Jumaat, 7 Januari 2022 | 10:30am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

Program keibubapaan tangani kes pengabaian kanak-kanak

ISU kecederaan atau kematian kanak-kanak disebabkan kelalaian dan kurang pengawasan orang dewasa di negara ini perlu diberikan perhatian sewajarnya semua pihak, sekali gus mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Di Amerika Syarikat (AS), kajian mendapati 40 peratus kecederaan atau kematian kanak-kanak adalah disebabkan kekurangan pengawasan orang dewasa. Persatuan pekerja sosial di negara itu sependapat bahawa kanak-kanak seharusnya berusia sekurang-kurangnya 12 tahun sebelum boleh ditinggalkan bersendirian di rumah selama empat jam atau lebih.

Mengikut American Academy of Pediatrics pada 2019, mereka juga mengklasifikasikan tinggal di rumah seorang diri sebagai pengabaian jika kanak-kanak terbabit cedera ketika ditinggalkan tanpa pengawasan.

Pengabaian kanak-kanak boleh berlaku dalam dua situasi, iaitu aktif dan pasif. Pengabaian aktif berlaku apabila ibu bapa sengaja berniat tidak memenuhi keperluan kanak-kanak, manakala secara pasif ketika ibu bapa tidak berniat mengabai kanak-kanak dalam memenuhi keperluan mereka akibat kekangan sumber dan kurang pengetahuan mengenai cara menyediakan penjagaan sewajarnya.

Berdasarkan teori perkembangan kognitif Jean Piaget, kanak-kanak mempunyai empat peringkat perkembangan kognitif, iaitu sensorimotor pada usia baru lahir hingga 2 tahun; peri operational (2-6 tahun); concrete operational (7-11 tahun) dan formal operational (12 tahun ke atas).

Oleh itu, kanak-kanak hingga usia 11 tahun sudah mula boleh berfikir secara logik, namun terbatas dan konkrit, sekali gus boleh menyebabkan tidak tahu tindakan seperti menjenguk daripada tingkat di bangunan tinggi atau keluar daripada kenderaan tanpa menoleh kiri kanan adalah perbuatan berbahaya. Mereka tidak dapat berfikir akibat perbuatan dan hanya fokus kehendak mereka.

Dalam isu pengabaian pasif persoalan sama ada hukuman perlu diberikan kepada ibu bapa cuai, banyak diperdebatkan. Hukuman ibu bapa cuai memang perlu, namun bentuk hukuman wajar dikaji lebih mendalam.

Adakah penjara dan denda saja sudah memadai? Bagaimana penjagaan anak lain jika mereka dipenjarakan? Bagaimana ibu bapa berlatar belakang sosioekonomi rendah dapat membayar denda ditetapkan?

Justeru, perlu ada alternatif lain bagi membendung masalah ini. Antaranya pelaksanaan Akta Pekerja Sosial sebagai inisiatif sangat diperlukan ketika ini. Pekerja sosial ialah profesion penting yang boleh membantu kerajaan mengkaji, melaksanakan program, mendidik dan memperkasa masyarakat dalam mengatasi isu ini.

Intervensi keibubapaan kerana kajian dijalankan di Universiti Calgary mendapati kebanyakan kes pengabaian kanak-kanak akibat kurang pendidikan keibubapaan. Intervensi berbentuk pengetahuan penjagaan, keselamatan dan kesihatan kanak-kanak seperti keselamatan di rumah dapat mengurangkan risiko kecederaan kanak-kanak.

Kajian ini juga mendapati ia sangat penting terutama kepada ibu bapa berlatarbelakangkan sosioekonomi rendah dan memerlukan bantuan seperti kepentingan ciri keselamatan kanak-kanak, penyalahgunaan bahan serta keselamatan di sekeliling seperti jalan raya secara berkala. Malah, ia perlu diwajibkan ibu bapa berisiko tinggi dalam kes pengabaian kanak-kanak.

Selain itu, polisi peringkat komuniti juga penting untuk memperkasakan program intervensi sedia ada dan membantu komuniti berubah dalam usaha membendung isu pengabaian kanak-kanak.

Begitu juga pemerkasaan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), iaitu antara inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha menjadi tempat perlindungan dan pusat advokasi, sumber, pembelajaran, intervensi serta sosial di beberapa kawasan terpilih.

Pemerkasaan PAKK boleh membantu untuk menyalurkan ilmu kepada kanak-kanak mengenai penjagaan diri dan hak sebagai kanak-kanak. Pelaksanaannya juga dapat membantu ibu bapa menguruskan anak seperti dikenakan caj minimum untuk meninggalkan mereka ketika menguruskan urusan penting dalam tempoh ditetapkan.

Pensyarah Bahagian Kerja Sosial di Universiti Sains Malaysia (USM)

Berita Harian X