Sabtu, 19 September 2020 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Ketepi sentimen etnik, jalin kesepakatan masyarakat majmuk

Negara bermasyarakat majmuk sering berdepan masalah perpaduan kaum,
terutama membina identiti nasional bagi mengukuhkan kesatuan anggota masyarakat berbeza bangsa, agama, adat resam dan budaya.

Ada yang melihat itu berpunca sentimen etnik kental yang mendorong kaum untuk mempertahan nilai warisan budaya dipegang. Ada pula berpendapat disebabkan kegagalan sistem pentadbiran negara, sama ada berpaksikan sistem monarki ataupun demokrasi yang menekankan kaedah perkongsian kuasa.

Kedua-dua paradigma ini perlu diberi penekanan kerana berperanan utama dalam menentukan hala tuju perpaduan kaum dalam negara bermasyarakat majmuk.

Ini boleh dilihat apa berlaku di Lubnan yang membabitkan konflik agama antara setiap sektarian seperti Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), Syiah dan Druze yang mewakili kira-kira 59 peratus masyarakat Islam, selain Kristian (39 peratus) dan minoriti Yahudi serta Kurdish (2 peratus). Konflik etnik berlaku kerana masing-masing berusaha mengukuhkan kedudukan agama dianuti.

Begitu juga sentimen keagamaan di Croatia, Yugoslavia apabila tindakan Croat Kristian dan Serbia Ortodoks menindas masyarakat Islam Bosnia disebabkan isu sejarah, agama dan sentimen keetnikan menjangkaui kepentingan perpaduan kaum. Kesannya, wilayah politik terbabit hancur dan ratusan ribu masyarakat Islam Bosnia terkorban.

Implikasi sentimen etnik kental berbahaya kerana dapat menggugat keamanan negara sama ada ditadbir secara sistem monarki atau demokrasi.

Lazimnya, bagi negara melaksanakan pentadbiran secara monarki, kurang berdepan masalah jika rakyatnya bersifat homogenous seperti di Jepun dan Korea. Namun, bagi negara bersifat majmuk seperti Malaysia, Lubnan, Cyprus dan Switzerland, pentadbiran secara demokrasi dan perkongsian kuasa lebih berkesan.

Menurut sarjana politik dari Universiti California, Arend Lijphart, bagi negara dihuni pelbagai bangsa, pentadbiran negara perlu bersifat neutral, saling menghormati hak kepentingan masing-masing dan sedia berkongsi kuasa, iaitu menerusi kaedah 'consociational politics' (kesepakatan politik).

Katanya, pembinaan kesatuan dalam masyarakat majmuk melalui konsep kesepakatan politik dilihat mampu mengekang pertelagahan etnik dan hasil keberkesanan diaplikasi dalam beberapa negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, Fiji, Lubnan, Cyprus dan Switzerland.

Meskipun begitu, konsep ini juga mempunyai kekangan tertentu sekiranya gagal ditadbir secara telus oleh kelompok elit dan juga, jika sentimen etnik masih menguasai setiap anggota masyarakat.

Memandangkan Malaysia, Lubnan dan Cyprus antara negara mempraktik corak pentadbiran secara kaedah pendekatan kesepakatan, sejauh manakah pendekatan ini mampu mewujudkan kesatuan dalam masyarakat majmuk dan adakah sentimen etnik mampu dikurangkan demi mencapai hala tuju perpaduan negara?

Sejarah membuktikan menerusi elemen grand coalition yang menjurus penyertaan elit daripada setiap segmen dalam masyarakat majmuk, bukan sepenuhnya bertujuan untuk memupuk kesatuan dalam kalangan kelompok etnik. Sebaliknya, lebih bermatlamat jalinan kerjasama di antara kelompok elit mewakili kumpulan etnik masing-masing untuk berbincang.

Ini yang berlaku di Cyprus sebelum kemerdekaan dicapai. Meskipun dasar British perlu mendapat kesepakatan daripada 18 ahli dalam Dewan Perundangan, iaitu tiga ahli daripada masyarakat Islam; bukan Islam (sembilan) dan selebihnya bangsa Greece yang kurang bersetuju, kesepakatan tetap diteruskan kerana sudah mewakili kumpulan etnik masing-masing.

Ini juga berlaku di Persekutuan Tanah Melayu dalam tempoh ke arah kemerdekaan, hasil rundingan kerjasama dalam kalangan kumpulan elit di antara UMNO, MCA dan MIC, British bersetuju menggubal draf Perlembagaan Kemerdekaan yang diketuai Lord Reid pada 1956, bagi memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Walaupun tidak mendapat persetujuan daripada pergerakan politik Melayu lain, persatuan Cina dan masyarakat India lain, kesepakatan ini diiktiraf British kerana dikira mewakili setiap kumpulan etnik di Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimanapun, konsep ini dilihat kurang bersifat demokrasi kerana lebih memihak kepada golongan majoriti berikutan jumlah sokongan lebih dominan. Implikasinya, pandangan kelompok minoriti dikecualikan bagi mencapai matlamat paling utama, iaitu kemerdekaan.

Persoalannya, mengapakah British mengambil tindakan sedemikian di Cyprus dan Malaysia? Adakah disebabkan kelemahan konsep kesepakatan politik atau sentimen etnik kental dalam kalangan masyarakat di kedua-dua negara berkenaan?

Hakikatnya, kefahaman sentimen etnik menjangkaui kepentingan perpaduan kaum dalam negara, mendorong British untuk mengekalkan aplikasi konsep ini, kerana ia mampu mewakili kesepakatan masyarakat di Cyprus, Lubnan dan Malaysia melalui kerjasama kelompok elit.

Konsep kesepakatan politik masih berdepan masalah apabila elemen segmental autonomy pula mengambil kira pandangan setiap segmen dalam masyarakat.

Apabila banyak kuasa diberikan kepada segmen berkenaan, ini akan menyukarkan usaha perpaduan yang dilaksanakan kelompok elit di bawah gabungan besar (grand coalition).

Malah, situasi ini juga membuka peluang kepada pihak luar untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada institusi minoriti dalam masyarakat majmuk seperti yang berlaku dalam kes campur tangan Israel dan Syria dalam perang saudara di Lubnan pada 1975-1990.

Apa membimbangkan, sekiranya setiap bangsa dalam negara bermasyarakat majmuk meletakkan kepentingan etnik masing-masing melampaui matlamat keamanan negara, mana-mana konsep pemerintahan negara akan sukar untuk direalisasikan.

Justeru, ramai sarjana politik mengakui konsep perkongsian kuasa berupaya membawa keamanan dalam sesebuah negara bermasyarakat majmuk dan bergolak melalui elemen grand coalition dan segmental autonomy kerana itu mampu mendapatkan kepercayaan penuh dari setiap segmen masyarakat.

Bagaimanapun, mereka mengingatkan matlamat ini akan gagal untuk dicapai jika sentimen etnik masih menebal dalam jiwa sesuatu etnik.

Sentimen ini bukan sahaja mampu menggagalkan kesepakatan perkongsian kuasa di antara golongan elit pemerintah dengan rakyat yang diperintah, bahkan boleh mencetuskan peperangan seperti perang saudara di Lubnan 1975-1990 dan rusuhan kaum di Malaysia pada 13 Mei 1969.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Strategik, Fakulti Pengurusan dan Pengajian Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X