Khamis, 1 Oktober 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Pemimpin, pakar kesihatan sepakat kunci kejayaan Malaysia

Malaysia negara paling berjaya melawan serangan pandemik COVID-19 dalam masa singkat, malah mendahului negara maju termasuk Singapura, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Perancis, Itali dan Jerman.

Apakah faktor utama kejayaan ini? Teryata kestabilan politik berperanan menghadapi krisis COVID-19. Politik matang dan stabil mempengaruhi kekuatan kerajaan menghadapi krisis pandemik.

Keharmonian antara pemimpin politik dengan pakar kesihatan misalnya, amat penting menentukan tindak balas negara ketika pandemik. Kerajaan tidak boleh bertindak bersendirian meredakan lengkok COVID-19 tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak berkaitan.

Pandemik juga tidak akan mampu ditangani tanpa disokong sepenuhnya kerajaan yang kuat dan stabil. Keputusan menangguhkan sidang Parlimen pada awal penularan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan kuasa kepada kerajaan bergerak lebih maju. Ia faktor utama kejayaan mendepani wabak hingga menjadi antara negara contoh di peringkat antarabangsa.

Apa yang terjadi di beberapa negara menunjukkan kejayaan membendung pandemik bukan sahaja terletak pada infrastruktur canggih dan kemajuan, bahkan kestabilan politik serta kematangan pemimpin menyusun strategi berkesan dalam menangani wabak ini.

Natijahnya, keharmonian politik dan suasana aman ialah kunci utama mengekang wabak daripada mengancam warganya.

Oleh itu, parti politik perlu mengelak sengketa bermotifkan kepentingan kepartian yang boleh mengundang krisis tidak berkesudahan dan tidak menguntungkan rakyat.

Jika diamati, penularan wabak COVID-19 tidak terkawal di beberapa negara di Eropah dan AS. Ia pengajaran penting mengenai kematangan pemimpin dan kesediaan serta keterbukaan bekerjasama dengan pakar kesihatan serta saintis, akan menentukan sejauh mana pengawalan berkesan dapat diambil dalam menangani COVID-19.

Ketika wabak ini mula melanda AS, Presidennya, Donald Trump tidak mempedulikan amaran Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Nasional, Dr Anthony Fauci yang juga pakar kesihatan terkemuka negara itu mengenai pandemik COVID-19.

Trump tidak bersetuju dengan Fauci yang mengatakan AS menghadapi situasi mengerikan. Fauci yang memberi penerangan secara berkala berdasarkan perkembangan semasa dilihat berlawanan dengan cara Trump yang cuba memberi gambaran lebih meyakinkan.

Presiden AS itu menggelarkan Fauci sebagai seorang yang perlu diwaspadai semua pihak kerana cuba memesongkan orang ramai. Ironinya, AS negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 yang membunuh lebih 200,000 rakyat negara itu.

Situasi ini berbeza di kebanyakan negara Asia yang berjaya mengawal COVID-19 sejak peringkat awal lagi. Boleh dikatakan kebanyakan negara Asia mampu membendung penularan wabak, termasuk di New Zealand.

Ini membuktikan setidak-tidaknya, kerajaan stabil dan matang dapat bekerjasama dengan pakar secara sehaluan dalam membentuk tindakan susulan dalam menangani penularan wabak ini.

Bagi Malaysia, kestabilan politik amat diperlukan kerana beberapa faktor, iaitu negara sedang COVID-19 yang memerlukan fokus dan kerjasama semua pihak tanpa diganggu dengan perbalahan politik atau lebih teruk lagi sabotaj atau khianat didorong kepentingan politik peribadi.

Kestabilan politik bagi sesebuah negara amat penting kerana ia memberikan kesan besar kepada segala tindakan berkesan untuk terus memberikan kesejahteraan kepada rakyat dalam aspek kesihatan, khususnya mengawal kadar kematian dan peningkatan ketara kes harian semakin meningkat kebelakangan ini.

Kaedah dan strategi terbaik, berkesan serta tersusun yang dirancang dan dilaksana Kementerian Kesihatan setakat ini ternyata bergantung kepada kerajaan stabil yang menyokong sepenuhnya usaha pemulihan berkenaan.

Jika ketidakstabilan politik tidak segera diselesaikan dan sengketa ahli politik gagal ditamatkan, pasti situasi ini mengganggu segala usaha mengekang wabak ganas ini.

Dengan keadaan wabak semakin membimbangkan akibat peningkatan kes daripada dua kepada tiga angka, tidak mustahil Malaysia bakal bertambah malang apabila dibebani perkara tidak perlu seperti perebutan kuasa politik yang tak berkesudahan.

COVID-19 memberi implikasi cukup besar kepada seluruh lapisan masyarakat. Pada mulanya, implikasi lebih tertumpu kepada soal kesihatan, namun 'mengganas' dan turut 'menyerang' sistem keselamatan, kewangan, pendidikan, sosial malah mungkin boleh menjejaskan kestabilan politik jika gagal ditangani sebaik-baiknya.

Hanya sokongan penuh dan kukuh daripada semua pihak, sesebuah kerajaan dapat melaksanakan pelbagai dasar dan polisi terutama memulihkan kembali keadaan ekonomi selepas terkesan akibat COVID-19.

Jika berlaku ketidakstabilan politik di negara, ia boleh mengganggu usaha pemulihan dan penjanaan semula ekonomi negara.

Malaysia perlu menghantar mesej jelas kepada pelabur bahawa negara berada dalam keadaan stabil dan kerajaan mampu mentadbir dengan aman.

Maka, pemimpin politik sewajarnya mengutamakan usaha membina semula ekonomi negara daripada berbicara isu politik kepartian yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat pada era pasca COVID-19 seterusnya mengganggu gugat usaha menangani pandemik COVID-19.

Seseorang ahli politik atau pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya seharusnya meletakkan keutamaan kepada isu memberi kesan kepada rakyat, terutama kesihatan dan ekonomi. Mana-mana pemimpin baik pastinya memberikan tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat serta ekonomi negara dalam waktu mencabar ini.

Atas dasar itu, fokus kerajaan dan Perdana Menteri adalah memberi tumpuan kepada bagaimana mengurus negara dan membantu rakyat berdepan krisis ini. Perdana Menteri terus menumpukan usaha membantu rakyat berdepan penularan COVID-19 dan merangka pakej rangsangan untuk memastikan ekonomi negara terus stabil.

Pandemik ini memberikan impak besar terhadap kehidupan rakyat hingga ada kehilangan pekerjaan dan perniagaan. Oleh itu, sudah tiba masanya semua pemimpin negara ini yang mempunyai perbezaan politik menyokong usaha Perdana Menteri mengekang wabak ini, malah duduk semeja bersama menyelesaikan masalah terpaksa ditanggung rakyat, bukan sibuk berebut kuasa sesama sendiri.

Rakyat mahu kerajaan memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha membendung penularan wabak COVID-19 bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti sedia kala kerana rakyat sudah muak dengan 'cerita politik' tidak berkesudahan.

Natijahnya percanggahan politik ketika ini bukan sesuatu yang baik. Apa yang rakyat hendak tahu, apa yang dibuat pemimpin yang mereka pilih pada pilihan raya untuk menangani isu penting yang sedang mereka hadapi, iaitu menangani COVID-19 dan mengekang kemelesetan ekonomi yang dialami bukannya sibuk dengan politik kepartian.

Penulis adalah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X