Ahad, 28 November 2021 | 11:00am
 Pemasaran dan pengagihan sayur-sayuran perlu dikawal selia lebih ketat bagi memastikan tiada monopoli harga dalam pasaran oleh orang tengah. - Foto hiasan/NSTP/Malai Rosmah Tuah
Pemasaran dan pengagihan sayur-sayuran perlu dikawal selia lebih ketat bagi memastikan tiada monopoli harga dalam pasaran oleh orang tengah. - Foto hiasan/NSTP/Malai Rosmah Tuah

Dasar sekuriti makanan perlu jaga kepentingan pengguna, pengeluar

Kenaikan harga makanan seperti ayam dan ikan kebelakangan ini menjadi buah mulut pengguna Malaysia. Harga ayam meningkat lima kali dalam tempoh seminggu daripada RM8 kepada RM10.70 sekilogram.

Ia mengejutkan pengguna kerana peningkatan berlaku mendadak. Ini disusuli harga ikan seperti selayang yang naik daripada RM9 kepada RM14 sekilogram, serta kembung daripada RM17 kepada RM18 sekilogram. Hal ini mendatangkan kegusaran pengguna, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah.

Belum pun reda isu kenaikan harga makanan itu, kini ditambah pula kenaikan harga sayur-sayuran. Sayur seperti kubis bunga, sawi pendek dan brokoli meningkat antara 100 hingga 200 peratus berbanding harga lama.

Sebelum ini, kubis bunga dijual pada harga RM7 sekilogram, namun mencecah RM16 sekilogram. Sawi pendek pula meningkat kepada RM9 sekilogram berbanding RM3 sebelum ini.

Daripada segi punca, faktor utama mempengaruhi kenaikan harga adalah cuaca yang tidak menentu seperti musim hujan melanda di kebanyakan negeri di Malaysia. Di Cameron Highlands contohnya, disebabkan hujan berlaku kerosakan sayuran milik petani yang mencetuskan ketidakcukupan bekalan di pasaran sehingga menyumbang kenaikan harga secara impulsif.

Dianggarkan antara 100 hingga 150 kilogram (kg) tomato rosak akan dibuang pekebun sehari berikutan kualiti tidak menepati standard yang ditetapkan untuk pemasaran.

Bekalan sayur-sayuran import turut terjejas akibat negara pengeluar seperti Thailand dan Vietnam mengalami cuaca sejuk melampau, selain kos logistik dari negara berkenaan juga bertambah.

Berdasarkan rekod, jumlah import sayuran ke Malaysia pada 2019 adalah 1.82 juta tan dengan sayur-sayuran seperti bawang merah, bendi, brokoli, cendawan, cili, keledek, kubis dan kubis bunga diimport dari China, India, Indonesia dan Thailand.

Dalam pada itu, perubahan harga input pertanian seperti baja, bahan kimia, mesin dan tenaga kerja juga turut menyumbang kepada kenaikan harga hasil pertanian. Walaupun dengan bantuan kerajaan kepada pekebun kecil, harga baja meningkat sehingga 100 peratus serta kadar upah yang turut sama meningkat tidak dapat membantu dalam menangani kenaikan harga barangan utama makanan.

Secara purata, komponen kos bahan makanan dalam perbelanjaan pengguna adalah dalam lingkungan 28 peratus. Kos sara hidup tinggi ini terutama di bandar, ditambah pula kenaikan harga sayur-sayuran secara mendadak mengakibatkan golongan berpendapatan rendah semakin sukar mendapatkan sumber makanan sihat.

Kenaikan harga sayur-sayuran ini bukan hanya menjejaskan pengguna, malah turut memberi kesan kepada peniaga dan pemborong kerana mereka membeli sayur-sayuran secara pukal dengan harga tinggi. Peniaga berisiko menanggung kerugian jika berlaku lambakan sayur-sayuran tidak terjual.

Sehubungan itu, dalam jangka masa pendek, kerajaan perlu mengembangkan lagi program jaringan keselamatan seperti sokongan makanan dan pendapatan, serta program nutrisi yang memfokuskan kepada perkembangan awal kanak-kanak untuk golongan miskin tegar di bandar dan luar bandar.

Ini bagi memastikan golongan terkesan dengan kenaikan harga sayur-sayuran ini dapat terus menikmati sumber makanan berkhasiat.

Kerajaan melalui agensi berkaitan perlu mengawal selia pemasaran dan pengagihan sayur-sayuran di Malaysia dengan lebih ketat, supaya tiada monopoli harga dalam pasaran oleh orang tengah.

Mana-mana peniaga yang menaikkan harga melebihi harga siling boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 bagi memastikan hak pengguna terpelihara.

Kerajaan juga disaran mewujudkan Jawatankuasa Perundingan Harga bagi memastikan harga sayuran dalam pasaran mampu dibeli oleh pengguna dan dalam masa sama, pengeluar sayuran juga dapat menikmati hasil pulangan yang berpatutan.

Bagi jangka masa panjang pula, penggubalan dasar terhadap sekuriti makanan lebih holistik yang menggabungkan antara kelestarian pengeluaran dan penggunaan serta jaringan keselamatan makanan, perlu dirangka dalam pembangunan ekonomi.

Antara inisiatif untuk mengurangkan insiden kekurangan bekalan makanan adalah seperti berikut:

  • Seperti dalam sektor tanaman industri (diusahakan syarikat perladangan selain pekebun kecil), sektor pengeluaran makanan perlu juga diusahakan oleh usahawan. Ini bagi memastikan sektor ini dibangunkan menjadi sektor moden, berdaya saing dan komersial.

    Di UPM contohnya, ada menawarkan Program Inkubasi Usahawantani. Peserta dipilih terutamanya daripada pemegang ijazah dalam bidang pertanian yang mempunyai kecenderungan terhadap keusahawanan. Mereka diinkubasi selama enam bulan di mana pada akhir tempoh inkubasi, peserta berjaya akan mempunyai perniagaan pengeluaran makanan masing-masing;

  • Melaksanakan dasar guna tanah untuk meningkatkan pengeluaran makanan melalui penyisihan kawasan tanah pertanian khusus untuk penghasilan makanan dan sumber pemakanan lain.
  • Melaksanakan program khas yang akan meningkatkan produktiviti dengan tujuan untuk mengurangkan kos serta meningkatkan dan menstabilkan pengeluaran dan pendapatan golongan miskin. Program sedemikian termasuk meningkatkan akses pengeluar kecil kepada input pertanian, kredit dan perkhidmatan penting lain serta pasaran. Peranan koperasi dalam meningkatkan pendapatan petani perlu ditekankan; dan
  • Proses perbandaran pesat menarik kemiskinan dan isu sekuriti makanan ke bandar, memandangkan penghuni bandar adalah pembeli makanan bersih dan bergantung kepada pendapatan untuk mengakses makanan. Mempromosikan pertanian bandar akan dapat mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah bandar.
  • Apa yang penting sekarang adalah pihak berkuasa perlu memantau harga makanan secara berterusan, memastikan penyampaian input pertanian kepada petani secara berkesan, memastikan kelancaran operasi logistik rantaian bekalan makanan, memastikan penyimpanan stok makanan mencukupi dalam keadaan darurat serta memastikan aliran perdagangan yang lancar dan memanfaatkan sepenuhnya pasaran antarabangsa sebagai alat penting untuk mendapatkan bekalan dan permintaan makanan.

    Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM)

    Berita Harian X