Isnin, 26 Oktober 2020 | 11:02am
Pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu mengakibatkan kebebasan rakyat digantung buat sementara kerana memutuskan rantaian pandemik COVID-19 kini menjadi keutamaan demi menjaga keselamatan rakyat. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu mengakibatkan kebebasan rakyat digantung buat sementara kerana memutuskan rantaian pandemik COVID-19 kini menjadi keutamaan demi menjaga keselamatan rakyat. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Menjunjung titah Seri Paduka, ketepi politik utama keselamatan

SUSULAN mesyuarat khas Raja-Raja Melayu semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengisytiharkan tiada keperluan untuk darurat di negara dan mana-mana bahagian di Malaysia.

Pada masa sama, baginda mengingatkan ahli politik untuk menghentikan segera segala 'politiking' yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan Belanjawan 2021 diberi keutamaan dan perlu mendapat sokongan Ahli Parlimen. Ia amat penting untuk memulihkan ekonomi dan menangani pandemik COVID-19, terutama membabitkan peruntukan kepada petugas barisan hadapan.

Rakyat Malaysia menjunjung titah baginda dengan penuh taat setia. Meskipun darurat tidak berlaku seperti dicanang dan diuar-uarkan sebelum ini, mesej baginda secara jelas membawa kita kepada dua persoalan asas, iaitu kebebasan dan keselamatan.

Pertama, ahli politik yang sibuk berpolitik, diminta mengekang kebebasan mereka demi kepentingan rakyat. Kedua, demi keselamatan rakyat, ahli politik mesti bersama-sama mendukung usaha kerajaan menangani COVID-19 dengan menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November akan datang.

Sejarah seringkali membuktikan bahawa apabila berlaku pertembungan antara soal keselamatan dan kebebasan, keselamatan sentiasa menang.

Kita tidak boleh sama sekali berkompromi dengan soal keselamatan semata-mata kerana mahu memperjuangkan kebebasan.

Lebih-lebih lagi mutakhir ini, banyak pihak yang beraksi atas nama kebebasan dan demokrasi untuk menghalalkan tindakan mereka.

Mengikut wacana sains politik, demokrasi adalah istilah paling popular yang disalahgunakan. Dalam kata lain, demokrasi sering 'dilacurkan' untuk kepentingan tertentu.

Ada segelintir ahli politik sering kali bercakap atas nama demokrasi dan kebebasan, walaupun mereka tahu itu hanyalah alasan untuk mereka bertindak dan mencapai cita-cita politik tanpa memikirkan kepentingan awam yang lain.

Kebebasan asasi rakyat Malaysia sememangnya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Namun, kebebasan yang dijamin itu bukan sesuatu yang mutlak.

Maka disebabkan itu, kita mempunyai pelbagai akta yang menyusun atur kegiatan dan aktiviti rakyat Malaysia, supaya tidak menyimpang daripada makna kebebasan sebenar mengikut acuan Malaysia.

Penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun, banyak mengubah landskap kehidupan bermasyarakat dan cara kita bertindak.

Keutamaan kita adalah soal keselamatan rakyat dan kesihatan awam. Justeru, kita boleh melihat apabila soal keselamatan diutamakan, aspek kebebasan perlu dikompromikan buat sementara waktu.

Ia jelas kelihatan apabila kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. Atas dasar keselamatan, kebebasan kita digantung buat sementara.

Buktinya, kita tidak lagi bebas untuk bergerak kerana perlu memutuskan rantaian COVID-19, meskipun kebebasan bergerak dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan (Perkara 9: Larangan Buangan Negeri; dan Kebebasan Bergerak).

Namun, rata-rata rakyat Malaysia tidak mempersoalkan hal ini kerana kebebasan ketika itu tidak membawa sebarang makna sekiranya ia boleh mengundang isu keselamatan.

Berdasarkan Perlembagaan, kebebasan bergerak rakyat Malaysia boleh dikecualikan atas faktor ketenteraman awam dan kesihatan awam.

COVID-19 mengundang krisis kesihatan awam terburuk dalam negara. Berdasarkan statistik kelmarin, sebanyak 1,228 kes baharu disahkan Kementerian Kesihatan (KKM). Sejak kes COVID-19 dicatatkan, inilah kali pertama kita merekodkan empat digit kes harian, tertinggi dalam negara.

COVID-19 juga mengakibatkan ekonomi kita lumpuh apabila banyak syarikat terpaksa gulung tikar dan membuang pekerja. Untuk itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan untuk memulihkan semula ekonomi negara.

Bantuan dan inisiatif disalurkan segera kepada rakyat supaya mereka boleh meneruskan kehidupan dengan sejahtera.

Pada peringkat awal, kita berjaya menangani COVID-19 dengan baik. Media antarabangsa menobatkan kita antara negara yang berjaya mengurus pandemik berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat.

Malah, kemenangan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah pada September lalu, dikaitkan dengan keyakinan rakyat terhadap kejayaan kerajaan mengurus isu berkaitan COVID-19.

Namun, kes COVID-19 semakin meningkat selepas PRN Sabah dilaksanakan. Ternyata, proses demokrasi melalui pilihan raya atas nama kebebasan dan demokrasi, memberi impak keselamatan yang sangat signifikan.

Malah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, sendiri berharap supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dilakukan dalam tempoh terdekat.

Tidak dinafikan kebebasan berpolitik diperakukan melalui PRN Sabah mengundang kesan keselamatan cukup kritikal. Rentetan itu, timbul cadangan pelaksanaan darurat bagi 'merehatkan' kebebasan berpolitik buat sementara waktu.

Cadangan ini mula timbul apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi perlu diadakan selepas kematian penyandang yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Liew Vui Keong.

Kini sudah terang lagi bersuluh, Yang di-Pertuan Agong sudah pun mengisytiharkan untuk tidak mempertimbangkan cadangan kerajaan melaksanakan darurat bagi memerangi wabak COVID-19 di negara.

Meskipun tiada keperluan darurat, soal keselamatan tetap menjadi keutamaan semua pihak. Usaha kerajaan menangani COVID-19 mestilah disokong, terutama oleh ahli politik.

Sebagai rakyat yang menghayati konsep Raja Berperlembagaan, kita menjunjung titah baginda dengan hati yang terbuka.

Atas semangat perpaduan, marilah kita semua meletakkan soal keselamatan menjadi urusan terpenting, bukan melayani nafsu kebebasan yang akhirnya memudaratkan kehidupan bersama.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X