Rabu, 5 Januari 2022 | 10:00am
Musibah banjir besar menuntut semua pihak berganding bahu untuk saling membantu.
Musibah banjir besar menuntut semua pihak berganding bahu untuk saling membantu.

Kebersamaan, persefahaman politik penting harungi waktu sukar

Dunia semakin lumpuh dengan pelbagai cabaran semasa - daripada bencana alam akibat pemanasan global hinggalah kepada ancaman pandemik seperti COVID-19.

Boleh dikatakan dua tahun kebelakangan ini kerajaan dan rakyat berhadapan pelbagai dugaan yang memerlukan refleksi, strategi dan daya tahan yang kuat. Rakyat perlu dibantu, manakala kerajaan perlu lebih berinovatif dan peka kepada permasalahan yang timbul.

Namun demikian, kedua-duanya iaitu rakyat dan kerajaan, harus berjalan bersama dalam menangani cabaran melanda. Rakyat tidak boleh hanya menyalahkan kerajaan dan mengharapkan bantuan datang menggolek.

Tidak ada negara di dunia yang tidak terkesan dengan pelbagai bencana dan penyakit berjangkit. Apa diperlukan adalah sinergi antara rakyat dan kerajaan dalam menghadapinya bersama-sama.

Seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan Tahun Baharu 2022: "Segala bencana dan musibah yang timbul tidak seharusnya mematahkan semangat kita untuk berjuang demi berhadapan dengannya. Kita perlu yakin bahawa permasalahan yang timbul mempunyai hikmah tertentu dan boleh diatasi jika kita sama-sama berganding bahu."

Walaupun demikian, apa yang menyedihkan ialah segelintir rakyat menggunakan media sosial untuk terus mengkritik kerajaan tanpa memahami permasalahan yang timbul. Tidak ada yang betul dilakukan kerajaan dan ada saja yang tidak kena. Diberikan bantuan, dikritik, tidak diberikan bantuan, semakin hebat kritikan dilemparkan.

Kadangkala timbul juga persoalan sama ada key- board warriors ini hanya pandai mengkritik kerana mereka dibayar pihak tertentu. Bagaimanakah kalau mereka ini diberi peluang mengemudi negara atau menguruskan krisis? Adakah mereka boleh lakukan tanpa ada cacat celanya?

Tidak dapat dinafikan dalam beberapa hal kerajaan agak lambat bertindak dan tidak responsif. Beberapa menteri pula seperti tidak dekat dengan hati dan hasrat rakyat. Mereka ini pula memberikan imej buruk kepada kerajaan.

Jentera kerajaan pula tidak berjalan seperti diingini. Mujurlah ada pemimpin berwawasan yang dapat membantu kepemimpinan negara berfikir di luar kotak dalam berhadapan dengan krisis yang berlaku.

Kita amat bernasib baik kerana politik Malaysia yang sebelum ini dalam keadaan huru-hara berada dalam situasi yang lebih stabil. Sekalung tahniah kepada kerajaan dan parti pembangkang yang sanggup mengetepikan perbezaan politik untuk sama-sama memastikan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dicapai.

Kestabilan, kerjasama dan persefahaman politik adalah penting dalam waktu yang sukar ini. Tidak ada parti yang boleh mendabik dada mengatakan mereka pasti berjaya menghadapi kemelut yang melanda negara masa kini.

Dalam keadaan di mana tidak ada parti politik yang benar-benar memperoleh majoriti jelas untuk memerintah, kebersamaan antara kedua-dua pihak amat perlu demi kesejahteraan rakyat.

Parti politik kerajaan dan pembangkang tidak seharusnya mempolitikkan keadaan, seolah-olah ramuan mereka adalah yang terbaik, walhal cadangan yang dikemukakan lebih untuk kepentingan politik.

Ini dapat dilihat apabila beberapa ahli politik, demi untuk kekal relevan, mencadangkan pengeluaran sekali lagi wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa memahami falsafah kewujudan tabung persaraan itu. Pendapat pakar pula disangkal seolah-olah formula mereka yang terbaik tanpa mengira kesan jangka panjangnya kepada rakyat yang bertahun-tahun menabung.

Mereka yang menyokong isu itu pula memberi desakan bertalu-talu kepada kerajaan tanpa memikirkan implikasi kewangan nanti. Seharusnya ahli politik ini mencadangkan beberapa aspek yang lebih konstruktif berdasarkan kepada kemampuan kewangan negara serta tidak memeningkan Perdana Menteri dengan saranan tidak relevan.

Oleh itu, apabila beberapa inisiatif dan bantuan diumumkan kerajaan untuk rakyat Malaysia, kita seharusnya bersyukur dengan tanggungjawab pemerintah tunjukkan.

Bagi meringankan bebanan rakyat terkesan dengan banjir, Perdana Menteri mengumumkan beberapa pakej bantuan, antaranya Bantuan Wang Ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah. Ia kenaikan 100 peratus daripada bantuan diumumkan sebelum ini.

Rakyat yang terkesan juga akan menerima baucar RM500 untuk menggantikan perkakasan alatan rumah, menyediakan bantuan tunai sehingga RM15,000 untuk pembaikan rumah. Di samping itu, kerajaan mengumumkan bantuan sehingga RM1,000 pembaikan kereta dan motosikal yang rosak akibat banjir.

Inisiatif diumumkan adalah kesinambungan bantuan sebelum ini untuk mereka yang terkesan dengan COVID-19. Cuba bayangkan berapa bilion ringgit yang perlu dikeluarkan kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin? Perlu diingatkan akibat bantuan ini, beberapa projek pembangunan seperti pembinaan jambatan dan jalan raya baharu, terpaksa ditangguhkan atau dikurangkan kosnya.

Kerajaan memerlukan beberapa ketika untuk mengembalikan wang yang dibelanjakan, antaranya terpaksa memperkenalkan 'cukai makmur' kepada syarikat yang mendapat keuntungan luar biasa sewaktu pandemik melanda negara.

Kita bukannya berada dalam zaman untuk salah menyalah. Dalam keadaan yang sukar ini kita seharusnya mempunyai sikap dan daya tahan yang tinggi membantu kerajaan.

Di samping itu, kita juga tidak seharusnya sentiasa bergantung kepada kerajaan kerana dalam keadaan apa sekali pun, wujud batas tertentu kepada kerajaan untuk membantu. Ini bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara lain.

Dalam keadaan sama, kerajaan harus lebih peka dengan kehendak rakyat yang semakin kritikal dan berinformasi.

Dalam dunia tanpa sempadan ini, segala tindak tanduk, ucapan, malah bahasa badan pemimpin diperhatikan oleh masyarakat.

Segala dasar perlu diperhalusi dengan teliti. Sebarang ucapan pemimpin tidak seharusnya mencabar kecergasan minda rakyat Malaysia yang semakin berpengetahuan.

Profesor dan Felo Kanan di Institut Hal-Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X