Isnin, 20 Disember 2021 | 11:30am
Gambar dari udara menunjukkan kawasan yang terjejas banjir di Shah Alam, semalam. - NSTP/Asyrah Hamzah
Gambar dari udara menunjukkan kawasan yang terjejas banjir di Shah Alam, semalam. - NSTP/Asyrah Hamzah

Amaran banjir di KL, Selangor tidak boleh dipandang remeh

SETIAP hujung tahun, hujan lebat dan banjir memang tidak asing lagi di negeri Pantai Timur dek musim tengkujuh. Namun sejak lewat petang kelmarin, gabungan antara hujan lebat berterusan, air pasang besar dan gelombang ribut menyebabkan banyak tempat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor mengalami banjir kilat.

Jika di Terengganu, apabila fenomena air pasang besar bertembung hujan lebat terutama pada musim tengkujuh, penduduk sememangnya sentiasa berjaga-jaga dan bergegas mengalihkan kenderaan ke tepi jalan besar yang lazimnya dibina lebih tinggi.

Namun di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor hari ini, ada jalan utama yang turut ditenggelami air menyebabkan penduduk tidak berkesempatan menyelamatkan kenderaan mereka, apatah lagi harta benda di dalam rumah yang dimasuki air.

Walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) meramalkan sejak awal November mengenai fenomena ini, masih ramai tidak bersedia. Lantas, ketibaan banjir dalam skala besar ini mengakibatkan banyak kerugian harta benda.

Maklumat di laman sesawang Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menunjukkan air pasang yang tinggi, namun persoalannya berapa ramai yang ambil tahu mengenai ancaman bencana ini.

Ini menunjukkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi bencana alam mungkin masih pada tahap rendah. Ketidaktentuan cuaca masih dipandang remeh dan maklumat sains mengenai perubahan iklim seperti peningkatan aras laut, pemanasan global dan gelombang ribut dipandang sepi sehinggalah tibanya bencana.

Sebagai sebuah negara pesisir yang dikelilingi laut, hampir 70 peratus penduduk Malaysia tinggal di kawasan pesisir pantai dan sungai yang terdedah kepada ancaman perubahan iklim dan bencana daripada laut.

Unjuran oleh Institut Kajian Air Kebangsaaan Malaysia (NAHRIM) sejak 2010 menunjukkan bahawa fenomena peningkatan aras laut di pesisir pantai Malaysia sehingga berkemungkinan menenggelamkan beberapa kawasan, adalah bukan bersifat spekulasi semata-mata.

Pada 28 Mac 2016, Dewan Rakyat dimaklumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu bahawa unjuran yang dibuat berdasarkan hasil kajian antarabangsa ini adalah asas untuk kerajaan mengambil beberapa langkah mitigasi perlindungan kawasan pantai.

Antaranya langkah struktur dengan membina benteng hakisan (groynes) dan tembok penahan ombak (revetment) serta langkah tanpa struktur seperti tanaman semula bakau dan penambakan pasir pantai. Benteng hakisan dan tembok penahan ombak daripada batu ini boleh dilihat contohnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.

Memandangkan struktur perlindungan atas pantai mungkin kurang berkesan apabila berdepan dengan gelombang besar yang melanda pantai, struktur pemecah ombak luar pesisir (detached breakwater) patut turut dibina selari dengan pantai di luar pesisir.

Pemecah ombak yang sesuai di perairan cetek ini berupaya mengurangkan tindakan ombak. Apabila gelombang menghampiri pantai, ia mengurangkan tenaga ombak, seterusnya mewujudkan persekitaran tenang di bahagian yang menghadap daratan.

Selain langkah mitigasi, kerajaan dan juga masyarakat perlu segera mengadaptasi dan bersiap siaga terhadap ancaman perubahan iklim bagi mengelakkan lebih banyak kerugian ke atas harta benda dan kehilangan nyawa.

Jika disorot kembali, masyarakat terdahulu lebih bersedia dengan membina rumah di atas tiang bagi mengelakkan ancaman banjir serta haiwan buas dan berbisa. Rumah moden di atas tanah ternyata lebih terdedah kepada ancaman banjir.

Ketika merancang sebarang pembangunan pada masa hadapan, pihak berkuasa tempatan dan pemaju perlu menjauhi garis pantai bagi mengelakkan risiko kehilangan harta benda dan nyawa.

Penambakan pantai, kecuali untuk tujuan pemulihan pantai yang terhakis, patut dielakkan kerana ia boleh memberi impak kepada peredaran semula jadi air laut, selain pencemaran dan kebinasaan ekosistem marin.

Kedudukan Malaysia yang dikelilingi laut memerlukan masyarakat sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi ancaman perubahan iklim dan ancaman bencana.

Masyarakat Malaysia perlu sentiasa peka dengan permasalahan di dalam persekitaran kita dengan membina keupayaan kendiri, bermula dengan pengetahuan dan kesedaran yang boleh diperoleh di hujung jari.

Kerajaan menyediakan maklumat melalui pelbagai sumber antaranya portal laman sesawang METMalaysia, JUPEM dan Pusat Hidografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Oseanografi dan Sekitaran juga berjaya membina sistem visual ramalan lautan dan mengeluarkan ramalan gelombang bahaya sehingga 20 Disember.

Suapan secara langsung bagi kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, sebagai contoh ketinggian ombak antara dua hingga empat meter, membolehkan amaran berbahaya diberi lebih awal untuk aktiviti perkapalan (perikanan dan perkhidmatan feri) serta semua aktiviti pantai.

Penggunaan sistem MFAST merujuk Malaysia Marine Forecast Systems (Sistem Ramalan Marin Malaysia) boleh dimanfaatkan pengguna luar dan industri secara lebih aktif bagi mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman bencana dari laut.

Penulis adalah Ketua Pusat Tadbir Urus Lautan, Institut Oseanografi dan sekitaran (INOS) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Berita Harian X