Jumaat, 18 September 2020 | 11:00am
Kerajaan perlu merangka rancangan rapi untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import. - Foto hiasan
Kerajaan perlu merangka rancangan rapi untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import. - Foto hiasan

Baik pulih strategi R&D atasi isu keselamatan makanan

Menjamin keselamatan bekalan makanan negara masih kekal agenda utama kita. Tahun demi tahun, kita bergelut mencari jalan mengurangkan import bahan makanan negara yang mencapai nilai berbilion ringgit.

Kita hanya mampu membekalkan kira-kira 70 peratus keperluan beras negara, umpamanya. Selebihnya, kita perlu import. Namun, bagi kebanyakan makanan, kita terus bergantung kepada bekalan dari luar. Daging dan produk tenusu antara bahan makanan yang kita sangat bergantung kepada import.

Memang sudah ada percubaan untuk merapatkan jurang perbezaan supaya dapat mengecilkan lagi import. Namun setakat ini, semua usaha lalu tidak begitu berkesan. Projek ternakan lembu besar-besaran yang sangat diharapkan juga tidak berhasil.

Situasi COVID-19 yang melanda dunia meruncingkan lagi isu keselamatan bekalan makanan apabila banyak negara pengeksport menutup sempadan mereka. Contohnya, bekalan mangga Alfonso dari India yang selalu kita dapat sekitar Julai turut terjejas akibat pandemik itu.

Bukan kita sahaja yang mengalami masalah ini. Banyak negara lain mengalami isu sama, menghadapi cabaran keselamatan bekalan makanan. Jiran rapat kita, Singapura umpamanya, menghadapi situasi yang semakin meruncing.

Singapura dilaporkan hanya mampu menyediakan bekalan makanan tempatan di bawah 10 peratus. Ini bermakna 90 peratus keperluan makanan mereka perlu diimport. Justeru, mereka yang lebih terdesak, sudah merangka rancangan rapi untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan. Mereka menetapkan sasaran '30 by 30', untuk menghasilkan 30 peratus keperluan nutrisi Singapura secara tempatan menjelang 2030.

Matlamatnya bertujuan meningkatkan penanaman sayuran dan meningkatkan pengeluaran sumber protein. Agensi makanan Singapura (SFA) ditugaskan untuk mengkoordinasi bekalan keselamatan makanan Singapura.

Bagi membantu mencapai matlamat '30 by 30,' S$144 juta pembiayaan penyelidikan sudah disediakan di bawah program penyelidikan dan pembangunan (R&D) makanan Singapura yang diketuai SFA dan Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR). Ini akan membolehkan R&D dalam pengeluaran makanan bandar secara mampan, makanan masa depan dan sains keselamatan makanan serta inovasi.

Bagi mengukuhkan lagi keselamatan makanan Singapura, SFA juga menubuhkan S$30 juta '30x30 Express,' iaitu geran untuk menyokong petani tempatan mempercepatkan pengeluaran telur tempatan, sayuran dan ikan dalam tempoh enam hingga 24 bulan.

Dalam keadaan Singapura kekurangan ruang, ia membentuk R&D, inovasi dan teknologi. Bekerja rapat dengan agensi lain, termasuk SFA dan melengkapi kerja daripada institusi pengajian tinggi, A*STAR menubuhkan Institut Inovasi Makanan dan Bioteknologi Singapura (SIFBI) untuk membawa penyelidikan sains makanan di bawah satu bumbung dan mewujudkan satu platform untuk membina kerjasama. Ini akan memudahkan pencapaian nilai ekonomi untuk ekosistem makanan Singapura.

SIFBI bertujuan mengukuhkan ekosistem agrimakanan dan menyokong matlamat '30x30' melalui pengeluaran makanan dan pembuatan lebih mampan, mesra alam, cekap kos dan produktif serta mewujudkan produk dan penyelesaian lebih selamat dan bernilai tinggi.

Institut ini menjalankan beberapa kajian makanan seperti protein alternatif sebagai pengganti daging, proses penapaian untuk mewujudkan sebatian perisa dan kejuruteraan proses untuk mengoptimumkan pengeluaran makanan.

Ia juga menjalankan penyelidikan mengenai keselamatan makanan, bagaimana struktur makanan dan kesan penyerapan pemakanan dan kesihatan manusia serta kajian formulasi untuk membangunkan produk makanan yang sihat.

Dengan memanfaatkan bioteknologi – proses menggunakan biologi (penapaian sebagai contoh) untuk mewujudkan produk dan perkhidmatan - SIFBI boleh membangunkan pelbagai alat dan proses yang meningkatkan sistem pembuatan makanan di Singapura.

Di negara ini, kita sebenarnya sudah lama menubuhkan Institut Agri-Biotech di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk melakukan apa yang SIFBI rancang untuk lakukan. Malangnya, seperti di kebanyakan institusi R&D yang kita tubuhkan, kita memberi terlebih tumpuan kepada reka bentuk bangunan, bukannya membina bakat penyelidik dan menyuntik dana yang diperlukan R&D.

Oleh itu, tidak hairanlah kita tidak begitu maju menangani cabaran keselamatan makanan. Kita perlu bertukar daripada minda membina bangunan mengagumkan kepada melabur dalam membangun bakat dan peralatan untuk menghasilkan R&D yang sangat diperlukan.

Saya pernah melawat Makmal Inkubasi Teknologi New Zealand di University Waikato. Di sana tiada infrastruktur bangunan yang glamor. Sebaliknya saintis bekerja dalam makmal dalam bangunan biasa sahaja.

Namun, selama bertahun-tahun, dengan bakat dan pembiayaan tepat, mereka dapat menghasilkan R&D berkesan menyumbang kepada keperluan negara.

Sudah sampai masanya kita menyuntik lebih banyak pembiayaan R&D untuk mencari penyelesaian kepada perjuangan keselamatan bekalan makanan negara. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) adalah satu peluang baik untuk kita membaik pulih strategi R&D kita. Jika tidak, menjelang 2030, kita akan mencari-cari penyelesaian mengenai isu keselamatan bekalan makanan negara.

Penulis adalah Felo Akademi Sains

Berita Harian X