Sabtu, 17 Oktober 2020 | 11:01am

Pulihara bukti mineral, geologi sebagai warisan tak ternilai

Sejarah membuktikan suatu ketika dulu Semenanjung Malaysia adalah pengeluar bijih timah utama dunia. Kawasan pengeluarannya banyak di Lembah Kinta di Perak dan sekitar Kuala Lumpur.

Sehingga hari ini, Malaysia masih pengeluar kepada sumber mineral seperti bijih timah, bijih besi, emas dan bauksit.

Sumber mineral umumnya dibahagikan kepada dua. Mineral bersifat logam seperti timah, emas, bijih besi dan bauksit, selain mineral bukan logam dikenali mineral perindustrian seperti lempung, pasir, feldspar dan mika.

Selain mineral, terdapat juga simpanan batuan yang banyak di Malaysia dan dijadikan batu agregat, batu dimensi dan batu kapur bagi penghasilan simen dan jubin bagi pembinaan.

Pengeluaran sumber mineral dan batuan ini dilakukan secara rancak oleh pelombong. Namun, pengeluaran berterusan kadangkala menyebabkan sumber ini sudah tiada dan tidak dapat ditukar ganti.

Oleh itu, usaha perlu digerakkan untuk memartabatkan sumber mineral dan batuan dengan menyimpan atau mengkatalog sampel mineral dan batuan bernilai estetik. Proses ini memerlukan usaha berterusan.

Di bangunan geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sampel mineral dan batuan dari seluruh Malaysia disimpan dengan baik dalam Muzium Geologi dan Arkib Batuan. Ia cukup penting sebagai sejarah dan bukti kewujudan sumber mineral dan batuan.

Muzium ini dibina bermula 1980-an lagi atas inisiatif kakitangan akademik geologi dengan tujuan asal untuk koleksi pengajaran.

Ahli akademik yang banyak melakukan kerja lapangan mengumpul mineral dan batuan bernilai tinggi dari segi saintifik. Kebanyakan sampel mempamerkan struktur cantik dan mengagumkan.

Susun atur Muzium Geologi mengikut segmen menggambarkan perjalanan dan pembelajaran seorang ahli geologi.

Segmen pertama memaparkan cakerawala dan galaksi bimasakti yang menempatkan planet di dalamnya. Segmen ini juga memaparkan tentang struktur bumi dan kerak bumi.

Kerak bumi dibahagikan kepada kepingan benua dikatakan bergerak dan berlanggaran satu sama lain. Pergerakan dan perlanggaran kepingan ini menyebabkan berlakunya gempa bumi, pergunungan gunung berapi dan permatang gunung berapi di bawah lautan.

Segmen kedua memperihalkan mineral asas yang membentuk batuan serta mineral ekonomi. Dalam segmen ini juga dipamerkan struktur kekisi mineral unik dan tersendiri bagi setiap mineral.

Setiap pelajar perlu memahami struktur kekisi hablur mineral bagi membezakan antara mineral mengikut kumpulan tertentu.

Mineral ekonomi yang lazim dijumpai, ditunjukkan seperti mineral timah yang dikenali sebagai kasiterit, mineral bijih besi yang dikenali sebagai magnetit dan hematit serta pelbagai lagi mineral ekonomi yang dijumpai di Malaysia.

Uniknya semua mineral ini ditunjukkan dalam keadaan semula jadi yang dijumpai di lapangan.

Terdapat sesetengah mineral seperti timah (kasiterit) yang dipamerkan sudah tidak dapat dijumpai di lapangan kerana habis dilombong. Sebagai contoh, sampel timah diperoleh dari lombong Pelepah Kanan di Johor. Terdapat juga emas semula jadi yang dijumpai dalam batuan atau telerang kuarza dipamerkan.

Melangkah segmen ketiga, sampel batuan menarik yang mengalami mampatan dan tegasan menyebabkan ia membentuk perlipatan sedia menunggu. Mampatan dan tegasan menyebabkan batuan mengalami rekahan dan tersesar. Dipamerkan juga, tiga jenis batuan utama dinamakan sebagai igneus, sedimen dan metamorf.

Batuan igneus berasal daripada magma sama ada yang membeku di bawah permukaan yang membentuk batuan jenis pluton seperti granit atau daripada magma yang keluar ke permukaan melalui gunung berapi yang membentuk batuan volkanik seperti lava basalt dan abu volkanik.

Batuan berasal daripada pemendapan sedimen baik di sungai, tasik atau lautan dikenali batuan sedimen. Pemendapan sedimen akan membentuk batuan seperti batu lumpur, batu pasir dan konglomerat.

Apabila batuan mengalami tegasan dan mampatan yang menyebabkan suhu dan tekanan bertambah, ia berubah menjadi batuan metamorf. Sebagai ahli geologi, menjadi tanggungjawab membezakan jenis batuan ini.

Kebanyakan sampel batuan di muzium ini daripada sampel tempatan. Tidak hairanlah pengunjung terkejut kerana tidak menyangka sebenarnya bumi Malaysia mempunyai kepelbagaian jenis batuan menarik.

Di akhir segmen ditunjukkan kedudukan batuan dalam peta Malaysia. Kecantikan batuan ini menyebabkan sesetengahnya dijadikan sebagai batu dimensi bagi pembinaan bangunan.

Selain mineral dan batuan, terdapat fosil dikumpul seluruh negara yang memberi maklumat tentang usia sesuatu batuan terutama sedimen. Usia dapat ditentukan berdasarkan fosil kerana sesetengahnya berasal daripada hidupan kuno dikatakan wujud pada julat masa tertentu sahaja.

Oleh itu, apabila fosil dijumpai dalam batuan, dikaitkan usia fosil dengan usia pemendapan dan pembentukan batuan itu. Terdapat juga fosil tumbuhan. Apa yang menarik dipamerkan batang kayu yang mengalami proses pemetrian menjadi fosil.

Selepas mengenali mineral, batuan dan fosil, pengunjung turut didedahkan bidang berkaitan geologi seperti geologi kejuruteraan, geologi perlombongan, geologi petroleum dan geologi gunaan.

Melaluinya, pengunjung sedar ahli geologi memainkan peranan besar dalam pembangunan negara. Di setiap pembinaan sama ada jalan raya, bangunan, mahupun empangan, maklumat geologi cukup penting bagi membantu jurutera merekabentuk kestabilan sesuatu pembinaan.

Maklumat termasuklah jenis tanah dan batuan dikaitkan dengan kekerasan batuan dasar, maklumat berkenaan kehadiran rekahan atau sesar dalam batuan yang mungkin melemahkan struktur pendasaran sesuatu bangunan.

Dalam pencarigalian petroleum, kebanyakan simpanan petroleum dijumpai di Malaysia adalah dengan usaha ahli geologi yang mengkaji dan memahami struktur pelapisan batuan takungan yang terdapatnya minyak sebelum proses penggerudian dilakukan.

Di akhir segmen, dipamerkan aktiviti kajian dijalankan program geologi mengikut bidang masing-masing. Pendek kata, lawatan ke muzium ini memberi gambaran tentang koleksi mineral dan batuan unik di Malaysia.

Semua sampel mineral, batuan dan fosil serta bahan pameran dalam Muzium Geologi UKM dikatalog dan disenarai dengan baik.

Apa yang menarik, UKM juga mempunyai tiga simpanan batuan yang diisytiharkan Jabatan Warisan sebagai objek warisan negara iaitu Fosil Pokok Kayu Pos Belau, Diamiktit Glasier Samudera dengan struktur batu jatuh dari Langkawi dan Serpentinit Pos Brooke.

Fosil Pokok Kayu Pos Belau adalah fosil kayu terpetri iaitu fosil kayu berubah menjadi batu yang merakam sejarah pembentukan Semenanjung Malaysia kerana ditemui dalam batuan berusia lebih kurang 275 juta tahun dahulu.

Begitu juga objek warisan Diamiktit Glasier Samudera dengan struktur batu jatuh. Ia juga objek luar biasa membuktikan terdapatnya glasier kuno terbabit semasa pembentukan batuan di Langkawi.

Sementara Serpentinit Pos Brooke dijumpai di Mukim Lojing Gua Musang di Kelantan, adalah bukti berlakunya pertembungan dua kerak benua yang membentuk Semenanjung Malaysia.

Langkah pengisytiharan objek warisan ini salah satu cara memartabatkan sumber mineral dan batuan Malaysia untuk diketengahkan kepada masyarakat umum.

Ia penting bukan bagi untuk ahli geologi semata-mata, malah untuk khalayak dan negara menyimpan serta mengekalkan sampel yang baik dan menarik bagi tatapan semua.

Harapan tinggi agar sumber mineral ini dapat dikekalkan dan dimartabatkan sebagai satu warisan tidak ternilai.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X