Isnin, 16 November 2020 | 11:01am
Pemandangan di Permatang Kuarza Gombak. - Foto fail NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Pemandangan di Permatang Kuarza Gombak. - Foto fail NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pulihara nilai warisan rantau Permatang Kuarza Gombak

MENYINGKAP panorama sekitar Genting Klang sudah tentu tidak dapat lari daripada menatap satu permatang batuan berwarna putih membentuk jajaran yang memagari Kuala Lumpur.

Dikenali Permatang Kuarza Gombak, ia seolah-olah tulang belakang kepada senario bandar raya Kuala Lumpur, memiliki kepanjangan kira-kira 14 kilometer (km) dan lebar antara 50 hingga 200 meter (m) bermula di Kemensah di bahagian tenggara hingga Gombak di barat laut.

Di sepanjang permatang, ada beberapa puncak bukit iaitu Bukit Chondong (322m), Bukit Rata (367m) dan puncak tertinggi iaitu Bukit Tabur (534m).

Selain puncak bukit, permatang ini juga dipotong beberapa aliran sungai seperti Sungai Gombak, Sungai Klang, Sungai Tanggul dan Sungai Kemensah. Aliran Sungai Klang di bahagian tengah permatang ini dijadikan Empangan Genting Klang.

Permatang Kuarza kadangkala disalah tafsir sebagai perbukitan batu kapur. Ini kerana bentuk perbukitan menunjukkan tebing menegak seperti selalu dilihat pada perbukitan batu kapur.

Tebing tegak ini sebenarnya boleh dikaitkan sejarah pembentukannya yang unik. Dari segi geologi, permatang ini adalah perbukitan yang dibentuk terobosan telerang kuarza berpunca daripada magma fasa akhir yang mengisi rekahan dalam batuan granit Banjaran Titiwangsa.

Rekahan ini asalnya sesar dikenali sebagai Sesar Kuala Lumpur. Terobosan telerang berlaku secara berulang-ulang dan dikatakan memakan masa berjuta-juta tahun.

Ia dikatakan berlaku bermula 175 juta tahun lalu sehingga lengkap sepenuhnya pada 92 juta tahun yang lampau berdasarkan kajian saintifik.

Terobosan telerang yang membentuk permatang ini terdiri hampir 100 peratus mineral kuarza yang sangat tahan terhadap luluhawa.

Disebabkan ketahanan yang berbeza antara granit dan telerang kuarza, batuan granit bersebelahan mengalami luluhawa dan hakisan lebih pantas berbanding telerang.

Luluhawa dan hakisan berterusan berjuta tahun menyebabkan hanya telerang kuarza bertahan dan tinggal membentuk permatang tegak.

Di sebalik pemandangan menarik bandar raya Kuala Lumpur yang boleh dilihat ketika berada di permatang ini, apa yang lebih menarik adalah keunikan batuan yang membentuk permatang itu sendiri.

Keunikan boleh dijadikan khazanah negara ini tertanam dalam kepelbagaian jenis telerang kuarza dan struktur pada batuan.

Telerang kuarza dijumpai terdiri daripada kuarza putih susu, kuarza berwasap dan kuarza jernih. Kuarza putih susu paling banyak dijumpai dalam permatang ini. Ia dicirikan warnanya yang putih susu, masif, padat dan kurang membentuk kristal yang cantik.

Berbeza kuarza berwasap berwarna kelabu asap dan agak kurang padat, tetapi kebiasaannya membentuk kristal. Sementara kuarza jernih pula berwarna lutsinar dan kebiasaannya membentuk kristal cantik.

Kristal kuarza di permatang ini sungguh unik. Ia pelbagai - daripada berbentuk butiran kecil beberapa milimeter pada permukaan batuan hingga bentuk kristal tunggal bersaiz beberapa sentimeter dengan satah menarik.

Disebabkan kecantikan kristal ini, selalunya pengunjung yang mendaki permatang ini akan mengambilnya untuk dibawa pulang sebagai simpanan peribadi.

Kepelbagaian struktur tersingkap di permatang kuarza boleh dilihat kepada kerencaman arah tusukan telerang kuarza. Disebabkan terobosan telerang berlaku berulang-ulang dalam sejarah pembentukannya, arah tusukan telerang juga berbeza mengikut fasa terobosan.

Tusukan berbeza arah menyebabkan telerang ini memotong antara satu sama lain. Sekiranya dilihat secara lebih terperinci akan didapati sekurang-kurangnya tiga fasa terobosan telerang ini.

Fasa paling utama dan banyak dijumpai mempunyai arah hampir sama dengan orientasi permatang kuarza itu sendiri. Fasa kedua adalah terobosan telerang berserenjang yang dikatakan mengikut retakan berlaku pada permatang. Fasa ketiga adalah fasa akhir yang menerobos memotong fasa pertama dan fasa kedua.

Di sebalik nilai estetik - merujuk keunikan dan keistimewaan rupa bentuk atau landskap - telerang kuarza juga mempunyai nilai instrinsik yang tinggi. Kajian menunjukkan ketulenan silika dalam permatang ini hampir 97 peratus.

Ia sangat luar biasa kerana tidak ditemui di mana-mana lokasi seluruh dunia telerang kuarza bersaiz besar mencapai kepanjangan 14km mempunyai ketulenan tinggi seperti ini.

Perbandingan dengan telerang kuarza lain seperti tersingkap di Bukit Bunga di Negeri Sembilan dan di Lawin, Perak juga menunjukkan Permatang Kuarza Gombak mempunyai ketulenan lebih tinggi.

Ketulenan ini dikaitkan kurangnya berlaku pencemaran batuan keliling semasa terobosan telerang. Pencemaran boleh berlaku sekiranya ketika penerobosan telerang terdapat jatuhan bongkah batuan keliling dalam magma.

Kajian dilakukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, beberapa tahun lalu menunjukkan Permatang Kuarza Gombak mempunyai nilai warisan amat tinggi dan boleh diletakkan dalam empat kategori kepelbagaian warisan iaitu warisan batuan, warisan mineral, warisan struktur tektonik dan warisan landskap geologi.

Nilai warisan ini sangat tinggi sehingga apabila dibandingkan dengan permatang kuarza di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara, nilainya melebihi warisan kebangsaan dan boleh ditarafkan sebagai warisan rantau.

Sebagai tapak warisan, kawasan Permatang Kuarza Gombak Selangor perlu dipulihara sepenuhnya, manakala zon penampan di sekitarnya perlu dijadikan kawasan pemuliharaan dengan pembangunan minimum infrastruktur bagi mempromosi tapak ini.

Zon penampan meliputi cerun di kaki permatang kuarza terdiri daripada cerun koluvium hasil longgokan bahan susutan darat perlu dikekalkan.

Sekiranya diganggu dengan aktiviti pembangunan seperti pengorekan, pemotongan dan pengambilan tanah, ia akan mudah bergerak dan boleh mengundang gelinciran tanah dan seterusnya menjejaskan kestabilan jasad permatang kuarza.

Untuk menjadi tapak warisan juga, infrastruktur sokongan perlu dibangunkan seperti laluan geopelancongan berasaskan rekreasi. Ia membabitkan pembinaan pusat maklumat pada permulaan laluan geopelancongan diikuti beberapa panel maklumat di sepanjang laluan yang boleh menerangkan pengunjung berkenaan keunikan dan keistimewaan geologi di sesuatu singkapan.

Usaha ini perlu dilakukan secara bersistematik. Satu unik pengurusan tapak warisan perlu ditubuhkan mengikut model pengurusan tapak warisan dunia. Pasukan renjer bertauliah juga perlu bagi mengawal kemasukan pengunjung ke tapak.

Selain itu, bahan berkaitan Permatang Kuarza Gombak seperti kiosk penerangan, poster dan brosur juga perlu disediakan bagi menerangkan tentang alam sekitar dan geologi, selain memastikan keselamatan pengunjung ketika melakukan aktiviti rekreasi untuk bagi meningkatkan promosi dan kedatangan pengunjung.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X