Isnin, 3 Januari 2022 | 10:00am
Premis penginapan utamakan kebersihan dan patuh SOP jadi pilihan pelancong pasca pandemik.
Premis penginapan utamakan kebersihan dan patuh SOP jadi pilihan pelancong pasca pandemik.

Cari kaedah terbaik rancakkan semula sektor pelancongan

Setiap tahun apabila muncul tahun baharu, kita akan melihat ramalan demi ramalan mengenai trend pasaran pelancongan. Persis ramalan kaji cuaca, ada kalanya ramalan itu tepat, namun ada ketikanya jauh tersasar.

Namun apa juga yang berlaku, ia tetap memberikan kesan kepada seluruh khalayak pelancongan sama ada positif atau sebaliknya.

Kita semua sedia maklum selepas sekian lama dunia dilanda pandemik COVID-19, trend pelancongan turut berubah.

Industri pelancongan lebih menjurus kepada soal nilai dan prinsip yang akan menyumbang ke arah masa depan industri pelancongan lebih baik serta mampan.

Pada peringkat global, United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) meramalkan pemulihan sektor pelancongan dijangka berlaku pada tahap 60 peratus tahun ini dan pulih sepenuhnya tahun depan.

Pandemik yang berlaku sepanjang 2020 hingga 2021 banyak memberi pengajaran kepada sektor pelancongan negara, khususnya dalam pengurusan krisis dan komunikasi.

Tempoh dua tahun kemarau dalam sektor pelancongan sudah cukup memberikan tamparan hebat kepada negara. Ada hotel ditutup, agensi pelancongan gulung tikar dan restoran kena lelong, malah ramai hilang mata pencarian.

Umumnya lebih 4 juta individu bergantung harap kepada sektor pelancongan terjejas akibat pandemik ini.

Di sebalik kesusahan ada kesenangan. Begitu jugalah kita harapkan dalam konteks sektor pelancongan di negara ini.

Kita mengharapkan ada sinar di hujung terowong yang diharap semakin cerah pada tahun ini dan seterusnya. Umpama gergasi baru bangun daripada tidur, industri pelancongan diharapkan kembali bangkit dan melangkah gagah.

Apa yang pasti kita tetap pergi melancong. Namun, cara melancong mungkin akan mengalami transformasi dramatik. Lebih-lebih lagi kebanyakan negara kini mula mengalu-alukan kembali pelancong yang lengkap vaksinasi, menjalani ujian saringan dan arahan kuarantin, walaupun pada masa sama, peraturan itu masih berbeza bagi setiap negara atau destinasi.

Selepas pintu sempadan mula dibuka kepada pelancong, kita dapat melihat trend pelancong lebih menjurus untuk memilih destinasi menawarkan pengalaman percutian menarik dan unik. Destinasi percutian berasaskan alam semula jadi lebih menyegarkan dengan penjarakan fizikal akan menjadi pilihan utama mereka.

Pengembara akan mencari 'permata tersembunyi', destinasi impian menawarkan peluang untuk aktiviti berfokuskan hobi seperti mendaki, fotografi atau berkayak.

Aktiviti pelancongan pasca pandemik juga dijangka akan lebih meriah apabila ramai pengembara ingin berhubung semula dengan orang tersayang setelah lama terputus hubungan kerana perintah larangan pergerakan.

Menyentuh mengenai soal penginapan, kebersihan dan keselamatan adalah satu kemestian diutamakan pelancong. Justeru, penyedia perkhidmatan penginapan dan pusat peranginan perlu mengutamakan protokol dan prosedur operasi standard (SOP) meyakinkan pelancong dengan program pembersihan, kesihatan dan pengalaman percutian mesra alam.

Sebagai nilai tambah kepada pelancong, pengurusan hotel boleh menampilkan unit yang menyediakan ruang dan privasi tambahan, bersama-sama pembersihan profesional serta sokongan pelanggan lebih mesra tetamu.

Syarikat pelancongan bukan sahaja harus menyerlahkan inisiatif keselamatan mereka sendiri, tetapi tarikan tempatan yang menawarkan pakej atau produk pelancongan dengan mengutamakan kesihatan awam.

Tidak boleh dinafikan peranan teknologi dalam pelancongan akan terus berkembang dengan kepentingannya pada tahun ini dan tahun seterusnya.

Daripada pasport vaksin digital hingga pemberitahuan maklumat perjalanan, penyelesaian teknologi akan berperanan penting dalam memastikan orang ramai mendapat maklumat dan memberikan panduan dalam merancang aktiviti pelancongan.

Teknologi menjadi alat utama dalam menghidupkan kembali pelancongan seperti penggunaan aplikasi tempahan hotel dan penerbangan akan menjadi medium utama dalam melakukan transaksi. Ini bagi membataskan hubungan fizikal dan kontak fizikal.

Teknologi tanpa sentuh bakal menjadi trend aktif tahun mendatang dan syarikat pelancongan perlu mencari jalan untuk memberi lebih banyak bimbingan serta sokongan peribadi kepada pelanggan mereka dalam melalui pengalaman digital dan inovatif.

Perjalanan perniagaan industri pelancongan akan perlahan-lahan kembali pada tahun ini.

Pada masa sama hotel, syarikat penerbangan atau pengusaha produk pelancongan harus mencari satu mekanisme terbaik bagi memastikan pelancong selesa dan yakin dengan perkhidmatan ditawarkan.

Ruang peribadi pelancong dalam usaha penjarakan fizikal juga mesti diambil kira bagi memastikan pelanggan mereka yakin dengan keselamatan serta kesihatan.

Namun, soalnya apakah semua perancangan dan ramalan ini bakal menjadi kenyataan? Terdapat juga andaian sektor pelancongan akan terus 'gelap' dengan kemunculan pelbagai isu terbaru bakal menggugat sektor pelancongan.

Kemunculan varian COVID-19 seperti Delta dan Omicron yang kian hangat diperkatakan memberikan ancaman baharu kepada perkembangan sektor pelancongan.

Bagaimanapun, dengan pengalaman mengharungi detik sukar ketika pandemik sebelum ini, kita yakin cabaran ini akan dapat dijadikan sebagai peluang untuk kita merancang masa depan lebih baik dalam sektor pelancongan.

Buat penggiat dan pengusaha pelancongan yang masih lagi bertahan dalam sektor mencabar ini, tahniah kita ucapkan.

Andalah 'wira' tidak didendangkan dalam memastikan kesinambungan industri pelancongan negara. Semoga tahun ini menjadi titik permulaan untuk kebangkitan semula industri pelancongan dunia.

Naib Presiden Majlis Pelancongan Malaysia

Berita Harian X