Jumaat, 24 Disember 2021 | 10:00am
Geopark antara langkah tepat dalam melindungi dan memulihara sumber semula jadi untuk warisan generasi akan datang.
Geopark antara langkah tepat dalam melindungi dan memulihara sumber semula jadi untuk warisan generasi akan datang.

Teroka hasil bumi tanpa abai pemuliharaan warisan sejagat

Ketamadunan masusia berkembang sejajar dengan keupayaan mereka untuk menggunakan sumber bumi, khususnya bagi tujuan pembangunan prasarana dan produk berasaskan sumber tabii.

Malaysia sendiri bernasib baik kerana dianugerahkan Allah SWT dengan sumber tabii yang melimpah ruah, termasuk sumber biotik dan bukan biotik. Malah Ptolemy, ahli geografi Yunani sendiri menamakan Semenanjung Tanah Melayu sebagai Semenanjung Emas atau Golden Chersonese pada abad ke-15.

Sejarah kemajuan negara bermula dengan perlombongan sumber mineral terutama emas dan bijih timah. Ia diikuti ladang getah dan kini, sumber petroleum serta minyak kelapa sawit.

Sejarah dan evolusi geologi bumi Malaysia yang sangat panjang dan kompleks bermula sejak 550 juta tahun lampau, menyediakan kepelbagaian sumber geologi yang tinggi nilainya, merangkumi bahan seperti mineral, batuan dan air serta mencorakkan kepelbagaian batuan dan rupa bumi.

Pembentukan daratan Malaysia yang berlaku sejak zaman Trias iaitu 220 juta tahun lampau - diikuti oleh proses luluhawa dan hakisan berkadar tinggi menyediakan landskap yang pelbagai daripada kawasan pergunungan hingga ke pesisir pantai - kini menjadi habitat flora, fauna dan penghidupan manusia.

Proses yang panjang ini juga adalah perancangan Allah SWT untuk menyediakan keperluan bagi penghidupan manusia sebagai khalifah terakhir yang mewarisi bumi.

Interaksi antara manusia dengan sumber geologi menjadi asas ketamadunan manusia sejak zaman paleolitik (zaman batu lama), neolitik (zaman batu baru), zaman logam (gangsa dan besi) hingga ke zaman silikon hari ini.

Di samping menjadi sumber asas dalam membina ketamadunan dan kemajuan teknologi masyarakat dunia, sumber geologi juga amat bermakna dan bernilai tinggi jika dilihat dari aspek warisan.

Sumber berkenaan secara langsung menjadi bukti atau menyimpan bukti proses geologi yang sangat panjang serta hubungannya dengan ketamadunan manusia.

Selain nilai berekonomi, setiap sumber geologi yang wujud dalam bentuk bahan (batuan, mineral, fosil, tanah dan air) serta bentuk (struktur, morfologi dan landskap) juga mempunyai kepentingan saintifik, budaya, aestetik dan alam sekitar.

Kepentingan ini boleh diterjemahkan kepada nilai warisan jika langkah sesuai diambil bagi menciri, memeta dan menentukan taraf nilainya masing-masing sama ada ada bertaraf tempatan, negeri, kebangsaan atau global.

Namun, perkembangan ketamadunan menyebabkan keperluan kepada sumber geologi untuk pembangunan prasarana fizikal dan industri pembuatan semakin meningkat. Sementara kemajuan teknologi pula membolehkan sumber diekstrak dengan lebih cepat dan meluas.

Hal sedemikian menimbulkan tekanan kepada kelestarian sumber bumi dan habitat hidupan yang berada di atasnya, lantas menimbulkan konflik antara keperluan sumber yang semakin mendesak dan pemeliharaan warisan sejagat.

Pada hari ini, negara memerlukan sumber geologi dan tapak untuk pembangunan prasarana, industri pembuatan, pertanian dan pelancongan. Bagi mengatasi tuntutan ini, satu pendekatan pengurusan dan penggunaan sumber secara lestari yang mengimbangi antara keperluan sumber dan kepentingan pemuliharaan warisan amat diperlukan.

Antara cadangan untuk menyahut cabaran ini ialah memberikan fokus kepada mengembalikan peranan utama institusi berkait geologi yang perlu memberikan tumpuan kepada pemetaan tapak warisan geologi di seluruh negara.

Mengenal pasti keberadaan sumber, nilai warisan dan taraf kepentingannya adalah maklumat asas untuk keputusan bermaklum.

Berasaskan peta dan inventori yang disediakan, semua pihak berkepentingan khususnya kerajaan boleh merancang pembangunan wilayah secara lestari.

Tapak atau kawasan bernilai warisan tinggi (kebangsaan dan antarabangsa) tidak boleh ditolak ansur untuk digali secara musnah, namun pendapatan ekonominya masih mampu dijana melalui perlombongan ilmu yang membolehkan tapak dimajukan sebagai destinasi geopelancongan.

Sementara tapak atau kawasan yang tidak mempunyai nilai warisan atau bernilai warisan rendah pula, boleh dijadikan zon pengeluaran (perlombongan dan pengkuarian), pembangunan prasarana, pertanian atau sebagainya.

Bagaimanapun, pengurusan zon bukan warisan seharusnya dilakukan menggunakan tatakelola yang cermat untuk memastikan kepentingan kelestarian alam sekitar bagi kesejahteraan masyarakat terus terjaga.

Kebanyakan sumber bumi ialah sumber tidak boleh diperbaharui. Oleh itu, amalan kitar semula perlu juga digalakkan. Sumber mineral logam dan batuan mudah digunakan secara berulang melalui amalan kitar semula.

Mulai 2007 negara memperkenalkan agenda geopark iaitu pembangunan wilayah secara lestari. Langkawi menjadi global geopark pertama di Malaysia dan ia menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk memulihara geowarisan.

Lebih daripada 35 geotapak dipulihara dan dibangunkan sebagai destinasi geopelancongan. Pada masa sama, aktiviti pengkuarian batu kapur untuk bahan simen dan pembinaan masih diteruskan.

Jelasnya, geopark boleh menjadi peraga terbaik bagi mengimbangi penggunaan, pembangunan dan pemuliharaan sumber secara lestari.

Sebagai panduan, Allah SWT berfirman maksdunya: "Dia menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untukmu semuanya (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sungguh, dalam hal yang demikian itu, jelas terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir" (Surah Al-Jasiyah, ayat 13).

Manusia hanya sebagai khalifah untuk menjaga kurniaan ini dan pastinya, ia perlu diserahkan semula kepada generasi akan datang.

Pasukan Bertindak, Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X