Selasa, 23 November 2021 | 10:31am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Praktik model bidang pemasaran rangka strategi pilihan raya

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh dianalisis dengan menggunakan model gelagat atau kelakuan pengguna seperti digunakan dalam bidang pemasaran.

Kelakuan pengguna ialah proses membuat keputusan untuk membeli atau memiliki sesuatu produk atau perkhidmatan daripada pengeluar dan peruncit. Ini meliputi apa dan bila ia dibeli pengguna, selain di mana, mengapa dan bagaimana pengguna membeli.

Bagi mendapatkan jawapan itu, organisasi perlu menjalankan penyelidikan berkaitan kelakuan pengguna. Tanpa sebarang penyelidikan, kemungkinan tafsiran mengenai gelagat mereka akan terpesong. Kegagalan memahaminya pula memberi kesan mendalam kepada syarikat jika salah taksir, termasuk gulung tikar.

Umumnya, keputusan pembelian pengguna boleh dipengaruhi rangsangan pemasaran dan persekitaran. Rangsangan pemasaran ialah campuran pemasaran merujuk faktor dilaksanakan organisasi sebagai campuran strategi, iaitu produk, pengedaran, penetapan harga dan promosi.

Rangsangan persekitaran merujuk faktor persekitaran atau di luar kawalan syarikat yang boleh mempengaruhi pengguna seperti ekonomi, budaya, teknologi dan politik.

Di pasaran pula, ada banyak jenama ditawarkan hingga kadang-kadang membuatkan pengguna keliru. Dengan mengetahuinya, rangsangan yang boleh mempengaruhi kelakuan pengguna dapat dikenal pasti, sekali gus memudahkan syarikat mensasarkan produk serta perkhidmatan mereka.

Senario sama boleh digunakan dalam menganalisis pilihan raya. Terdapat banyak parti politik menawarkan 'perkhidmatan' kepada pengundi, iaitu pengguna dalam istilah perniagaan dan pemasaran.

Parti politik mesti membuat penyelidikan mengenai gelagat dan kelakuan pengguna mereka. Dalam pilihan raya lalu, parti politik mesti mengetahui gelagat pengguna pasti akan berubah selepas tiga tahun berlalu.

Dalam model kelakuan pengguna, mereka akan berubah gelagat berlawanan dengan masa. Dengan erti kata lain, mereka boleh menukar keputusan daripada mengundi satu parti pada pilihan raya lalu kepada parti politik lain pada pilihan raya sekarang atau akan datang. Perubahan ini perlu dikaji semua parti politik. Antara faktor utama, prestasi dan kemampuan menunaikan janji. Manifesto adalah satu produk dijanjikan parti politik kepada rakyat atau pengundi.

Sekiranya gagal melaksanakan janji atau manifesto, rakyat tidak akan percaya lagi seperti pengguna apabila membeli sesuatu produk, tetapi gagal berfungsi. Situasi ini berlaku di PRN Melaka apabila parti diberi mandat, gagal melaksanakan janji kepada rakyat mengikut manifesto ditawarkan.

Malah, tindakan membalas 'dendam' dengan menjadikan kerajaan sedia ada tidak stabil, dilihat sebagai tindakan tidak sepatutnya dilakukan ketika negara masih menghadapi wabak COVID-19. Perubahan kelakuan inilah tidak dapat dibaca sesetengah parti politik.

Seterusnya, konsisten dalam polisi juga penting bagi parti politik. Dalam dunia perniagaan, jika sesebuah syarikat tidak konsisten dalam kualiti produk misalnya, pengguna juga akan lari kepada produk lain. Peristiwa lompat apabila berlaku di Melaka, ia 'dihalalkan' sesetengah pihak yang sebelum ini begitu lantang mengkritiknya, tetapi masih meletakkan calon lompat parti dalam PRN Melaka.

Bagi pengundi, ia dilihat sebagai faktor tidak konsisten dan kepercayaan mereka kepada parti mereka undi pada pilihan raya lalu sebagai parti tidak boleh dipercayai atau meragui kebergantungan mereka kepada parti berkenaan.

Hal ini sama dalam bidang perniagaan, jika pengguna tidak puas hati kepada produk atau perkhidmatan sesebuah syarikat, aduan kepada syarikat berkenaan akan dibuat. Malah, media sosial juga akan digunakan untuk melahirkan rasa ketidakpuasan, seterusnya akan memberhentikan pembelian atau penggunaan produk terbabit.

Akhirnya, mereka akan mempengaruhi pengguna lain untuk tidak menggunakan produk itu. Inilah perubahan gelagat pengguna harus difikirkan dan dianalisis.

Kesimpulannya, pengetahuan dalam gelagat dan kelakuan pengguna penting untuk dimiliki bukan sahaja semua pengeluar dalam bidang perniagaan, malah diaplikasi dalam bidang politik oleh ahli politik dalam merangkakan strategi dalam pilihan raya sama ada peringkat negeri ataupun nasional.

Profesor di Sekolah Perniagaan Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysi (UTM)

Berita Harian X