Ahad, 4 April 2021 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pembentukan Malaysia bersatu padu jayakan dasar kerajaan

Dahulu, dunia tidak mengenali Malaysia hingga ada terkeliru negara ini dengan Malawi atau Madagascar, sebaliknya ramai mengenali Singapura. Malah, Vietnam lebih dikenali kerana berlaku peperangan.

Pelbagai pancang berjaya dicapai dan pelbagai tembok berjaya didaki. Kini, kita mampu tersenyum apabila ekonomi negara berjaya menjalani transformasi daripada negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dengan asas ekonomi mantap.

Kejayaan ini pasti didorong dasar kerajaan yang menampakkan bibit kejayaan.

Kini, tumpuan negara terarah kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) 2021-2025. Setakat ini, kerajaan terpaksa menangguhkan pembentangan RMKe-12 di Parlimen kerana beberapa perubahan penting perlu dilakukan demi memastikan strategi digubal kekal relevan dan mampu dilaksanakan.

Hal ini berlaku kerana kerajaan merangka strategi RMKe-12 pada 2019 ketika ekonomi negara dalam keadaan baik. Namun, pandemik COVID-19 yang muncul pada akhir 2019 menyaksikan ekonomi global, termasuk Malaysia semakin perlahan.

Sektor minyak dan gas menyumbang 20 peratus kepada pendapatan kerajaan juga tergugat apabila sebelum ini berlaku penurunan harga minyak secara mendadak.

Ditambah dengan sektor pelancongan terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa kerajaan membuat penelitian semula terhadap dokumen RMKe-12 berkenaan.

Ketika ini, dokumen RMKe-12 mungkin berada pada fasa terakhir untuk disiapkan dan menunggu masa dibentangkan kepada rakyat. Strategi digariskan dalam RMKe-12 akan mengambil kira hala tuju besar negara, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

WKB2030 hanya menggariskan matlamat dan dasar ingin dicapai Malaysia pada 2030, manakala perincian setiap dasar akan dinyatakan dalam RMKe-12 (2021-2025) dan RMKe-13 (2026-2030).

Selain dua hala tuju utama ini, Dasar Keusahawanan Nasional, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindak Ekonomi Digital Malaysia serta MyDIGITAL juga diambil kira dalam RMKe-12 ini.

Memang benar kata orang, kita perlu berfikiran positif dan yakin kemampuan diri sendiri. Namun, ada faktor luaran berlaku di luar kemampuan kita.

Sebelum ini, Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memperkenalkan Wawasan 2020 yang menjangkakan negara akan berjaya mencapai pendapatan perkapita AS$16,000 (RM66,000) setahun pada 2020, dengan syarat ekonomi negara perlu berkembang 7 peratus sepanjang tempoh 30 tahun mulai 1991.

Selepas pelancaran Wawasan 2020, ekonomi negara berkembang pada kadar lebih 7 peratus setahun. Namun, kenikmatan dikecapi tidak begitu lama kerana mata wang negara diserang pada 1997.

Oleh itu, segala perancangan dilakukan perlu disulami dengan persediaan rapi dengan mengambil kira cabaran mendatang walaupun tidak diduga. Kita perlu mengakui antara faktor kurang keberkesanan dasar terdahulu disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan dasar.

Justeru, pemantauan dalam pelaksanaan setiap strategi akan dibentangkan dalam RMKe-12 itu nanti perlu dilakukan secara berkala dan telus.

Matlamat ditetapkan dalam WKB2030 mungkin perlu diperhalusi semula dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa. Agak sukar untuk mencapai matlamat dalam sesebuah dasar sekiranya diletakkan begitu tinggi dan menuntut perubahan ekonomi besar.

Apa yang pasti, setiap lapisan masyarakat perlu menggerakkan peranan agar segala matlamat didukung dasar kerajaan tercapai. Perkara pokok perlu didahului ialah pembentukan negara Malaysia bersatu padu.

Itulah resipi kejayaan perlu diusahakan seluruh rakyat demi memastikan apa ingin dikecapi tercapai. Perbezaan ideologi politik pula perlu diraikan tanpa mencetuskan perbalahan besar yang akhirnya nanti akan merugikan anak bangsa.

Selain itu, modal insan perlu diperhebatkan lagi memandangkan negara berhadapan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang memerlukan ramai tenaga kerja mahir.

Penekanan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu diperhebatkan dan infrastruktur kondusif perlu disediakan agar lebih ramai lagi tenaga kerja mahir dapat dilahirkan.

Proses pendigitalan masyarakat perlu dipercepatkan dan diberi penekanan khusus. Segala bentuk bantuan dijanjikan sebelum ini perlu diagihkan dengan kadar segera kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) demi merancakkan semula aktiviti perniagaan.

Selain itu, sikap terlalu bergantung kepada kerajaan harus dikikis demi mewujudkan masyarakat berdikari dan dinamik. Pendekatan Kebajikan Produktif perlu dipergiatkan demi mencapai kemampanan pendapatan negara.

Kejayaan setiap dasar banyak bergantung kepada kakitangan awam kita. Oleh itu, rangka kerja pengurusan sumber manusia dan pembangunan kerjaya perlu ditambah baik.

Sistem penyampaian maklumat kerajaan juga perlu dipertingkatkan agar seluruh rakyat memahami isi terkandung dalam dasar berkenaan. Tanpa pemahaman baik terhadap sesuatu dasar, rakyat tidak akan mengambil kisah dengan apa yang berlaku di sekeliling dan menganggap kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk mengubah kehidupan mereka.

Perkara sebeginilah nanti akan diterjemahkan menerusi peti undi dan menyebabkan berlaku perubahan kerajaan dibentuk kelak.

Berita Harian X