Selasa, 30 November 2021 | 11:00am
Orang ramai perlu melipatgandakan usaha mengekang, mengelak dan mencegah gelombang baharu dengan mengamalkan pematuhan kendiri secara menyeluruh.
Orang ramai perlu melipatgandakan usaha mengekang, mengelak dan mencegah gelombang baharu dengan mengamalkan pematuhan kendiri secara menyeluruh.

Perkukuh 'Kita Jaga Kita' elak Omicron rampas kebebasan rakyat

Artikel berjudul COVID-19 is likely to fade away in 2022 dalam laporan The Economist baru-baru ini menyebut 'Pandemik (COVID-19) tidak mati, ia hanya pudar'.

Itulah yang mungkin dilakukan COVID-19 tahun depan. Benar, akan ada peningkatan tempatan dan bermusim, terutama di negara kekurangan vaksin secara kronik.

Artikel sama seterusnya menyebut, pakar epidemiologi juga perlu memerhatikan varian baharu yang mungkin mampu menewaskan imuniti disediakan vaksin.

Namun, pada tahun akan datang - apabila COVID-19 memasuki fasa endemik seperti selesema atau selesema biasa - kehidupan di kebanyakan dunia mungkin akan kembali normal, sekurang-kurangnya keadaan normal selepas pandemik.

Ketika artikel itu muncul di pasaran, dunia digegarkan dengan kemunculan varian baharu, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius masyarakat global. Selepas varian Delta dan Super Plus, Omicron, yang dikaitkan dengan benua Afrika, meletakkan dunia dalam keadaan berjaga-jaga.

Dikhuatiri bakal membawa gelombang baharu jangkitan dan penularan, negara yang memutuskan untuk membuka sempadan mula membuat kajian semula mengenai keputusan itu.

Pasaran dunia turut menjunam ke paras rendah dalam setahun. Persidangan menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) minggu depan - perhimpunan terbesar badan perdagangan global itu dalam tempoh empat tahun - ditangguhkan pada saat akhir hujung minggu lalu susulan kehadiran Omicron COVID-19.

WTO berharap perhimpunan empat hari di Geneva akan memberi nafas baharu kepada organisasi itu, yang terperangkap bertahun-tahun dalam cuba membuat kemajuan menyelesaikan isu seperti subsidi perikanan.

Selain itu, penemuan Omicron mencetuskan tanda amaran terbaru Jumaat lalu, apabila banyak negara tergesa-gesa mengambil tindakan menangguhkan perjalanan dari dan ke Afrika selatan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran Omicron mungkin merebak lebih cepat berbanding bentuk lain dan bukti awal mencadangkan terdapat peningkatan risiko jangkitan.

Pakar epidemiologi memberi amaran sekatan perjalanan mungkin sudah terlambat untuk menghentikan Omicron daripada beredar di seluruh dunia. Mutasi baharu itu pertama kali ditemui di Afrika Selatan dan sejak itu dikesan di Belgium, Botswana, Israel dan Hong Kong.

Dari perspektif Malaysia, kita baru sahaja menarik nafas lega selepas hampir lima bulan diikat sekatan pergerakan penuh, membawa impak paling buruk dalam kehidupan kita. Lebih buruk berbanding impak gelombang pertama.

Rakyat sudah tidak mampu untuk berhadapan satu lagi gelombang impak. Ekonomi dan sempadan negara baru sahaja mula dibuka secara berperingkat termasuk antara Malaysia-Singapura mulai semalam.

Rakyat mula menyusun semula tindakan dan strategi mata pencarian masing-masing, sama ada dalam sektor formal ataupun tidak formal, selepas lama dicengkam impak COVID-19.

Kemudahan kesihatan juga masuk fasa baharu untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik dan keluar daripada tekanan luar biasa pernah dihadapi.

Bajet 2022 diumumkan sebulan lalu dan kini dalam peringkat perbahasan kelulusan, menyediakan pelan tindakan untuk menghadapi tempoh pasca pandemik mulai tahun depan. Tidak lama lagi, kita akan memasuki fasa endemik, dengan pakar kesihatan memberi amaran kita tiada pilihan kecuali menerima COVID-19 sebagai sebahagian kitaran kehidupan manusia.

Ini bermakna Malaysia dan seluruh dunia bakal memasuki tahun ketiga serangan COVID-19 tidak lama lagi. Tinggal sekitar 30 hari kita akan memasuki tahun ketiga pandemik. Krisis kesihatan akan membawa kita 365 hari kali ketiga dalam beberapa hari.

Pilihan kita cuma satu - kita perlu mengambil langkah pencegahan lebih berhati-hati, berwaspada dan berjaga-jaga.

Berdasarkan butiran dikeluarkan portal COVIDNOW sehingga Sabtu lalu, seramai 79.1 peratus rakyat dewasa menerima satu dos dan 77.1 peratus diberikan dos penuh atau dua dos, manakala 20.9 peratus menerima dos penggalak.

Lebih 30,000 rakyat Malaysia meninggal dunia akibat virus ini, dengan jumlah jangkitan adalah 2.6 juta. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding ketika Mac 2020.

Dalam tempoh singkat sahaja, jumlah jangkitan dan korban mencecah paras luar jangkaan. Kita belum bebas sepenuhnya. Masih terdapat lebih 67,000 kes aktif.

Negara menangani gelombang pertama dengan jaya dan berkesan. Kejayaan itu membawa kita kepada keadaan rasa selesa, hingga ramai terlepas pandang kerja keras dicurahkan pada peringkat awal usaha mencegah jangkitan.

Ia membawa kepada pengiktirafan Malaysia sebagai antara negara berjaya mengawal jangkitan dan penularan COVID-19. Malangnya, akibat kelekaan dek kejayaan awal, kita memandang mudah keperluan pematuhan, pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan secara berterusan.

Akibatnya, kesan buruk kita saksikan. Kes meningkat mendadak hingga membawa proklamasi darurat dan sekatan penuh. Kita berasakan kebebasan mereka dirampas dan dinafikan. Ia dirasai sehingga kini.

Hari ini, kita mendengar kemunculan varian baharu ketika sempadan dunia mula dibuka berperingkat. Apakah jaminan kita tidak mungkin berhadapan gelombang baharu seperti impak diakibatkan Delta dan Delta Plus?

Sementara imbangan antara kepentingan kesihatan, ekonomi dan kebebasan rakyat diberi keutamaan, kini masa untuk setiap individu tidak kira pangkat, kuasa, kedudukan serta status perlu ada peranan.

Kita perlu kembali merenung pengajaran dan pengalaman sepanjang 17 bulan lalu. Kita perlu memperkukuhkan pelan tindakan pada setiap peringkat. Jangan leka dan jangan rasa selesa sama sekali.

Kita perlu jaga kita. Tidak ada pihak yang akan jaga kita. Slogan 'Kita Jaga Kita' perlu diperkukuh dari sudut amalan dan pematuhan, tidak kira masa dan tempat.

Vaksin yang sudah diberikan dan diterima, hanyalah satu perisai awal, bukan perisai berkekalan. Usaha memerangi dan mencegah terletak pada tangan kita.

Kita tidak ada pilihan kecuali melipatgandakan usaha mengekang, mengelak dan mencegah gelombang baharu. Sebagai ekonomi bergantung kepada dunia luar, kita tiada pilihan untuk membuka sempadan negara, seperti dilakukan banyak kerajaan.

Tindakan proaktif perlu digandakan. Amalkan pematuhan kendiri secara menyeluruh, dalam erti kata lebih luas berbanding sebelum ini. Pun begitu keseimbangan antara sektor perlu diutamakan.

Penulis adalah Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik, World Trade Centre Associations

Berita Harian X