme. Hari ini, kita sudah pun berjaya mengadakan dan memperbaiki rangka kerja kewangan Islam. Kita perlu terus berusaha untuk memberikan pilihan yang lebih baik.

Profesor Madya di Hamad bin Khalifa University, Qatar Foundation

Berita Harian X