Sabtu, 8 Januari 2022 | 10:00am
Timbunan balak hanyut memusnahkan kediaman penduduk Kampung Sungai Perdak, Karak baru-baru ini.
Timbunan balak hanyut memusnahkan kediaman penduduk Kampung Sungai Perdak, Karak baru-baru ini.

Mekanisme sosial pastikan pihak musnah alam bertanggungjawab

Ketika berkesempatan bercuti di Janda Baik, Pahang, saya menempah chalet di tengah hutan hijau tropika bertemankan tasik buatan. Suhu dingin dan suasana hijau mampu merehatkan minda, sekali gus mengurangkan tekanan kerja. Janda Baik menjadi tempat istirahat warga kota memenuhi percutian.

Mutakhir ini banyak pihak berbincang alam sekitar dan pemuliharaannya terutama selepas banjir besar di Lembah Klang dan berakhirnya Persidangan Kemuncak Perubahan Iklim Dunia (COP26).

COP26 melihat perubahan iklim dunia kesan penipisan lapisan ozon mengakibatkan pelbagai bencana alam. Hakikatnya, kerosakan alam sekitar berpunca daripada tangan manusia sendiri, iaitu disebabkan pandangan alam manusia yang semakin sekular dan menganggap alam sebagai komoditi boleh diperdagangkan untuk habuan dan kekayaan.

Alam bukan lagi alamat dan tanda kewujudan serta kekuasaan Tuhan, sebaliknya perlu dijarah rakus demi mengeluarkan hasil seperti balak, minyak dan gas secara berleluasa dek sikap tamak manusia mengumpulkan kekayaan.

Secara tuntas, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menerangkan dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin lebih tiga dekad lalu, iaitu perkataan 'alam' berasal daripada kata akar 'alm' yang juga akar perkataan 'ilmu'.

Meskipun ahli bahasa Arab tahu istilah alam itu terbentuk daripada 'alamat', tulis al-Attas, alamat itu sendiri berakar pada kata akar 'alm' jua. Makna alamat itu merujuk tanda, ciri, atau bekas memberi tahu mengenai sifat meninggalkan bekas itu.

"Dan dari itu maka nyatalah faham bahawa alam itu tanda atau ciri atau bekas yang memberitahu tentang perkara yang dirujuk oleh tanda dan ciri dan bekas itu sehingga yang dirujuknya menjadi nyata ketahuan," tulisnya.

Manusia moden melihat pemuliharaan alam sekitar hanya tanggungjawab kerajaan. Hakikatnya, pemuliharaan alam sekitar adalah tugas setiap manusia bagi mengekalkan alamat dan tanda kewujudan Tuhan serta diimbangi tuntutan kehendak manusia mengeksploitasi sumber alam bagi pembangunan dan pemodenan tamadun manusia.

Pemuliharaan alam sekitar dan apresiasi terhadap alam perlu berlandaskan kecintaan kepada tempat tinggal (oikophilia) yakni menganggap alam bukan hanya tempat tinggal, bahkan kediaman perlu dicintai. Apabila kita mengibaratkan alam sebagai kediaman atau rumah, maka kita tidak mudah menyerahkan agenda alam sekitar kepada orang lain.

Kita selalu dimomokkan masalah alam sekitar hanya boleh diselesaikan melalui penyelesaian global, membabitkan semua negara dan merentasi sempadan negara walhal penyelesaian acap kali membabitkan kehilangan kedaulatan negara melalui perjanjian dan konvensyen antarabangsa.

Melalui konvensyen antarabangsa, kononnya pakar alam sekitar ditugaskan untuk memantau pelaksanaan obligasi di bawah konvensyen berkenaan ke atas negara meratifikasinya. Mereka ini yang kononnya pakar, akan menentukan polisi dalam negara, sekali gus mengawal aktiviti seharian dan sedikit sebanyak menggugat kedaulatan negara.

Kita maklum inti permasalahan alam sekitar berpunca kebobrokan manusia meruntuhkan keseimbangan kehidupan atau sistem homestatik kehidupan hingga memusnahkan alam sekitar. Ramai menuduh kemusnahan keseimbangan alam berpunca ketamakan syarikat multinasional menjarah hasil bumi, neo-liberalisme dan keruntuhan pasaran memerlukan tindakan daripada kerajaan.

Untuk itu, masyarakat dunia perlu mengadakan perjanjian antarabangsa atau konvensyen bagi mengawal kerajaan membuat undang-undang dan polisi selari perjanjian antarabangsa berkenaan.

Sebaliknya, intervensi kerajaanlah yang kebanyakannya membawa kemusnahan alam sekitar. Baru-baru ini kita dikejutkan video pendek berkenaan timbunan balak dibawa arus sungai dan selepas itu, kita dikejutkan deretan lori membawa balak di lebuh raya. Apakah maknanya semua ini? Bukankah yang meluluskan permit pembalakan kepada syarikat ini ialah kerajaan sendiri?

Atas dasar permit diluluskan kerajaan, maka syarikat pembalakan ini terlepas hukuman apabila melakukan pembalakan di luar kawalan hingga menyebabkan banjir dan kemusnahan alam sekitar.

Kerajaan meluluskan permit pembalakan di luar kawalan juga menjejaskan kuasa pasaran untuk mengawal kemusnahan alam sekitar apabila syarikat pembalakan melakukan kesalahan akan terlepas daripada dipertanggungjawabkan. Ini kerana mereka mendapat permit dan kebenaran membalak sedangkan akibatnya ditanggung orang lain seperti banjir memusnahkan kediaman mereka.

Oleh itu, kita tidak sepatutnya membabitkan kerajaan secara terus dalam menyelesaikan masalah tetapi melihat kembali 'mekanisme sosial' memastikan pihak terbabit dalam memusnahkan alam sekitar menanggung kos dan akibat tindakan mereka.

Dari aspek perundangan, ia dikenali sebagai kesalahan tort yang mereka berlaku cuai hingga memudaratkan orang lain akan menanggung kos dan akibat daripada kecuaian mereka. Inilah dikatakan sebagai amanah, iaitu apabila amanah Tuhan supaya menjaga alam sekitar dicabul maka pihak itu harus mendapat balasannya.

Kesalahan tort ini perlu dikuatkuasakan secara tegas dengan pihak melakukan kemusnahan alam sekitar disaman dan perlu membayar kos serta pampasan kepada mereka terkesan akibat 'tangan' mereka memusnahkan alam sekitar.

Selain itu, pemuliharaan alam sekitar atau penyelesaian lestari perlu digerakkan masyarakat sivil tanpa perlu menunggu intervensi atau inisiatif kerajaan semata-mata. Kita perlu tabik hormat kepada gerakan sivil seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) bekerjasama dengan nelayan untuk melaksanakan pemulihan hutan paya bakau dengan penanaman 100,000 anak pokok. SAM di Baram, Sarawak memberikan sokongan kepada penduduk asal dalam melaksanakan pengurusan hutan komuniti dan projek agroekologi.

Ingin ditegaskan kejayaan dalam pemuliharaan alam sekitar bermula diri kita yang lebih mengerti dan arif berkenaan hal ehwal tempatan (kearifan lokal). Menganggap alam sekeliling sebagai tempat kediaman perlu dicintai, maka kita tidak akan sewenang-wenangnya memusnahkan alam sekeliling.

Cinta kepada keindahan dan kesempurnaan perlu ditancap ke hati sanubari. Dengan adanya kecintaan kepada keindahan secara naluri kita akan menolak sebarang pembangunan mencacatkan penglihatan dan pemandangan.

Adakah kita sanggup menerima sahaja pembangunan di hadapan rumah kita menghalang penglihatan daripada jendela rumah melihat bukit-bukau terbentang? Sudah tentu tidak! Kerana pembangunan sebegitu menghalang kita menikmati kecantikan alam yang selama ini kita sudah nikmati.

Pendek kata, mengapa kita yang cinta kepada negara ini, membiarkan konsep amanah, kediaman dan cinta kepada keindahan ini sirna daripada diri kita? Mengapa agenda alam sekitar ini dibiarkan kepada mereka menentukan agenda perubahan iklim, tenaga boleh diperbaharui dan pemanasan global yang kadangkala agenda itu memusnahkan perkara kita cintai dan secara tidak langsung menggugat kedaulatan negara.

Tepuk dada tanyalah hati kita. Masih belum terlambat kita kembali memugarkan makna amanah dan cinta kepada keindahan supaya alam terus terpelihara demi amanah kepada mereka yang sudah mati, masih hidup dan generasi mendatang.

Pengerusi Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE)

Berita Harian X