Khamis, 24 September 2020 | 11:00am
Gambar fail, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri?ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Parlimen pada Mac tahun lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Gambar fail, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri?ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan titah ucapan ketika merasmikan persidangan pertama mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, Parlimen pada Mac tahun lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pelucutan, lantikan PM kuasa budi bicara Seri Paduka

Suhu politik negara kelihatan meningkat tiba-tiba apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman terbaru semalam, iaitu hanya berbaki beberapa hari sebelum tarikh pembuangan undi Pilihan Raya Negeri (PN) Sabah.

Anwar mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Belum dapat dipastikan lagi kaedah digunakan Anwar untuk membuktikan beliau sudah mendapat undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Apa yang jelas, tiada prosiding dalam Parlimen untuk memenuhi syarat Perkara 43(4) bahawa 'apabila seorang Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.'

Pada hakikatnya pemilihan seorang Perdana Menteri menjadi prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Prerogatif Yang di-Pertuan Agong wujud sama ada secara bertulis dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan atau tidak bertulis, iaitu prerogatif yang terletak pada baginda sebagai seorang Ketua Negara yang mewakili Majlis Raja-Raja untuk memerintah Malaysia.

Prerogatif Yang di-Pertuan Agong wujud selagi tidak dibataskan Perlembagaan Persekutuan kerana kuasa kedaulatan baginda bersumberkan kuasa Raja-Raja Melayu. Prerogatif itu, termasuk kuasa budi bicara baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan dan kuasa yang terletak pada diri seorang Raja Melayu atau Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT.

Hal ini kerana daripada sisi sejarah perundangan dan prinsip kedaulatan watan, Raja-Raja Melayu berposisi sebagai 'bayangan Allah SWT di atas bumi' atau dalam bahasa yang lebih mudah ialah khalifah.

Perkara 40(2) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri, tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen, meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu, Perlembagaan Persekutuan membenarkan undang-undang Persekutuan digubal untuk membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain jemaah menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya, selain fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicara baginda dan fungsi yang berkenaan dengan perjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana perkara lain.

Dua petikan penting daripada kenyataan Anwar yang ditularkan itu, ialah pertama, "Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

"Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas menghadap baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat, insya-Allah," katanya.

Petikan kedua pula berbunyi: "Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara; menghentikan amalan rasuah dan membela rakyat.

Insya-Allah saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara makmur, aman dan adil untuk seluruh rakyatnya," katanya.

Kenyataan Anwar itu menunjukkan keyakinan begitu tinggi beliau bahawa jemaah menteri pimpinan Muhyiddin akan jatuh dan beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Pada hakikatnya, kedua-dua proses terbabit, iaitu pelucutan jawatan seorang Perdana Menteri akibat kehilangan undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan pemilihan seorang gantinya ialah kuasa budi bicara atau prerogatif Yang di-Pertuan Agong masing-masing di bawah Perkara 43(4) dan 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mekanisme bagaimana pelucutan jawatan seorang Perdana Menteri begitu juga pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Perkara 43(2)(a), Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang Perdana Menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat atau pertimbangan baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya.

Kuasa lantikan berkenaan menjadi kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang dijamin Perkara 40(2)(a).

Amalan pendulu menunjukkan Yang di-Pertuan Agong tidak mudah menerima dakwaan kehilangan undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat di luar proses Parlimen.

Pada sisi lain, Perkara 43(4) membenarkan Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan permintaan Perdana Menteri yang kehilangan undi kepercayaan majoriti bagi pembubaran Parlimen. Dalam hal ini, jika dapat dibuktikan di Parlimen atau melalui amalan akuan berkanun bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat undi kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka beliau hendaklah menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletak jawatan atau meminta pembubaran Parlimen.

Pada ketika ini, barulah Yang di-Pertuan Agong berhak menggunakan
prerogatif baginda sama ada menerima peletakan jawatan Perdana Menteri atau memperkenankan Parlimen dibubarkan. Dalam situasi ini, baginda tidak terikat pada permintaan Perdana Menteri kerana itu bukanlah suatu nasihat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Penulis adalah Pengasas Jurisprudens Watan dan Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Berita Harian X