Sabtu, 3 April 2021 | 11:00am
Inovasi pendidikan masa hadapan perlu fokus untuk membentuk kemenjadian manusia dengan memanfaatkan kemajuan teknologi. Teknologi hanya alat membantu pencapaian matlamat ini. Kemuncak kemenjadian manusia selari dengan apa dalam perspektif Islam dipanggil hikmah. - Gambar hiasan
Inovasi pendidikan masa hadapan perlu fokus untuk membentuk kemenjadian manusia dengan memanfaatkan kemajuan teknologi. Teknologi hanya alat membantu pencapaian matlamat ini. Kemuncak kemenjadian manusia selari dengan apa dalam perspektif Islam dipanggil hikmah. - Gambar hiasan

Transformasi pendidikan demi lahirkan pemimpin peradaban

Pada 1915, John Dewey menulis buku bertajuk Schools of Tomorrow. Sekolah masa hadapan menurutnya, menekankan elemen kemanusiaan, kebebasan, bersifat luwes atau fleksibel dan meraikan kreativiti.

Satu abad sudah berlalu. Sehingga kini gambaran sekolah diidamkan Dewey belum dizahirkan hatta dalam kalangan negara maju.

Namun, pandemik COVID-19 seharusnya membuatkan kita membicarakan persoalan ini lebih serius.

Wabak ini menjejaskan ekosistem pendidikan seluruh dunia. Ramai tidak dapat ke sekolah secara fizikal apabila proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan secara digital sepenuhnya.

Ini mencetuskan kebimbangan terhadap fenomena susulan seperti kemiskinan digital, keciciran pembelajaran dan generasi ketinggalan.

Ancaman kemiskinan dalam bentuk baharu disebabkan ekonomi dunia masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan COVID-19, mengakibatkan ramai hilang pekerjaan.

Bagi mendepani cabaran ini, dasar pendidikan masa hadapan komprehensif perlu dijelmakan dengan mengambil kira enam pertimbangan.

Pertama, membabitkan elemen bakat. Gelombang Revolusi Industri Keempat mengubah ekosistem pekerjaan masa akan datang. Bakat ialah aset paling penting dalam era ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), Kevin Schwab, dipetik mengatakan bakat ialah bentuk modal baharu akan mempengaruhi pasaran kerja masa akan datang.

Pada masa sama, kerjaya pekerja bebas (freelancer) dan digital nomad semakin diminati khususnya generasi muda. Situasi ini dirangsang daripada perkembangan pesat teknologi maklumat menjurus kepada pertimbangan kedua.

Pertimbangan kedua merujuk kepada elemen pendemokrasian pendidikan. Elemen ini dirangsang proses PdP secara dalam talian bercambah sepanjang pandemik COVID-19.

Fakta juga menunjukkan kursus dalam talian atau massive open online courses mula mendapat tempat sejak kebelakangan ini. Di negara ini sahaja, dalam tempoh dua tahun, 450 kursus diikuti dengan membabitkan 600,000 peserta daripada lebih 170 negara.

Pendemokrasian pendidikan membuka ruang untuk masyarakat mengikuti kursus sesuai berdasarkan kepada minat dan bakat.

Pilihan untuk mendapatkan pendidikan masa akan datang juga dilihat tidak lagi tertumpu pada institusi pendidikan konvensional seperti sekolah dan universiti.

Justeru, pendemokrasian pendidikan menjadi elemen penting perlu diambil untuk merangka pelaksanaan kurikulum pendidikan masa hadapan.

Pertimbangan ketiga perlu diberi perhatian ialah keperluan meningkatkan aspek kemahiran insaniah dan mengukuhkan kecerdasan emosi.

Perkembangan pesat dalam bidang sains menjelmakan pelbagai teknologi canggih. Antaranya, kecerdasan buatan (AI) yang mampu membuat analisis secara mandiri tanpa dikendalikan manusia.

Ini menimbulkan persoalan etika dipandu peranan manusia untuk mencorak peradaban masa akan datang.

Justeru, warga pendidikan masa hadapan perlu memastikan sekolah dan institusi pendidikan dapat menggilap kemahiran insaniah dan mengukuhkan karakter untuk merangsang kecerdasan emosi.

WEF pada tahun lalu menyenaraikan lima kemahiran utama diperlukan menjelang 2025 meliputi pengurusan diri, kemahiran berkolaboratif dan kemahiran berkomunikasi serta pengurusan projek.

Pertimbangan kelima merujuk keperluan mengukuhkan literasi dalam bidang sains dan matematik serta kemahiran membaca. Dalam kajian The Future Of Unemployment: How Susceptible Are Jobs To Computerization? pada 2013, dianggarkan 47 peratus sektor pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) akan pupus.

Antara pekerjaan akan diambil alih teknologi automasi, robotik dan perkomputeran canggih meliputi bidang perakaunan, audit, jualan runcit, perkilangan, penulisan, hartanah serta penerbangan.

Situasi ini sebenarnya sedang melanda sebahagian sektor ekonomi ketika ini, sekali gus menjadikan pasaran kerja lebih kompetitif.

Literasi dalam mata pelajaran Matematik dan Sains serta kemahiran membaca amat penting untuk mengadaptasi perubahan.

Pendedahan kedua-kedua subjek itu di samping kemahiran membaca adalah penting kerana ia mengasah kemahiran berfikir secara kritis untuk mengimbangi kecanggihan teknologi pada masa depan.

Pendidikan masa akan datang juga memerlukan anjakan dalam bentuk mekanisme penyampaian. Ini pertimbangan penting untuk menyempurnakan proses PdP.

Penyampaian pendidikan masa hadapan perlu ditambah baik agar pembekalan pendidikan boleh disesuaikan mengikut keperluan dan dipakejkan mengikut kesesuaian.

Bagi masa akan datang, mekanisme ini juga perlu membabitkan interaksi antara rakan-ke-rakan (peer-2-peer) dan konsisten dengan semangat pembelajaran sepanjang hayat.

Di Jepun, persoalan mengimbangi kepesatan kemajuan teknologi dengan elemen manusiawi cuba dirungkai menerusi gagasan Society 5.0. Ini pertimbangan terakhir perlu dicermati untuk memahami keperluan pendidikan masa hadapan.

Menurut Presiden Japan Society for The Promotion of Science (JSPS), Yuichiro Anzai, gagasan Society 5.0 ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup manusia.

Society 5.0 digambarkan sebagai masyarakat bertamadun tinggi memanfaatkan kepesatan teknologi untuk meningkatkan kualiti hidup dan memenuhi keperluan sosial untuk hidup lebih sejahtera.

Beliau merumuskan inovasi pendidikan masa hadapan perlu fokus untuk membentuk kemenjadian manusia dengan memanfaatkan kemajuan teknologi.

Teknologi hanya alat membantu pencapaian matlamat ini. Kemuncak kemenjadian manusia selari dengan apa dalam perspektif Islam dipanggil hikmah.

Kesimpulannya, transformasi dalam pendidikan amat penting untuk memandu pembinaan watak dan citra bangsa Malaysia berperanan sebagai penggerak global, yang akan memimpin peradaban sejagat dengan penuh hikmah dipandu nilai manusiawi luhur.

Penulis adalah Naib Presiden (Pendidikan, Kebudayaan dan Kenegaraan), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Berita Harian X