Selasa, 22 September 2020 | 11:01am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pertingkat strategi manfaatkan dana wakaf

PADA zaman kegemilangan Islam, wakaf antara sektor utama menyumbang kepada kemajuan ekonomi dan kejayaan pentadbiran negara. Pada zaman Abasiyyah, terdapat lebih 3,000 madrasah di kota Baghdad yang kebanyakannya dibiayai dana wakaf.

Wakaf juga menjadi sumber utama untuk khalifah menyediakan perkhidmatan perubatan kepada rakyat secara percuma. Kos rawatan dan ubat-ubatan pesakit sebahagiannya dibayar melalui sumbangan wakaf saudagar Muslim dermawan. Selain itu, wakaf digemblengkan untuk menjana kegiatan ekonomi masyarakat melalui sumbangan lot tapak perniagaan dan tanah pertanian.

Ketika zaman kegemilangan Uthmaniyyah misalnya, hampir satu pertiga daripada tanah pertanian milik wakaf. Melalui pentadbiran wakaf yang telus dan efisen, aset wakaf berkembang dan menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Namun, sumbangan wakaf dalam memajukan ekonomi negara Islam pada masa ini tidak memberangsangkan. Manfaat wakaf dirasai sehingga kini adalah hasil amalan wakaf legasi seperti Universiti al-Azhar di Mesir dan pelbagai kemudahan awam di Turki.

Hakikatnya, kini banyak aset wakaf di negara Islam yang belum dimajukan menyebabkan hasrat pewakaf supaya tanah mereka dimanfaatkan untuk kebajikan umum tidak dapat direalisasikan. Sebagai contoh di Malaysia, terdapat lebih 33,000 ekar tanah wakaf didaftarkan di Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Namun, hanya 15 peratus diusahakan.

Antara cabaran besar membangunkan tanah ini ialah saiz kecil dan kedudukannya kurang strategik. Faktor ini menyebabkan projek ekonomi berimpak tinggi kepada masyarakat setempat tidak dapat dilaksanakan.

Justeru, tanah wakaf sebegini hanya dibiarkan kosong tanpa diusahakan. Selain itu, masalah kekurangan dana untuk memajukan tanah wakaf strategik juga adalah faktor menyebabkan banyak tanah wakaf terbiar.

Projek seperti pembinaan kompleks perniagaan, institusi pendidikan, pusat kesihatan dan perumahan awam memerlukan suntikan dana besar. MAIN selaku pentadbir tunggal tanah wakaf ini tidak mempunyai modal untuk membiayai projek pembangunan seperti disebutkan.

Justeru, terdapat empat strategi dilihat mampu mengembalikan peranan wakaf demi manfaat rakyat dan negara. Pertama, usaha kerjasama antara pihak berautoriti menguruskan aset wakaf iaitu Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan MAIN dengan pihak swasta perlu lebih dipergiatkan.

Ini disebut sebagai wakaf korporat. Pihak korporat perlu digalakkan untuk terbabit secara langsung dalam pembangunan aset wakaf di seluruh negara. Sebagai contoh, melalui usaha sama dengan syarikat perladangan, tanah wakaf terbiar boleh diusahakan dengan pelbagai projek pertanian yang menjana pendapatan kepada golongan B40 di kawasan luar bandar. Demi menggalakkan pembabitan korporat, kerajaan boleh memberi insentif kepada syarikat swasta menjayakan kegiatan ekonomi seumpama ini.

Sebelum ini, melalui Pelan Rancangan Malaysia (RMK) kerajaan Pusat menyalurkan suntikan dana kepada dua entiti ditubuhkan, iaitu JAWHAR dan YWM untuk menyelaraskan segala usaha pembangunan aset wakaf di seluruh negara. Hasilnya, tiga hotel di Terengganu, Melaka dan Perak serta lebih 200 rumah kedai berjaya dibina di seluruh negara yang kekal memberi impak kepada masyarakat setempat.

Namun, dalam keadaan ekonomi sekarang, wakaf tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan. Sebaliknya, peranan pihak swasta amat diperlukan. YWM sedia menjadi pemudah cara bagi menjayakan sebarang usaha sama yang memberi pulangan kepada pihak korporat dan MAIN.

Strategi kedua ialah kutipan wakaf tunai berskala besar. Seperti disebutkan, buat masa ini dana tunai untuk tujuan pembangunan tanah wakaf terbiar lebih diperlukan. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan mempunyai tapak tanah untuk sekolah dan hospital baharu.

Namun, pembinaan projek ditangguhkan kerana kekurangan dana pembangunan. Oleh itu, sumbangan wakaf tunai oleh semua anggota masyarakat boleh digemblengkan untuk tujuan ini. Demi menjayakan kutipan wakaf tunai dalam skala besar sebegini, kerjasama dengan institusi perbankan Islam sangat penting.

Bank Islam mempunyai pelbagai kemudahan perbankan internet yang memudahkan orang awam membuat sumbangan. Selain itu, kaedah potongan gaji penjawat awam dan swasta boleh diperluaskan untuk mengisi tabung wakaf dengan lebih cepat dan konsisten.

Melalui perbincangan sebelum ini, kejayaan sesuatu projek pembangunan aset wakaf bergantung kepada keterlibatan pihak korporat dan orang ramai. Keterlibatan mereka pula bergantung kepada keyakinan dan kepercayaan kepada pengurusan dana dan aset wakaf dikumpul.

Oleh itu, strategi ketiga harus memberikan penekanan kepada usaha memperkasakan pihak berautoriti dalam pengurusan wakaf termasuk JAWHAR, YWM dan MAIN. Aspek integriti, ketelusan dan profesionalisme tinggi perlu diterapkan lebih baik pada semua peringkat operasi. Selain itu, agensi ini perlu lebih terserlah dan supaya masyarakat lebih nampak peranan mereka dalam memajukan harta wakaf.

Seterusnya strategi keempat dan terakhir ialah melaksanakan kawal selia lebih ketat kepada aktiviti pengumpulan dana wakaf tidak bertauliah.

Kini, wujud ramai individu atau kumpulan yang membuat kutipan dana wakaf tunai dari orang ramai. Mereka mengambil kesempatan daripada kemurahan hati orang awam untuk menderma dan menghulurkan bantuan. Namun, sejauh mana hasil sumbangan itu disalurkan untuk tujuan kebajikan dan manfaat umum tidak dapat dipastikan.

Individu dan kumpulan membuat kutipan wakaf tunai akan mengambil komisen daripada setiap sumbangan wakaf. Setakat ini, berapa banyak komisen diambil tidak dipantau mana-mana pihak. Oleh itu, sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa melalui enakmen wakaf yang sedia ada membuat penguatkuasaan terhadap perkara ini supaya penyelewengan dana wakaf dapat dibendung.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Waqaf Malaysia

Berita Harian X