Selasa, 7 September 2021 | 10:31am

Kawal komunikasi propaganda elak ancam keharmonian negara

Ekosistem media sentiasa berubah dipengaruhi beberapa faktor seperti proses digitalisasi, penggunaan media dan juga inovasi dalam teknologi komunikasi.

Perubahan teknologi komunikasi daripada 4G kepada 5G akan membuka ruang baharu proses penyampaian maklumat dalam pelbagai bentuk dan kaedah yang lebih banyak maklumat akan dihasilkan serta dikongsi melalui ruang maya.

Proses ini akan mengambil alih beberapa usaha sebelum ini terutama memastikan mesej dan kandungan disampaikan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat atau sebaliknya boleh berlaku dalam bentuk keadaan yang 'huru-hara' dan tidak terkawal.

Pada peringkat awal penularan pandemik, beberapa maklumat palsu disebarkan dalam pelbagai platform digital sehingga mencabar media tradisional yang masih bermatlamatkan kesejahteraan dan keselamatan awam.

Namun, cabaran ini sentiasa berubah kerana sumber maklumat sentiasa mengubah kaedah komunikasi rangkaian mereka dalam mewujudkan satu bentuk propaganda rangkaian yang tersusun dan sistematik.

Tiga elemen utama dalam rangkaian propaganda perlu diketahui, iaitu manipulasi, maklumat palsu dan radikalisasi maklumat. Ketiga-tiga ini kini menjadi cabaran dalam proses demokrasi sesebuah negara dan aspek kemahiran digital juga mempercepatkan proses digitalisasi demokrasi di sesebuah negara.

Penggunaan dan penguasaan teknologi komunikasi dan media dalam kalangan pengguna media sosial semakin meningkat apabila beberapa kemahiran baharu diterokai dan dipraktikkan dalam mewujudkan satu bentuk rangkaian komunikasi propaganda yang mampu menjadi ancaman kepada keselamatan dan keharmonian sebuah sistem masyarakat yang lama wujud.

Ini menjadi satu cabaran bagi negara maju lain seperti di Amerika Syarikat (AS) apabila serangan siber berlaku dalam pelbagai bentuk dan kaedah dalam melemahkan sistem sedia ada.

Kelemahan yang wujud ini terutama dari segi penguasaan pengetahuan mengenai kesedaran keselamatan kesihatan menjadi ruang terbuka untuk golongan ini menghasilkan kandungan dalam bentuk visual dan video yang mampu meresapi pemikiran luar sedar pengguna media sosial secara tidak langsung.

Ketidakmampuan dalam menapis dan menilai maklumat menyebabkan propaganda rangkaian ini menguasai pengetahuan dan kepercayaan yang membentuk satu nilai songsang atau terpesong daripada agenda ditetapkan pihak pemerintah.

Umum mengetahui, majoriti pengguna media sosial dalam kalangan pengguna muda berusia 18 hingga 25 tahun. Keupayaan mereka dalam penggunaan media sosial dan efikasi maklumat mereka menjadikan golongan ini antara sasaran.

Malah, mereka juga dijadikan sumber sekunder bagi pihak propagandis rangkaian untuk menjadi penyebar maklumat tidak rasmi mereka.

Kemampuan menembusi pemikiran golongan ini sudah terbukti ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila majoriti pengundi muda mudah terpengaruh maklumat tidak sahih sehingga mempengaruhi tingkah laku pengundian mereka.

Perkara sama berlaku ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN) selama 18 bulan dan kini kerajaan baharu juga akan berdepan cabaran sama - bagaimana menghadapi ancaman dalam bentuk maklumat palsu dan fitnah yang mampu merencatkan pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia.

Pada peringkat awal, sumber akan mengenal pasti beberapa isu lalu sebagai perancangan awal menentukan mesej akan disampaikan dalam bentuk rangkaian propaganda.

Isu yang mampu membangkitkan sentimen akan dimanipulasi dalam pelbagai bentuk sama ada komik ataupun grafik. Keupayaan mempengaruhi emosi, perkara asas dalam pembentukan mesej ini.

Pada Pilihan Raya Presiden AS ketika Donald Trump menjadi calon, pihak luar membeli iklan dalam bentuk iklan Facebook untuk dijadikan kandungan propaganda politik, sama ada untuk tujuan serangan atau meraih sokongan. Modus operandi sama digunakan pada PRU-14 di negara kita.

Rangkaian propaganda ini boleh melemahkan sesebuah sistem dan mampu memberikan satu implikasi besar ke atas imej dan reputasi pemimpin serta kerajaan. Berbeza propaganda tradisional, kesan berlaku amat tinggi dan pantas.

Kemampuan propaganda rangkaian meresap masuk ke dalam sumber rangkaian maklumat berlaku dengan pantas. Ia mencabar sistem tradisi sedia ada sehingga boleh mengancam keselamatan sebuah negara.

Kemampuan mencipta sokongan maya dalam bentuk tanda pagar dan visual tertentu boleh mencetuskan beberapa keadaan seperti panik, keresahan, kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap pemerintah ataupun pemimpin.

Cabaran 100 hari pentadbiran Keluarga Malaysia pasti akan berdepan senario ini sekiranya tidak dikesan awal dan kemampuan menguruskan rangkaian propaganda ini dalam bentuk perancangan komunikasi strategik yang bersesuaian dengan kemampuan dan kebersediaan organisasi terbabit.

Aspek risikan digital dalam bentuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) seperti penggunaan data raya dalam menganalisis isu dan sentimen, mampu memberikan gambaran jelas sekiranya berlaku serangan propaganda terancang kumpulan siber tertentu.

Data risikan akan digunakan dalam perancangan media dan kandungan digital dalam membantu menguruskan isu semasa serta sebagai pelan komunikasi strategik, supaya tahap serangan boleh diminimumkan dan keharmonian masyarakat dapat dijamin dalam konsep kerangka Keluarga Malaysia yang mengutamakan aspek keluhuran Perlembagaan, kestabilan politik dan perpaduan antara kaum di negara ini.

Hasil data boleh dijadikan model penentuan atau pelan tindakan penting dalam pembentukan model strategik dan pintar dalam menjamin kualiti penggunaan media sosial, pembentukan dasar yang holistik dan keutamaan dalam mengurus ekonomi negara dalam fasa pemulihan negara.

Sebagai contoh, kemampuan data raya ini boleh digunakan untuk pembentukan model perpaduan pintar yang boleh dibangunkan melalui pembabitan semua pihak.

Proses ini akan terus berlaku dalam kerangka rangkaian komunikasi bersifat dinamik. Kemampuan khalayak dalam memilih dan menggunakan media melalui literasi media akan membezakan kemampuan khalayak dalam menilai dan mengesahkan sesebuah maklumat.

Keupayaan pemerintah dalam mengawal selia dan memantau kandungan serta sebaran propaganda rangkaian ini akan sentiasa menjadi cabaran dalam memastikan keharmonian dan keselamatan masyarakat.

Kerajaan hari ini mempunyai pengalaman dalam mengurus perkara ini selepas berlaku beberapa perubahan dalam politik kita.

Cuma adakah kesilapan sama bakal berulang dengan mengeluarkan kenyataan mampu mencetuskan serangan.

Ini perlu dielakkan bagi memastikan reputasi dan imej kerajaan baharu ini boleh dipertahankan dalam kerangka baharu yang diperkenalkan Perdana Menteri.

Kesungguhan merealisasikan konsep Keluarga Malaysia perlu didukung semangat baharu dan penghayatan politik matang semua pihak.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Berita Harian X