Rabu, 16 September 2020 | 11:01am
Terima kasih Malaysia diatas nikmat keamanan dan kebebasan yang telah dikecapi selama ini. Selamat Menyambut Hari Malaysia. - Majlis Keselamatan Negara
Terima kasih Malaysia diatas nikmat keamanan dan kebebasan yang telah dikecapi selama ini. Selamat Menyambut Hari Malaysia. - Majlis Keselamatan Negara

Pembentukan Malaysia bawa nikmat kepada negara

Hari ini, genap 57 tahun pembentukan Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura. Meskipun begitu, Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965 dengan alasan tertentu.

Sebenarnya bukan mudah membentuk Malaysia yang kita lihat hari ini. Rancangan pembentukan Malaysia mendapat tentangan hebat negara jiran.

Filipina menuntut Sabah yang menganggap ia sebahagian wilayahnya. Rancangan membawa masuk Sabah menjadi sebahagian wilayah Malaysia, mengakibatkan Filipina memutus hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Indonesia juga tidak kurang hebatnya dalam menentang pembentukan Malaysia. Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia terjadi dengan adanya slogan 'Ganyang Malaysia' oleh Indonesia pada 20 Januari 1963.

Indonesia menganggap Malaysia membelakangkannya dalam perbincangan penubuhan Malaysia.

Keadaan begitu getir sehingga Indonesia meletakkan tenteranya di sempadan Sabah dan Sarawak. Bahkan Indonesia membuat intipan di Johor bagi mengikuti perkembangan perbincangan kemasukan Singapura ke Malaysia.

Catatan sejarah menyatakan idea menggabungkan negeri Tanah Melayu, Singapura dan wilayah Borneo pernah diutarakan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Berpiagam Borneo Utara, Lord Brassy pada 1887, tetapi tidak mendapat perhatian.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, cadangan ini dikemukakan sekali lagi oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara, Malcom MacDonald, namun ia sekali lagi tidak menjadi kenyataan kerana ketiga-tiga wilayah di Borneo tidak berminat menyokong hasrat itu.

Hanya selepas dizahirkan Al-Marhum Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961, cadangan memasukkan dua wilayah Borneo ini disambut baik oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, dan Perdana Menteri British, Harold MacMillan.

Terdapat beberapa persidangan dan jawatankuasa dibentuk dalam membincangkan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Persekutuan Malaysia.

Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) adalah platform terawal, diikuti Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC).

Donald Stephens dipilih mempengerusikan jawatankuasa ini. Cadangannya menggabungkan kelima-lima wilayah - Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei - di bawah nama The Malaysia Plan. Hasil perbincangan, MSCC merumuskan empat keputusan penting:

Pertama, peribumi di dua negeri Borneo diberi kedudukan istimewa seperti orang Melayu di Semenanjung. Kedua, satu suruhanjaya siasatan hendaklah dibentuk bagi mengumpul pandangan penduduk dua negeri Borneo. Ketiga, Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Keempat, Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan serta hak kebebasan beragama dijamin di seluruh Persekutuan.

Bagi mengambil pendapat rakyat di kedua negeri ini, Suruhanjaya Cobbold dibentuk pada November 1961.

Pada Februari 1962, suruhanjaya ini melawat Borneo Utara dan Sarawak bertemu orang ramai, ketua kaum dan parti politik.

Tugas Suruhanjaya Cobbold selesai pada April 1962. Hasilnya Penyata Suruhanjaya Cobbold diterbitkan pada Jun 1962 dengan ketetapan bahawa pembentukan Malaysia amat penting bagi Sabah dan Sarawak.

Suruhanjaya ini menerima 2,200 surat dan memorandum. Malah seramai 4,000 orang berjumpa Suruhanjaya
Cobbold bagi memberi pandangan mengenai penyatuan Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia dengan 29 item untuk diterima pakai.

Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) diwujudkan pada Ogos 1962 selepas dapatan diperoleh daripada Suruhanjaya Cobbold. Lord Landsdowne, Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Tanah Jajahan British dipilih menjadi pengerusi IGC.

Mesyuarat IGC berlangsung 12 kali dan akhirnya satu kompromi tercapai. Hasilnya 20 Perkara dipinda, tetapi prinsipnya kekal. Laporan IGC mencadangkan 53 item penting.

Antara perkara utama ialah: Pertama, Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan kecuali Sabah dan Sarawak. Kedua, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan, tetapi bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa rasmi Sabah dan Sarawak.

Ketiga, sistem pendidikan terletak di bawah Kerajaan Persekutuan kecuali Sabah dan Sarawak sehinggalah dibuat pindaan. Keempat, bagi pengisian Dewan Rakyat, 16 kerusi hendaklah diberi kepada Sabah, 24 kerusi kepada Sarawak dan 15 kerusi kepada Singapura.

Kelima, bidang kuasa imigresen terletak ke atas Kerajaan Persekutuan, namun kuasa autonomi ini hendaklah diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Di samping 20 Perkara, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hasil kontrak sosial yang menggagaskan penetapan bentuk kerajaan dan penggubalan undang-undang.

Dua aspek ini merealisasikan pembentukan Persekutuan Malaysia mengikut asas dan kerangka yang dipersetujui bersama oleh British, Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Sejak kebelakangan ini, timbul perbahasan hebat mengenai MA63 yang didokong ahli politik tanpa menjelaskan kedudukan sebenar. Ini membawa kekeliruan dan menyimpang tujuan asal perjanjian.

Maka, penerangan tepat harus diusahakan demi kepentingan masyarakat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

MA63 dimeterai pada 9 Julai 1962 di London. Mengikut undang-undang antarabangsa, ia dianggap sebuah triti. MA63 mengandungi 11 perkara dan 11 lampiran tidak termasuk lampiran baharu berkait kuat kuasa perjanjian daripada 31 Ogos 1963 kepada 16 September 1963.

Perjanjian tambahan dimeterai oleh lima wakil dalam MA63 pada 28 Ogos 1963 di Singapura. Terdapat lima perkara asas dalam MA63.

Ia meliputi Perkara I: tiga wilayah akan bergabung bersama negeri lain membentuk Persekutuan Malaysia; Perkara II: merealisasikan pembentukan Malaysia secara rasmi; Perkara III: kerajaan United Kingdom menyerahkan kepada Ratu British perintah-perintah dalam Majlis yang memberi kuat kuasa undang-undang kepada perlembagaan Sabah, Sarawak dan Singapura sebagai negeri dalam Malaysia; Perkara IV: pihak British dikehendaki menggubal Malaysian Act 1963 Chapter 35 di Parlimen United Kingdom bagi memberi kuat kuasa undang-undang untuk melepaskan kedaulatan dan bidang kuasa Ratu British terhadap Borneo Utara, Sarawak dan Singapura dan Perkara VI: tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak untuk mengambil tindakan berbentuk perundangan, eksekutif dan tindakan lain yang diperlukan untuk melaksanakan jaminan, perakuan dan syor terkandung dalam Bab 3 Lampiran A dan B oleh IGC yang dimeterai pada 27 Februari 1963.

Sesungguhnya pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 banyak membawa kebaikan kepada negara, terutama bagi Sabah dan Sarawak.

Walaupun tidak semua tuntutan dalam MA63 dapat ditunaikan Kerajaan Persekutuan, hakikatnya, MA63 adalah dokumen yang memuktamadkan proses pembentukan Malaysia.

Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan digesa melihat kembali tuntutan dalam MA63 bagi merealisasikan hak warga Sabah dan Sarawak sebagai balasan menyertai pembentukan negara Malaysia.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia

Berita Harian X