Khamis, 30 Disember 2021 | 11:00am
Gambar fail, kelihatan penduduk keluar menaiki sampan buatan sendiri untuk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terkandas akibat banjir. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Gambar fail, kelihatan penduduk keluar menaiki sampan buatan sendiri untuk mengambil bantuan makanan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terkandas akibat banjir. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Tingkat tahap siap siaga agensi, masyarakat hadapi bencana

Banjir melanda Lembah Klang baru-baru ini mengorbankan 25 orang dan memusnahkan harta benda bernilai berbilion-bilion ringgit. Walaupun fenomena banjir biasa di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, fenomena banjir kali ini mengundang pelbagai tafsiran.

Ada menyatakan disebabkan Selangor bukan kawasan sering berlaku banjir, kesiapsiagaan kerajaan dan masyarakat menghadapi banjir sangat rendah.

Justeru, apabila berlaku peningkatan air mendadak di sungai berhampiran Hulu Langat, Klang, Sepang, Shah Alam, Banting dan Kuala Selangor akibat hujan berterusan, kawasan sekitar turut terkesan akibat limpahan air hingga ke paras bumbung di sebahagian kawasan.

Ini mengakibatkan ribuan penempatan ditenggelami air. Ramai masyarakat tidak bersedia hingga tidak dapat melarikan diri. Peningkatan air terlalu mendadak juga menyebabkan mereka tidak sempat melarikan kenderaan ke tempat lebih tinggi.

Bencana banjir dan tindakan menguruskan bencana tidak tersusun mengakibatkan ramai mangsa terpaksa menunggu bantuan untuk diselamatkan dalam tempoh lama. Terdapat rungutan sebahagian mangsa bahawa mereka cuba mendapatkan bantuan daripada beberapa agensi kerajaan, namun tiada maklum balas pantas.

Justeru, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan bertindak segera turun ke kawasan banjir teruk seperti Shah Alam untuk menyelamatkan mangsa. Pembabitan NGO ini usaha terpuji kerana tindakan pantas mendahului sebahagian agensi kerajaan dapat menyelamatkan ribuan mangsa terkandas.

Fenomena tindakan agensi kerajaan lambat bertindak untuk menyelamatkan mangsa banjir itu, menimbulkan pelbagai polemik. Ada menuding jari kepada agensi Kerajaan Persekutuan tidak cekap dalam menguruskan bencana dan ada juga menyalahkan kerajaan negeri kerana gagal membuat persediaan rapi menghadapi bencana banjir.

Ada mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa dan tanggungjawab menguruskan bencana, walaupun Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertanggungjawab. NADMA dilihat tidak begitu efisien dalam pengurusan bencana banjir di Selangor itu.

Sikap mencari salah siapa dalam menguruskan bencana banjir menimbulkan persoalan sejauh mana agensi kerajaan dipertanggungjawabkan menguruskan bencana di negara ini, benar-benar faham tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Adakah negara perlu dihadapkan sesuatu bencana, baru agensi terbabit peka dan akur dengan peranan masing-masing sedangkan sesuatu bencana datang tidak boleh dijangkakan.

Ada juga menyalahkan kerajaan negeri kerana tidak prihatin terhadap pembangunan di sesuatu kawasan hingga longkang besar sering tersumbat dan tidak dapat menampung kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.

Pembangunan penempatan dan industri tidak dirancang rapi juga adalah punca kenapa bencana banjir, terutama di Shah Alam mengakibatkan kesan teruk kepada penduduk di kawasan terbabit.

Pengurusan bencana seperti banjir memerlukan persediaan dan koordinasi antara agensi kerajaan. Walaupun Jepun sering menghadapi bencana seperti tsunami, gempa bumi dan taufan, kehilangan nyawa serta harta benda adalah sangat minimum.

Ini kerana Kerajaan Jepun membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang bencana bakal menimpa negara dan masyarakat. Masyarakat juga dilatih mengambil tindakan sewajarnya apabila berhadapan bencana.

Tahap kesiapsiagaan tinggi inilah menyebabkan kadar kehilangan nyawa dalam sesuatu bencana adalah kecil. Negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) juga sering dilanda bencana seperti banjir, gempa bumi, kebakaran hutan dan puting beliung.

Namun, agensi kerajaan mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang bencana. Walaupun fenomena banjir besar di New Orleans pada 2005 mengorbankan banyak mangsa pada peringkat awal, tindakan Kerajaan AS pantas mengambil alih pengurusan bencana daripada pihak berkuasa di wilayah itu mengurangkan kehilangan lebih banyak nyawa.

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil contoh daripada negara terbabit untuk kita dapat menguruskan sebarang bencana lebih berkesan.

Peranan NADMA sebagai agensi pengurusan bencana negara perlu diperjelas dan diperbesarkan agar lebih mudah menguruskan sebarang bencana pada peringkat Persekutuan serta negeri. Koordinasi antara agensi berkaitan seperti Jabatan Parit dan Saliran (JPS), bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan kerajaan tempatan perlu dipertingkatkan.

Latihan berkala perlu digerakkan supaya tahap kesiapsiagaan agensi kerajaan adalah pada tahap optimum, terutama berkaitan aset akan digunakan dalam operasi menyelamat.

Institusi pengajian tinggi (IPT) juga berperanan melatih bakal graduan untuk bersedia dalam menguruskan bencana.

Contohnya, Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi program Sarjana Muda Pengurusan Awam dan Sarjana Pengurusan Awam menawarkan kursus berkaitan pengurusan bencana bagi melatih mahasiswa serta pegawai kerajaan dengan strategi menguruskan bencana.

Masyarakat juga perlu didedahkan ilmu berkaitan pengurusan bencana seperti dilakukan di Jepun. Maklumat perkembangan perubahan cuaca perlu disebar agar masyarakat lebih peka mengenai banjir, tsunami, taufan mahupun gempa bumi.

Ini penting agar masyarakat lebih bersedia menghadapi kemungkinan bencana yang akan melanda negara. Jika agensi kerajaan dan masyarakat mempunyai ilmu dalam menguruskan bencana, kita boleh mengurangkan kadar kematian dan kehilangan harta benda dalam sesuatu bencana.

Operasi menyelamat dan bantuan juga dapat diurus lebih sistematik dan berhemah. Contohnya, ada mangsa banjir terpaksa mengisi borang untuk mendapatkan bantuan dengan menyertakan dokumen penting sedangkan ia hilang atau rosak ketika banjir.

Isu birokratik sebegini sepatutnya tidak berlaku kerana lebih penting kepada mangsa bencana ialah bantuan dapat disalurkan terus kepada mereka tanpa sebarang kerenah birokrasi.

Kerajaan juga sepatutnya menyimpan pangkalan data berkaitan NGO sering menghulurkan bantuan dalam operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir membersihkan rumah mereka untuk tujuan penyelarasan supaya dapat bekerjasama tanpa mempertikaikan peranan masing-masing.

Kita patut bersyukur kerana semangat Keluarga Malaysia masyarakat hari ini menyebabkan mereka menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang. Kisah sukarelawan turun membantu mangsa banjir tanpa mengira latar belakang patut dijadikan teladan.

Kesanggupan Azwan Omar atau Abang Viva yang hanya berbekalkan RM50 turun membantu mangsa banjir di Selangor patut menjadi kebanggaan kita semua. Negara memerlukan lebih ramai sukarelawan sebegini dalam membantu kerajaan menguruskan bencana.

Namun, mangsa bencana banjir di seluruh negara sebenarnya masih lagi mengharapkan bantuan kerajaan dan swasta. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta perlu diajak untuk membantu dalam menyumbangkan bantuan difikirkan sesuai untuk keperluan segera seperti dapur, periuk nasi, peti sejuk dan mesin basuh.

Barang ini keperluan asas sangat diperlukan mangsa apabila pulang ke rumah. Jika semua pihak melaksanakan peranan, negara akan lebih bersedia menghadapi sebarang bencana pada masa depan.

Penulis adalah Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Pengajian Kerajaan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM

Berita Harian X