Sabtu, 26 September 2020 | 11:00am
Perang bendera bermula apabila parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kawasan Putatan mula memasang bendera di beberapa kawasan strategik di sepanjang jalan Pekan Putatan ke Kota Kinabalu. - Foto BERNAMA
Perang bendera bermula apabila parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kawasan Putatan mula memasang bendera di beberapa kawasan strategik di sepanjang jalan Pekan Putatan ke Kota Kinabalu. - Foto BERNAMA

Undi rakyat penentu kerajaan baharu Sabah

Hari ini, parti politik mana akan menguasai pentadbiran Sabah akan ditentukan. Mana-mana parti politik atau gabungan parti politik sekurang-kurangnya perlu mendapat 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan negeri.

Walaupun 37 kerusi memadai membentuk majoriti mudah, ia bukanlah angka selamat dan kukuh. Jumlah 37 kerusi tidak stabil kerana dengan hanya satu tindakan lompat parti akan membuatkan kerajaan runtuh.

Apa yang berlaku pada Mei 2018 perlu dielakkan berulang. Sebuah kerajaan kukuh dan mempunyai majoriti besar, sekurang-kurangnya 40 kerusi DUN adalah perlu.

Pengundi Sabah perlu sedar bahawa perlunya sebuah kerajaan stabil dengan bilangan kerusi yang selamat. Keputusan bijak hari ini sangat perlu.

Daripada senario kempen dua minggu, dapat diperhatikan kedua-dua pesaing utama, iaitu Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing berhujah menarik sokongan.

GRS yang terdiri Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) masing-masing mempunyai hujah menarik pengundi. PN bertanding di 29 kerusi DUN dengan parti utamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebanyak 19 kerusi.

BN bertanding di 42 kerusi dengan parti utamanya UMNO sebanyak 32 kerusi DUN. Jika kedua-dua parti utama GRS ini memenangi 80 peratus kerusi ditandingi sudah berupaya membentuk kerajaan negeri.

Dengan kemenangan 80 peratus bermakna BERSATU mendapat 15 kerusi dan UMNO sebanyak 26 kerusi. Jumlah 41 kerusi disumbang UMNO dan BERSATU sudah cukup membentuk sebuah kerajaan stabil.

Dengan tambahan parti komponen lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan MCA akan menambah lagi beberapa kerusi.

Andai ini benar-benar berlaku, maka Sabah akan mendapat sebuah kerajaan negeri yang kukuh.

Hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi dan kestabilan politik Sabah. Adakah ini akan menjadi realiti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini?

Warisan Plus pula mempunyai kekuatan tersendiri. Keyakinannya tinggi bagi terus menguasai kerajaan negeri. Sokongan pengundi terhadap parti di bawah Warisan Plus tak dinafikan kekuatannya.

Kawasan DUN di Pantai Timur Sabah mempunyai pengaruh kuat dan sentimen kukuh sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Apakah sejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di kawasan pantai timur Sabah akan terus kekal dalam PRN kali ini? Jika ya jawapannya, Warisan Plus akan lebih mampu mempertahankan kerusi dan mengekalkan pimpinan negeri selepas PRN kali ini.

Kawasan DUN majoriti pengundi Cina seperti Luyang, Likas, Elopura dan Tanjong Papat sejak beberapa kali pilihan raya lalu dimenangi calon DAP atau PKR daripada kaum Cina dengan majoriti besar. Adakah ini akan berulang?

Peningkatan kes COVID-19 di pantai timur Sabah khususnya Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu sejak beberapa hari terkini memberi kesan negatif kepada Warisan Plus.

Daerah ini mempunyai sokongan kuat terhadap parti Warisan Plus. Dengan pengisytiharan Zon Merah COVID-19 bagi daerah di atas memberi kesan kepada keputusan pengundi di luar bagi pulang menunaikan tanggungjawab.

Ramai pengundi kawasan pantai timur Sabah berada di luar daerah khususnya di Kota Kinabalu dan Semenanjung. Jumlahnya agak besar. Adakah jumlah ini akan memberi kesan negatif kepada undi Warisan Plus?

Bagaimana kedudukan calon Bebas yang bertanding seramai lebih 50 orang? Adakah calon ini tidak akan mampu menang dalam PRN kali ini? Adakah calon Bebas ini 'benar-benar bebas' atau ada yang menaja atas sebab dan kepentingan tertentu.

Dalam sejarah pilihan raya Sabah dan Sarawak ada calon Bebas menang dengan sokongan beberapa faktor tempatan. Lokal dinamika juga satu faktor perlu dilihat dalam menentukan kemenangan seseorang calon.

Yang pasti, PRN Sabah sangat menarik. Banyak faktor akan mempengaruhi keputusannya nanti. Semuanya terserah kepada pengundi.

Berasaskan prinsip murni demokrasi dan pilihan raya yang bersih, kita semua berharap sebuah kerajaan baharu Sabah akan terbentuk.

Penulis adalah Penganalisis Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah

Berita Harian X